AKHLAK MULIA BUNGA DIRI


Akhlak-akhlak mulia adalah bunga-bunga diri
Kecantikan dan keindahan pada taman peribadi
Orang melihat senang hati, banyak orang jatuh hati
Akhlak bunga diri, nilai diri manusia
Tiada bunga diri, tiada harga diri, tiada siapa menghormati
Tiada harga diri, tiada siapa pun simpati
Bahkan orang benci, orang selalu caci dan tidak disenangi
Pemarah, sombong, hasad dengki adalah kudis-kudis, pekung-pekung yang bernanah
Haloba, tamak, gila puji, gila nama 
Danur-danur busuk pada diri yang meloyakan tekak
Orang benci, orang lari, orang caci, orang tidak senang hati
Tanamlah bunga di dalam diri, sebagai taman yang indah
Jika tiada bunga diri, kalau pemimpin, orang hormat berpura-pura
Orang takut sayang tiada
Orang kaya, orang segan hormat tiada
Ulama tiada bunga diri, orang tiada hormat
Kata-katanya tiada didengar lagi
Jika berlaku pada pemuda, orang tolak pinangannya
Pemudi tiada bunga diri, orang takut meminangnya
Akhlak bunga diri, taman indah berseri pada peribadi
Tanamlah bunga dengan banyaknya dalam taman diri kita
Muka buruk pun dipandang cantik
Muka yang cantik apatah lagi bertambah cantik dan menarik
Jika ramailah di dalam sebuah negara rakyatnya mempunyai taman bunga diri
Rakyat-rakyatnya dimulia, negara bangga, agama bertambah tinggi nilainya
Setiap peribadi kenalah berusaha menanam bunga di dalam diri
Terutama para ulama, para pemimpin dan orang-orang kaya
Kerana mereka tempat pandangan rakyat jelata 
Mereka itulah menjadi model di dalam negara 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah