cerita korona

Di rumah.

Pagi terasa lain. Tak ada lagi nurse bersut datang check BP dan ambil suhu celah ketiak. Tak ada lagi doktor telefon tanya khabar. Tak ada lagi lap badan pakai towel ladybird dan lepak tepi ampaian tengok burung merpati terbang. Semua sudah jadi kenangan dan akan ditulis, dikongsi biar diingat sampai bila-bila.

Bila saya dibenarkan pulang ke rumah, bukan lah bermakna badan saya 100% sihat dan tiada lagi virus Korona dalam badan. Bukan begitu. Doktor beritahu, virus Korona masih ada melepak main pakau dalam badan cuma lemah untuk menjangkiti orang lain. Debar dalam dada, hilang deria bau dan rasa, akan beransur hilang. Ambil masa.

Adakah saya masih perlu kuarantin 14 hari? Walaupun doktor kata saya dah sihat dan tak perlu kuarantin, saya tetap duduk di rumah tak pergi jalan-jalan. Kalau keluar jalan-jalan nanti jiran ambil gambar saya pakai seluar pendek pergi 7E beli jajan dan air coke, sebar dalam group WhatsApp, tular, ha macam mana. Hilanglah kredibiliti saya yang dikenali hensem di alam maya nanti.

Adakah saya masih perlu buat swab test kali kedua? Untuk saya, doktor kata tak perlu. Kecuali rasa teruk sangat sesak nafas rasa lain macam, boleh kalau nak buat. Cuma ahli keluarga saya perlu buat swab test kedua. Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ada ketuk pintu hantar surat rasmi terangkan itu ini panjang berjela. Itulah.

Tadi pagi saya mandikan Ali. Lepas mandi pakaikan pampers, dahi saya berpeluh-peluh. Mengah. Dada dup dap dup dap macam saya ini baru lepas bergelek dangdut. Saya duduk ambil nafas. Mencabar juga kalau macam ini. Tapi itulah, kerana memang tiada lagi ubat khas untuk membunuh Korona, nak tak nak, badan kena digagahkan sikit-sikit. Semua ini akan baik sendiri. Ambil masa.

Bercakap tentang ubat, ramai yang bertanya saya di ruangan komen, mesej di FB dan IG berkenaan ubat apa yang doktor berikan kepada pesakit.

Saya jawab berdasarkan situasi saya ya. Setiap pesakit situasinya lain-lain. Kes saya dikira ringan kerana tak ada sesak nafas dan tak perlu alat bantuan pernafasan. Bukanlah tak serius, cuma tak berat mana lah kiranya. Kalau ikut situasi saya, doktor cuma akan beri ubat mengikut apa permasalahan yang saya hadapi. Saya batuk, doktor telefon tanya soalan dan bagi ubat batuk. Saya sakit tekak, doktor akan beri ubat kumur. Itu sahaja. Tak ada antibiotik atau lain-lain ubat.

Dapat keluar semalam pun, tak ada ubat yang dibekalkan untuk saya bawa balik kecuali ubat gigi yang tak habis.

Hari ini masih berduyun-duyun juga kawan-kawan ucap selamat, yang tambah sebagai rakan dan yang follow saya di FB & IG saya. Alhamdulillah. Berkat doa kamu semua jugalah saya boleh keluar awal, sihat dan maintain hensem.

Walaupun saya tak tahu apa nak jadi dengan akaun media sosial saya ini bila mula dikerumuni orang sampai gambar kahwin tahun 2016 pun ada yang like (stalker sangat), tetap saya ucap syukur sebab mesej tentang Covid 19 yang saya nak sampaikan, sampai lah kiranya ke dalam kepala masing-masing tak kira kamu tua atau muda di bandar atau di desa kita semua pasti merasa bangga.

Oh ya. Saya nak beritahu yang petang semalam dan pagi ini ada kawan saya telefon. Katanya, dia dikesan positif Covid 19 setelah buat swab test kali ke dua. Kiranya, swab test kali pertama dia negatif. Kemudian dia duduk rumah bertapa, mengaji, tengok tivi, layan tiktok dengar lagu mipan, makan tidur 14 hari 14 malam, dan bila buat swab test kali kedua, dia positif.

Saya beritahu dia, rilek jangan kalut macam Alpaka.

Maknanya kawan-kawan, kalau kamu ada contact rapat dan result swab test pertama kamu negatif, jangan happy sangat pergi berjoli sakan kerana dia boleh jadi positif bila swab test kali ke dua. Kiranya virus Korona dah ada dalam badan cuma awal-awal tu dia ralit main pakau sambil makan kuaci. Bila dah masuk minggu kedua, baru dia lapar bangun mengganas cari makan gigit antibodi.

Tapi itulah, bila kawan-kawan ini telefon, saya kata lah cuba baca apa yang saya tulis di FB untuk tahu simptom dan lain-lain hal. Dia kata tak ada FB. Saya kata tak apa dan explain lah A sampai Z. Kerana hal itu lah, saya rasa saya kena bukukan apa yang saya tulis ini cepat-cepat agar orang yang tak ada FB pun boleh baca. Dan kalau saya bukukan, saya akan wajibkan semua yang follow dan like dan share status saya, beli sekurangnya dua naskah. Satu sendiri baca. Satu letak dalam peti ais. Tak beli, dikira berdosa.

Ok lah. Ali suruh tolong dia pasang trek keretapi ni. Mengah-mengah macam kena kejar badak sumbu jantan sekali pun, saya tetap akan jadi buruh kasar yang kerjanya pasang trek keretapi.

Yang Mengah,
Fatah.

#hellokorona

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah