Cinta Diri Merosakkan Diri



Cintanya engkau pada diri engkau
Hingga engkau mementingkan diri
Hakikatnya engkau merosakkan diri engkau sendiri
Tapi engkau tidak sedar menjadi perosak diri sendiri
Engkau mementingkan diri, hakikatnya engkau membenci diri engkau tanpa engkau sedari
Engkau tamak dan bakhil hingga tidak mempedulikan fakir miskin
Mereka membenci diri engkau
Padahal tentu engkau tidak suka orang lain benci
Lebih-lebih lagi jika engkau menjadi sombong dengan keistimewaan engkau
Kebencian bertambah-tambah lagi
Jika engkau mendapat kesusahan, orang akan membiarkan engkau keseorangan
Kerana orang membalas dendam dan sakit hati selama ini
Selalunya orang yang tamak mengumpulkan kekayaan menjadi sasaran para perompak dan pencuri
Ini baru berlaku di dunia sudah menyusahkan diri engkau sendiri
Yang lebih dahsyat dari itu Tuhan sangat membenci
Nabi Muhammad Rasul akhir zaman tidak menganggap sebagai umatnya
Para-para malaikat dan seluruh makhluk selain manusia dan jin mengutuknya
Azab kubur pula sedang menunggu engkau
Penderitaan Mahsyar juga engkau tidak terlepas yang sedang menanti
Kemuncak dari segala penderitaan adalah Neraka yang membakar
Kalau begitu, apalah erti engkau cintakan diri engkau
Apalah faedahnya yang engkau dapat kerana mementingkan diri
Sepatutnya kasihkan diri dan mementingkan diri menguntungkan
Tapi engkau merugikan diri engkau sendiri
Bahkan merosakkan dan membinasakan diri engkau
Ubahlah sikap sebelum terlambat
Jika sayang pada diri sendiri,
Janganlah campakkan diri sendiri kepada kebinasaan 

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah