Di antara mabuk yang tidak bahaya adalah mabuk Tuhan.
Bahkan bahagia, tenang, senang, puas, lazat, indah.
Kalau boleh hingga gila Tuhan lagi baik,
tidak mengapa, tidak ada salahnya.
Mabuk selain Tuhan bahaya.
Bahkan mudharat dan memudharatkan.
Mabuk arak mencelakakan, hina lagi terhina.
Mabuk harta tidak akan tenang, sekadar senang sahaja.
Mabuk betina kita akan dihambanya.
Kita akan diarah-arahnya, dikerahnya ke mana sahaja yang dia suka.
Kita akan ikut sahaja kerana hendak menjaga hatinya.
Kalau orang kata kita dayus, sudah tidak terasa apa-apa.
Orang yang risau melihat kita, kita biasa sahaja, hilang malu dibuatnya.
Mata hati kita sudah dibutanya, kerana cinta itu buta.
Gila melawa kerana hendakkan orang puji, hendak glamor dan nama.
Adakalanya orang tidak peduli pun pada kita.
Kita sahaja rasa orang peduli dan ambil perhatian tentang kita.
Manusia ramai, bukan kita seorang sahaja manusia, perhatian orang tidak semesti kepada kita sahaja.
Yang sebenarnya kita syok-syok sendiri sahaja, orang bukan peduli pun pada kita.
Adakalanya orang meluat dan benci kerana melawa berlebih-lebihan macam orang tidak siuman.
Rupanya kita hendak glamor itu sampai hajat juga, glamor cacian dan kejian orang, kita tidak sedar diri.
Lain kali ukurlah diri kalau hendak bercantik-cantik, biarlah berpadan, macam orang siuman.
Oleh itu kalau hendak mabuk atau gila juga, eloklah mabuk dan gilakan Tuhan.
No comments:
Post a Comment