KEPERLUAN MANUSIA TERLALU BANYAKNYA


Keperluan manusia terlalu banyaknya
Untuk mendapatkan keperluan hidup itu memang dibenarkan
Keperluan hidup manusia itu di antaranya
Ialah makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, kenderaan
Alat-alat kemudahan di dalam mengendalikan kehidupan terlalu banyak pula
Isteri atau suami sebagai kawan di dalam kehidupan dan juga untuk hiburan
Anak dan cucu untuk menyambung perjuangan
Tapi ramai manusia dirosakkan oleh keperluan-keperluannya
Sama ada rosak di dalam mencari, atau rosak di dalam menggunakannya
Kerana itulah manusia perlu kepada Tuhan
Sebagai idola dan cinta agungnya untuk memelihara, mentadbir, menjaga,
Memimpin dan menyelamatkannya
Syariatnya itu adalah jalan atau panduan di dalam mengendalikan keperluan hidup manusia
Sesiapa yang menjadikan Tuhan cinta agungnya dan idolanya,
Dan juga menjadikan syariat-Nya panduan di dalam mengendalikan keperluan kehidupannya,
Pasti Tuhan akan selamatkan mereka daripada dirosakkan oleh keperluan kehidupannya
Sesiapa yang kehilangan Tuhan dan tidak berpandukan syariat-Nya,
Mereka akan rosak, 
Dirosakkan oleh keperluannya sendiri.
Keperluan manusia itulah yang menghancurkan kehidupan manusia
Sama ada disedari atau tidak disedari
Sedangkan keperluan kehidupan manusia itu adalah kawan di dalam hidupnya
Tapi kebanyakan kawan-kawannya itu tidak setia
Kerana selalu sahaja menipu dan mengkhianatinya 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah