Nafsu itu sangat jahatnya, begitulah Tuhan memberitahu.
Di dalam Al Quran ada diceritakan untuk ingatan.
Nafsu sifatnya dungu, melulu.
Kehendaknya tidak bertepi, apa sahaja dia mahu.
Halal atau haram dia tidak peduli.
Yang penting, apa sahaja perlu dimiliki.
Kemahuannya sangat dahsyat, hebat hingga menjadi sesat.
Kehendaknya hingga badan penat, dia tidak penat.
Badanlah yang terima risikonya akibat kehendak-kehendaknya.
Tuntutan kemahuannya mudharat dan memudharatkan, rosak dan merosakkan.
Masyarakat huru-hara dibuatnya, manusia pecah-belah kerananya,
peperangan terjadi disebabkannya.
Kehendak nafsu tidak pernah puas-puas.
Dapat sedikit hendak banyak, setelah banyak yang dapat terasa sedikit.
Hendak tambah lagi, hendak banyak lagi, cari lagi hingga badan letih dibuatnya.
Tamak pun datang, bakhil pun menjelang.
Jika tidak dapat, ia melukakan hati. Jika dapat, ia membungakan hati.
Hati pula rosak dibuatnya.
Dapat, menjadi bangga.
Tidak dapat, kecewa pula.
Hati raja diri pun menjadi pengkhianat kepada Tuhannya, derhaka kepada Penciptanya.
Nafsu punya angkara, akal fikiran manusia pula dirosaknya.
Cerdik pandai pula dibodohnya bahkan ditipunya.
Manusia berfikir kehendak nafsunya yang melulu tanpa memikirkan akibat buruknya.
Hingga cerdik pandai pun berfikir sudah tidak normal lagi.
Dungu di dalam cerdik, gila di dalam siuman, bodoh di dalam pandai.
Mereka yang telah dikudakan oleh nafsu itulah yang memikirkan kehidupan manusia.
Bila manusia hidup di dalam ketakutan, mereka juga yang hendak memikirkan manusia yang telah rosak itu.
Maka lahirlah kerosakan di dalam kerosakan.
Dunia bertambah parah.
Untuk membaikinya bertambah bingung dan susah.
Maka jalan keluarnya tangkapan demi tangkapan, hukuman demi hukuman,
penjara sesak dibuatnya.
Yang masyarakat ikut nafsu, yang jahat ikut nafsu, yang kena tangkap ikut nafsu.
Yang membuat undang-undang ikut nafsu, yang menghukum ikut nafsu, apa sudah jadi?
Yang jadi, dunia sudah dikuasai oleh nafsu.
Dunia telah lesu.
Dunia sudah jadi neraka sebelum Neraka.
Kehidupan di dunia hari ini sudah tidak ada erti apa-apa lagi.
Manusia terancam oleh nafsunya sendiri.
No comments:
Post a Comment