*M286*
Di zaman moden ini tinggal di hutan lebih selamat daripada di kota atau di bandar-bandar kerana di kota, kereta membunuh orang, orang membunuh orang, orang merompak, pergaduhan, tipu-menipu, keruntuhan akhlak berlaku di kota. Cuma di hutan kehidupan sulit kerana tiada perhubungan dan kemudahan.
*M287*
Zaman moden ini hanya dapat dirasa keindahan kemudahan, keindahan bermasyarakat tidak dapat dirasa. Di zaman dahulu keindahan kemudahan tidak dapat dirasa tapi dapat merasa keindahan bermasyarakat.
*M288*
Di waktu masyarakat kita rata-rata bangunannya atapnya daun nipah atau rumbia, tiangnya kayu, dindingnya juga kayu, kalau tidak daun-daun tadi menjadi dinding, lantainya dibuat daripada buluh (plupoh), jarang yang lantainya papan, lebih-lebih lagi jarang bangunan yang dibuat daripada batu, lampu minyak pula. Kita merasa pelik, kebakaran di waktu itu jarang berlaku. Tapi hari ini rata-rata rumah batu, setiap hari kebakaran berlaku.
*M289*
Penipuan di zaman dahulu terutama di bidang harta dan kewangan mudah dapat dikesan sekalipun lemah di bidang ilmu tapi penipuan di zaman merdeka ini payah hendak dikesan kerana orangnya pintar-pintar belaka dan alat-alat digunakan pula sangat canggih-canggih.
*M290*
Orang yang miskin itu orang yang merasa selalu tidak cukup walaupun banyak duit dan hartanya.
Orang yang kaya itu orang yang sentiasa cukup dengan apa yang ada.
Orang yang paling miskin, orang yang memang tidak cukup dan merasa pula tidak cukup.
No comments:
Post a Comment