Madah baru 77


*M461*
Mata apabila buta tidak dapat melihat yang bersifat fizikal dan material, apabila hati buta, tidak dapat melihat yang bersifat maknawiyah dan rohaniah.

*M462*
Manusia itu apabila jiwanya telah mati, tidak ada lagi ruangan untuk mengingati Allah, justru suasana dan situasi di dunia ini, setiap masa sentiasa melalaikannya dari mengingati Allah, di rumah dilalaikan oleh anak dan istri, di atas jalan raya dilalaikan oleh telatah manusia yang tidak tolak ansur dan berlapang dada, di pejabat atau ditempat kerja disibukkan oleh kerja, diwaktu-waktu lapang dilalaikan oleh kawan-kawan , atau berfoya-foya dengan perempuan-perempuan cantik di tempat-tempat hiburan.

*M463*
Tidak mesti orang senang jiwanya tenang, tidak mesti orang yang susah jiwanya parah, mungkin juga orang yang senang tenang jiwanya, begitu juga orang yang susah jiwanya parah, semuanya itu bergantung kepada iman dan ketaqwaan seseorang itu.

*M464*
Penjajahan fizikal banyak orang sedar dan ingin melepaskan diri daripadanya, tapi penjajahan moral dan jiwa banyak orang tidak sedar, sekalipun yang punya diri. Justru itulah selepas kemerdekaan fizikal pada sesuatu bangsa, penjajahan fikiran dan jiwa pada bangsa itu masih lagi bersambung, berpuluh atau beratus tahun lamanya.

*M465*
Membuat kerja yang sesuai dengan nafsu, macam menongkah surut, membuat kerja yang bertentangan dengan nafsu, macam menongkah pasang, wiralah seseorang yang sampai ke hulu menongkah pasang.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah