(Oleh Ustaz Haji Suhaimi Al-Azhary)
*SOALAN* :
Seseorang itu hendak sangat pergi menunaikan haji tetapi tidak boleh atas sebab faktor usia dan kesihatan. Soalan saya, adakah boleh untuk dilakukan badal haji untuk orang yang berada di dalam keadaan itu?
*JAWAPAN:*
Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.
Haji merupakan rukun Islam kelima yang perlu ditunaikan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup bagi setiap orang Muslim. Namun begitu, menunaikannya adalah wajib jika sekiranya memenuhi syarat-syarat kemampuan (istita’ah). Mampu untuk melaksanakan segala tangungjawab dalam mengerjakan ibadat Haji dari segala sudut seperti kewangan dan perbelanjaan, kesihatan jasmani dan rohani, pengorbanan masa dan tenaga, begitu juga keamanan dan keselamatan sepanjang perjalanan mula sehingga selesai dan kembali ke tanah air (Rujuk Kitab Matla’ Badrain, m/s 272). Bahkan Allah SWT telah menyatakan di dalam Al-Quran berkenaan menunaikan haji bagi orang yang berkemampuan.
Firman di dalam Al-Quran:
وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan Allah SWT mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”
(Surah Al-Imran: 97)
Jika wang yang dikumpulkan sudah mencukupi untuk menampung pembayaran ibadah haji, tetapi tidak dapat untuk melaksanakan atas sebab sakit atau uzur, adakah boleh diwakilkan kepada waris atau orang lain untuk melakukan badal haji? Merujuk kepada soalan yang diajukan, pada situasi ini, telah sampai kewajipan bagi dirinya untuk menunaikan haji. Namun begitu, faktor usia dan kesihatan adalah perkara yang perlu dititik beratkan ketika menunaikan haji. Bahkan, Sheikh Muhammad bin Ismail Daud Al-Fatani menyatakan bahawa mereka yang tidak mampu untuk menaiki kenderaan atau tunggangan atas sebab terlalu uzur, maka beliau perlu menaiki usung yang diusung oleh beberapa orang lelaki. Jika tidak mampu, maka dibenarkan kepada waris melaksanakan haji bagi dirinya atau mengupah orang lain melaksanakan ibadah ini.
Telah datang seorang wanita dari kalangan bani Khas’am lalu bertanya kepada Nabi SAW:
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ عَلَى عِبَادِهِ فِي الْحَجِّ أَدْرَكَتْ أَبِي شَيْخًا كَبِيرًا، لاَ يَسْتَطِيعُ أَنْ يَسْتَوِيَ عَلَى الرَّاحِلَةِ فَهَلْ يَقْضِي عَنْهُ أَنْ أَحُجَّ عَنْهُ قَالَ " نَعَمْ "
Maksudnya: "Wahai Rasulullah SAW, sesunguhnya Allah telah mewajibkan haji kepada hambanya, bapaku seorang yang lanjut usia dan tidak mampu untuk duduk dengan baik di atas haiwan tunggangan / kenderaan, maka apakah aku boleh menunaikan haji baginya? Rasulullah SAW menjawab” : “Boleh”.
(Hadis Riwayat Bukhari, No.1854)
Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Abi Razin yang bertemu Rasulullah SAW:
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أَبِي شَيْخٌ كَبِيرٌ لَا يَسْتَطِيعُ الْحَجَّ وَلَا الْعُمْرَةَ وَلَا الظَّعْنَ قَالَ احْجُجْ عَنْ أَبِيكَ وَاعْتَمِرْ
Maksudnya: “Ya Rasulullah sesungguhnya ayahku sudah tua sekali, tidak mampu menunaikan haji dan umrah dan tidak berkemampuan ke sana, Rasulullah SAW bersabda '' Haji dan Umrahkanlah untuk ayahmu''.
(Hadis Riwayat Abu Daud, No.1810)
Kesimpulannya, berdasarkan hadis yang dinyatakan diatas, adalah sah bagi wakilnya untuk membadalkan haji bagi orang tersebut. Bahkan Imam Nawawi di dalam kitabnya Al-Idah fi Manasiq Haj wal Umrah menyatakan bahawa jika seseorang itu mempunyai wang perbelanjaan untuk melaksanakan haji atau umrah tetapi ia tergolong sebagai orang yang ma’dub iaitu orang yang lemah melakukan haji atau umrah dengan apa cara sekalipun, hal ini disebabkan usia yang lanjut, uzur yang amat sangat dan lain-lain. Maka dalam keadaan ini wajib bagi kaum kerabat atau orang lain untuk membadalkan hajinya. Namun begitu, adalah diingatkan bahawa orang yang membadalkan haji bagi orang lain, wajib bagi dirinya untuk menunaikan haji terlebih dahulu.
Wallahu Taala A'lam
Ustaz Haji Suhaimi Al-Azhary.
+60176903007 / +60108996927
No comments:
Post a Comment