Degil. Sungguh. Degil sungguh makhluk bergelar guru ini. Masakan tidak, kecaman dan cemuhan silih berganti, tapi masih setia memegang kapur pendek itu. Biar seluar baju kotor dengan habuk, dia tidak peduli. Dia memang degil.
Itu tiada apa jika nak dibandingkan dengan serangan bertali arus secara terus. Ada yang datang mengejut, menyerang guru di sekolah. Tengah menyusun murid, ditendang dari belakang. Ditumbuk pula bertalu-talu. Tapi dia degil. Esoknya dia ke sekolah lagi. Anak si kaki pukul masih diajar dengan senyuman. Dengan penuh sabar tanpa dendam.
Ada yang datang menunjukkan kuasa. Dibawa pangkat Dato' untuk mengugut. Dicerita kenal orang berkuasa itu ini. Kalau buat anaknya lagi, dia akan ambil tindakan. Ditukar dalam 24 jam. Itu ugutannya. Tapi guru itu makhluk degil. Anak si pengugut itu jatuh luka, guru itu juga yang bergegas mengangkat. Membalut luka, menghantar ke hospital, malah mengelap airmata. Sedang bapanya semalam datang mengugut. Tapi dia makhluk degil.
Guru itu, namanya naik ke balai polis. Akan didakwa ke mahkamah kerana merotan muridnya. Dia ingin mendidik sahaja. Tapi apakan daya, dendam orang dewasa lebih mendalam. Katanya guru itu perlu menerima hukuman.
Tapi guru itu degil sungguh. Tidak dihirau nama yang kian membusuk. Bila muridnya jatuh pengsan sewaktu perhimpunan, guru itu dulu tampil kedepan. Memangku, mengibas, cemas sekali dia. Risau muridnya hilang nyawa. Sedang bapanya, baru kelmarin melaporkan nama guru itu di balai polis. Tidak dihirau semua itu.
Guru itu pernah berkali-kali menyesal. Mengejar pelajarnya yang ponteng hingga seluarnya koyak. Hingga dia jatuh terlentang. Pernah kesal kerana merotan murid nakal, sehingga keretanya dicalar, angin pula dibuang. Kadangkala, cermin keretanya juga dipecahkan, oleh remaja nakal anak didik dia.
Dia pernah menyesal. Pernah berjanji tidak lagi akan ambil tahu. Serik kononnya.
Tapi dia guru. Dia makhluk paling degil. Sesalnya hanya seketika sahaja. Saat anak didiknya ponteng, dia kejar lagi. Saat anak didiknya nakal, dia masih menghayun merotan. Dia nak anak didiknya berjaya. Berjaya menjadi seorang manusia sekurang-kurangnya.
Tidak diendahkan akibat yang dia bakal terima nanti. Dia sayang sungguh anak didiknya. Risau mereka rosak. Risau mereka menjadi tidak berakhlak. Risau menjadi sampah masyarakat.
Dia akan terus degil. Semuanya kerana cinta. Cinta pada pekerjaannya. Cinta pada muridnya. Bukalah mata. Bukalah mata masyarakat diluar sana.
Masih adakah ibubapa dan masyarakat yang masih mahu menyokong? Saat guru pula bakal dihukum?
Terima kasih aku ucapkan pada guru-guru aku yang dulunya begitu degil. Kini aku pula ditempatmu. Menjadi guru yang degil.
Guru, makhluk paling degil.
#Aku seorang guru..
No comments:
Post a Comment