Wahai manusia,
marilah kita kempen mengenalkan Allah Taala sebagai Tuhan!
Supaya Tuhan itu dikenal dan disembah orang.
Agar kita semuanya takut dan mencintai-Nya.
Marilah kita jadikan Dia satu-satunya pemimpin,
tak payah ditandingkan dengan sesiapa.
Dia adalah Esa, Maha Kuasa, Maha Mengetahui, Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Hebat.
Tidak siapa pun serupa Dia.
Marilah kita promosi Tuhan ke seluruh dunia!
Mari kita kenalkan Tuhan.
Dia adalah Maha Suci dari sebarang penyerupaan, Maha Agung, Maha Perkasa.
Marilah kita kenalkan Tuhan agar kita semua jatuh hati kepada-Nya.
Ketahuilah, di antara sifat-Nya yang istimewa, Dia Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya.
Marilah kita sembah, puji, besarkan Dia sepanjang masa.
Marilah kita jadikan Tuhan adalah segala-segalanya sepanjang hayat kita.
Kita jadikan Dia tempat meminta, jadikan Dia Pelindung, Pendidik dan Penyelamat kita.
Marilah, marilah kita jadikan Dia tempat rujuk, tempat menyelesaikan segala masalah manusia.
Marilah kita ajak manusia dan marilah jadikan Tuhan Pemimpin kita semua tidak kira apa bangsa.
Marilah kita beritahu manusia bahawa ujian adalah didikan
dan pengajaran buat kita semuanya.
Juga rahmat dan nikmat adalah ujian, apakah kita bersyukur atau kufur dengan nikmat-Nya.
Mari, marilah kita kenalkan Tuhan bahawa Dia adalah Pencipta segala-galanya, Pentadbirnya, Berkuasa ke atasnya.
Selain Allah Taala tidak ada yang berkuasa malah dikuasa.
Tidak bersekutu di dalam kuasa, di dalam membuat, di dalam mentadbir dan menjaga.
Marilah kita beritahu manusia semuanya.
Bahawa Tuhan tidak perlu kepada makhluk tapi makhluk memerlukan
Tuhan.
Tidak mengambil manfaat di atas ciptaan-Nya.
Faedahnya kembali kepada makhluk.
Marilah kita ajak manusia,
jadikan Dia kawan setia di mana sahaja.
Kawan di waktu bermukim dan kawan di hari musafir, di hari berehat dan di masa kerja.
Marilah kita puji Dia, cintai Dia dan ingat selalu kepada-Nya.
Wahai manusia, marilah kita promosikan Tuhan besar-besaran, terus-menerus
hingga Dia dikenal orang di seluruh dunia.
Ketahuilah bahawa Tuhan adalah sumber keselamatan dan kesejahteraan.
Marilah kita lari kepada-Nya, jangan lari daripada-Nya.
Marilah kita mencintai, marilah kita takut kepada-Nya,
nanti kita akan berkasih sayang sesama manusia.
Mari, mari, jangan lengah-lengah lagi kembali kepada Tuhan.
Sudah lama kita manusia lari dari-Nya.
Kita manusia huru-hara, menderita, sengsara kerana sikap manusia lari dari Tuhannya.
No comments:
Post a Comment