Luruskan hatiku Tuhan, agar perjalanan hidupku menjadi lurus.
Pimpinlah aku Tuhan agar aku tidak tersesat jalan.
Berilah aku hidayah dan taufik agar ilmu dan amalku sejalan.
Lahir dan batinku selari, tidak membohongi satu sama lain.
Tuhan, aku takut ilmu dan amalan tidak selari.
Seolah-olah aku menipu diriku sendiri.
Jadikanlah aku dapat amalkan ilmuku itu lahir dan batin.
Agar ilmuku tidak jadi bala kepadaku di Akhirat nanti.
Samakanlah lahir dan batinku Tuhan.
Baik di dalam, baik di lahir.
Agar baik itu berlaku luar dan dalam.
Agar aku terhindar daripada sifat munafik.
Jauhkan aku daripada sifat pura-pura.
Di hadapan orang buat-buat baik, di belakang orang bersifat munafik.
Padahal Engkau melihat di sebarang tempat, lahir dan batin.
Mengapa pula di belakang orang, seolah-olah Engkau tidak nampak?
Kerana itulah aku harap rasakan di dalam hatiku, Engkau mengawasi, melihat, mendengar, berkuasa dan mengetahui.
Agar aku sentiasa takut dengan Engkau di sebarang keadaan.
Itulah caranya aku membenteng diriku daripada cuai dan lalai.
No comments:
Post a Comment