Aku tidak jemu-jemu perjuangkan Engkau wahai Tuhan.
Aku tidak jemu-jemu dan tidak tahu rehat mengenalkan Engkau.
Aku sudah gadaikan nyawaku agar Engkau dikenali oleh hamba-hamba-Mu.
Aku mahu satu hari nanti Engkau dikenali dunia.
Hingga Engkau disembah di mana-mana dan waktu apa pun.
Cita-citaku agar Engkau dijadikan idola, disanjung dan dipuja.
Moga-moga Engkau sahaja yang akan diagungkan dan dibesarkan.
Aku sedang berjuang bersama kawan-kawanku.
Mengenalkan Engkau kepada manusia.
Selagi ada nyawa di badan,
aku tidak akan berhenti berusaha dan berjuang.
Selagi aku ada tenaga,
selama itulah aku tetap memperjuangkan Engkau.
Aku merasa bangga kalau Engkau disembah orang.
Aku rasa gembira kalau Engkau dicintai dan disanjung.
Aku mahu di mana sahaja nama-Mu disebut-sebut orang.
Sebutan nama-Mu bergema di mana-mana.
Engkau dipuji, Engkau dipuja, Engkau disanjung.
Engkaulah tempat rujuk orang segala perkara.
Tempat bertanya, tempat meminta.
Tempat mengadu semua masalah.
Tempat harapan, tempat munajat.
Tempat bermanja.
Engkau adalah tempat meluahkan segala kehendak dan perasaan.
Moga-moga perjuanganku berjaya dan cita-cita sampai.
No comments:
Post a Comment