Islam ada berbagai-bagai aspek
Mendapatkan negara, menjalankan pentadbiran, menegakkan hukum ibarat membuat pagar dan benteng pertahanan
Ertinya membuat pagar atau benteng ada benda dan perkara yang hendak dijaga dan dikawal
Agar benda dan perkara itu selamat daripada dirosakkan
Biasanya yang hendak dipagar dan dibenteng ialah kebun buah-buahan, taman bunga, ladang tanam-tanaman dan ternakan
Ini dinamakan aspek luaran
Ia di luar diri yang hendak dipagar
Aspek yang penting di dalam Islam ialah cintakan Tuhan dan rasa bertuhan
Hingga Tuhan benar-benar dirasakan pentadbir, penjaga, penyelamat dan idola manusia
Aspek yang lain pula menghayati syariat-Nya
Itulah dia jalan kepada Tuhan
Dari penghayatan syariat itu lahirlah akhlak yang mulia di dalam diri manusia
Seperti berkasih sayang, bertimbang rasa, pemurah, pemalu, tawadhuk, sabar, redha, bekerjasama
Perikemanusiaan yang tinggi, mengutamakan orang lain, hormat-menghormati, bertolak ansur, maaf-bermaafan
Dari akhlak yang mulia inilah wujudnya kehidupan yang murni dan harmoni
Kehidupan itulah semua golongan manusia menginginkan
Kerana ia membawa ketenangan dan kebahagiaan
Aspek yang dua inilah ia ibarat ladang-ladang buah-buahan,
Taman-taman bunga, kebun sayuran, biji-bijian dan ternakan
Maksudnya orang yang berjuang hendakkan negara, menegakkan hukum dan pentadbiran kerana hendak melindunginya
Iaitu hendak melindungi orang yang sudah cintakan Tuhan, orang yang bersyariat dan mempunyai akhlak yang mulia
Agar dengan adanya negara, hukum dan pentadbiran dapat menjaga ini semuanya
Tapi kalau Tuhan pun orang belum kenal, syariat belum dihayati, akhlak yang mulia belum wujud lagi
Apa ertinya dapat negara, menegakkan hukum dan pentadbiran?
Apa yang hendak dijaga?
Macamlah kita membuat pagar, ladang buah-buahan belum ada, taman bunga belum wujud
Ladang sayuran dan makanan pun belum ada
Kita ingin membuat pagar kerana hendak menjaga tanaman agar tidak dirosakkan oleh musuh
Pagar itu perlu kerana tanaman telah wujud
Begitulah apabila Tuhan dicintai dan dijadikan idola, syariat sudah dihayati, akhlak yang mulia sudah menjadi pakaian manusia
Maka perlulah kepada negara dan menegakkan hukum untuk menjaga manusia yang sudah bersyariat lahir dan batin
Tapi kalau Tuhan pun belum dikenali, syariat belum dihayati,
Akhlak yang mulia belum wujud lagi
Bukankah lebih baik perjuangkan Tuhan lebih dahulu, hayati syariat, tegakkan akhlak
Daripada sibuk-sibuk hendak memperjuangkan negara dan pentadbiran lebih dahulu
Janganlah kita jadi para pejuang yang tertipu dan penipu
Akhirnya rakyat pula tertipu oleh perjuangan kita
No comments:
Post a Comment