Taqwa Aset Maknawi Untuk Akhirat


 *Bertaubat* mengembalikan kebersihan maknawi dan rohani jasad daripada najis maknawi dan rohani yang tidak dapat dilihat.
Najis yang tidak nampak dipandang oleh mata lahir tapi bahaya.
Kembali bersih, Tuhan kasih.
Kalau kotor lagi, bersihkan lagi dengan bertaubat.
Ketentuan Tuhan kepada kita kenalah redha.
 *Redha* ertinya boleh menerima dengan senang hati, tidak sedikit pun sakit hati.
Di situlah keredhaan Tuhan.
Redha Tuhan sangat mahalnya.
Bukan senang hendak mendapatkan keredhaan Tuhan di dalam kehidupan.
 *Sabar* ertinya tahan menderita menerima ujian daripada Tuhan daripada sebarang yang kita tidak suka.
Sekalipun terasa sakit dan peritnya perasaan, namun tidak sampai keluh-kesah dan hilang pertimbangan.
Kita tetap tenang di samping mengingatkan dosa-dosa mengapa Tuhan menghukum kita dengan kesusahan.
Sabar juga adalah kasih sayang Tuhan pada hamba-hamba-Nya.
Pahalanya juga besar kerana diberi ganjaran tanpa hisab.
 *Mengorbankan hak* kita kerana Tuhan, di situlah pahala dan keredhaan-Nya.
Biasanya hak selalu sahaja manusia pertahankan.
Mempertahankan hak selalu sahaja menjadi masalah kepada manusia di dalam kehidupan.
Kerana hak, selalu sahaja berlaku perselisihan dan pergaduhan.
Ada orang korbankan hak, di situlah keredhaan Tuhan sedangkan orang lain pertahankan.
Seperti hak masa, hak harta, hak tenaga, hak giliran, hak perasaan.
Seberapa banyak hak seseorang yang sanggup dikorbankan,
itu adalah manusia luar biasa, wira di dalam pandangan Tuhan, bukan manusia.
Korbankan hak adalah sifat bertolak ansur.
Korbankan hak ada unsur-unsur berlapang dada dan jiwa terbuka.
Korbankan hak memberi manusia atau orang lain gembira.
Korbankan hak ramai orang yang senang dan suka.
Orang yang sanggup korbankan hak, orang yang tidak ada kepentingan peribadi di dunia.
Korbankan hak boleh melahirkan kasih sayang sesama manusia.
Alangkah besar pahala orang yang sanggup mengorbankan hak-haknya.
*Mujahadah* adalah sifat yang Tuhan suka.
Mujahadah itu terseksa kerana Tuhannya.
Terseksa kerana memaksa diri dan perasaan membuat yang dia tidak suka kerana Tuhan mencintainya.
Terseksa kerana memaksa diri dan perasaannya meninggalkan apa yang dia suka kerana keredhaan Tuhannya.
Bermujahadah, Tuhan akan tunjukkan jalan-jalan kebaikan kepada hamba-hamba-Nya.
Bermujahadah dianggap orang yang membuat baik,
Tuhan suka orang yang membuat baik.
Bermujahadah ertinya sanggup melawan hawa nafsu sedangkan orang lain tidak mampu melakukan.
Bermujahadah adalah satu gelanggang perjuangan yang lebih besar sekalipun ruang lingkupnya sempit daripada berjuang melawan musuh lahirnya.
Bermujahadah melawan nafsu ramai orang yang gagal sekalipun para pemimpin dan ulama.
Kerana itulah orang yang kuat bermujahadah adalah wira Tuhan, bukan wira bangsa.
Tapi tidak glamor, tidak ada nama kerana manusia tidak tahu, hanya Tuhannya.
Siapa yang hendak menjadi wira Tuhan, bersungguh-sungguhlah melawan hawa nafsunya.
Dia adalah wira Akhirat, bukan wira dunia.
Segala yang telah disebutkan tadi, ia adalah sebahagian sifat taqwa.
Sifat taqwa adalah harta benda, kekayaan, aset yang bersifat maknawi dan rohani untuk bekalan di Akhirat sana.
Sekianlah adanya. 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah