Jiwa Manusia Mudah Tergugat



Jiwa manusia sentiasa tergugat.
Tergugat ertinya sentiasa tercabar dan tercalar.
Sedangkan hati sangat sensitif dan perasa.
Kalau tidak pandai menahan perasaannya, ia sentiasa terseksa dan derita.
Apabila jiwa tergugat, pangkat, harta, nama, glamor, tidak dapat mengubatinya.
Jiwa tergugat hilang ceria, hilang bahagia.
Memperjuangkan cita-cita tiba-tiba gagal, sedihnya jiwa, bercakap pun malas, menung sahaja.
Orang lain berjaya, aduh lagilah jiwa derita.
Makan pun hilang selera dibuatnya kerana mengenangkan nasibnya.
Itu baru satu perkara yang menggugat jiwa.
Kalau ia datang bertimpa-timpa di dalam satu masa, aduh, alangkah terseksanya.
Cita-cita gagal, isteri membuat kerenah pula, masa yang sama anak sakit pula, derita di atas derita.
Kalau masa yang sama terjadi jatuh miskin pula, aduh, parahnya jiwa.
Jika suasana yang mencabar jiwa ini berpanjangan pula, terus kecewa, sakit jiwa, ada sampai putus asa.
Di waktu itu mana orang yang jiwanya rapuh bunuh diri pula. Ini semuanya boleh berlaku bagi orang yang sudah kehilangan Tuhannya.
Masalah yang terjadi tidak ada tempat rujuknya.
Semuanya hendak diselesaikan dengan diri sendiri sahaja.
Manusia manalah ada kuasa.
Kalau tidak bunuh diri pun terseksa sepanjang masa.
Bagi orang yang ada Tuhan pula, jiwanya kebal, ujian hidup tidak mencemaskan jiwanya.
Dia rasa ujian penghapusan dosa-dosanya.
Kalaupun jiwa terasa juga sakitnya, setidak-tidaknya meringankan juga penderitaannya.
Kerana itulah orang yang rasa bertuhan dan faham kerja Tuhan tidak pernah sakit jiwa dan kecewa.
Tuhan itulah pengubat jiwanya.
Orang mukmin tenang hidupnya walaupun ujian timpa-menimpa.
Sungguh indah hidup bersama Tuhan, jiwa tidak pernah kecewa, apatah lagi putus asa. 

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah