Jika Tidak Takut Tuhan


Jika seseorang tidak takut Tuhan,
sekiranya dia dapat untung, dia akan buat apa sahaja.
Dia tidak mengambil kira lagi orang lain susah dan menderita.
Yang penting kehendak nafsunya berjaya.
Sekiranya dia orang politik, boleh mengampu, berpura-pura, khianat, jatuh-menjatuhkan, sabotaj, suap-menyuap, tipu daya.
Jika dia orang ekonomi, tipu-menipu, tidak mahu bayar hutang, janji tidak tepat, menjual harga mahal, bermain riba.
Kalau dia pegawai kerajaan, rasuah, bermalas-malas, marah-marah, masa bekerja terlalu berkira, terlalu birokrasi.
Buruh kasar lain pula, selalu tuang kerja, berborak-borak, bercerita, menghabiskan masa, suka ponteng kerja, bermalas-malas aja.
Jika dia guru, menunggu-nunggu masa untuk balik, bekerja tidak ada jiwa, terpaksa kerana gaji, menjaga murid sambil lewa.
Sekiranya imam, bilal atau noja masjid, hendak cepat-cepat tutup masjid, hendak cepat-cepat balik, orang duduk lama sedikit di masjid, hati mendongkol sahaja.
Menjaga kebersihan masjid tidak sempurna. 
Buat kerja bukan dari hati tapi kerana gaji atau untuk untung peribadi.
Ahli-ahli ilmu, pendakwah, 
aktiviti itu, itulah duitnya, itulah ladangnya atau kelabnya.
Berlindung di sebalik kewajipan, sebenarnya cari makan.
Kalau dahulu, itu satu perjuangan, korban masa, korban harta kerana menyampaikan risalah Tuhan.
Bukan untuk mendapatkan wang, korban lagi wang, kerana itulah Islam berkembang.
Islam berkembang di nusantara kerana mereka yang berjuang.
Tapi kita berdakwah dan memberi ilmu kerana wang.
Ilmu dan dakwah sudah menjadi gelanggang cari makan.
Adakalanya untuk buat appointment dengan mereka itu, 
ada tawar-menawar, berapa banyak hendak diberi wang.
Kalau tidak sesuai dengan bayaran, tidak jadi datang.
Aduh! Agama sudah jadi ladang atau kilang untuk mendapatkan kekayaan.
Tanpa malu dengan Tuhan, dengan Rasul dan dengan pejuang-pejuang yang silam.
Begitulah kalau orang sudah tidak takut dengan Tuhan, 
agama sudah jadi tempat cari makan. 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah