Berkawan kerana duit seperti berniaga, biasanya tidak setia.
Satu sama lain curiga-mencuriga dan tidak percaya-mempercayai.
Mudah sahaja pecah perkongsian yang dimeterai.
Susah berkawan berlama-lama sampai ke hujung hingga mati.
Akhirnya berkawan hanya sekerat jalan kemudian berlakulah perpisahan.
Berkawan sepersekolahan atau sama-sama mengaji di dalam satu institusi, tidak sejati.
Setelah keluar sekolah, berkawan tidak berlaku lagi.
Tidak pun selepas itu satu sama lain cari-mencari.
Berkawan pun hanya berlaku setakat semasa sesama mengaji.
Berkawan di dalam politik apatah lagi, payah setia.
Payah hendak berkawan sampai ke hujung usia atau hingga ke tua sekalipun satu parti.
Selalu sahaja bertukar kawan silih berganti.
Kerana kepentingan peribadi di dalam parti telah menjiwai dan berakar umbi.
Berkawan di dalam satu tempat kerja hanya sementara.
Berkawan sesama berada di luar negeri begitu juga, selalunya sementara.
Di waktu itu keluarga sama-sama tidak ada, dengan siapa hendak bertolong bantu.
Oleh kerana sesama sebangsa di luar negara, kawan yang lain tidak ada.
Waktu itu sesama sebangsa terpaksa berkawan, keadaan memaksa.
Apabila balik ke negara sendiri, berkawan pun sudah tidak berlaku lagi.
Masing-masing tidak perlu-memerlu lagi maka masing-masing membawa diri.
Setiap orang pun tidak minat pun hendak ziarah-menziarahi.
Berkawan berlaku hanya setakat sesama di luar negeri.
Rupanya berkawan dan perpaduan susah dilakukan.
Kalau secara kebetulan sahaja, tidak jati dan hakiki dan tidak mahu terjadi.
Berkawan secara kebetulan, semuanya tidak jadi.
Menunjukkan berkawan dan perpaduan mestilah hasil didikan dari kecil lagi.
Ia mestilah diasuh dan diperjuangkan oleh pemimpin yang ada wibawa dan cita-cita.
Ditanam kasih sayang dari kecil lagi hingga mendarah mendaging dan jadi budaya.
Ia mestilah dilakukan semenjak di sekolah lagi oleh cita-cita pemimpin,
para guru dan ibu bapa.
Setelah dewasa diingatkan selalu untuk menyuburkan supaya perpaduan sentiasa membara.
Perpaduan tidak mungkin berlaku setekat digesa-gesa oleh para pemimpin setelah dewasa,
kalau ia tidak bermula daripada diasuh dari kecil lagi.
Kerana perpaduan itu bukan bersifat fizikal.
Tapi perpaduan itu, ia adalah bersifat jiwa.
No comments:
Post a Comment