Aku hairan manusia ini bahkan kasihan, pagi-pagi lagi setiap hari yang diburunya dunia.
Ada yang ke laut kerana dunia.
Ada yang ke kebun kerana hendak mendapatkan dunia.
Ada yang sibuk dan bergegas-gegas ke pejabat kerana dunia.
Ada yang ke sekolah kerana merebutkan dunia.
Ada yang mati di waktu pergi mencarinya.
Ada yang mati di waktu pulangnya.
Yang tidak mati sempat pulang, berletih-letihlah selepas buru dunia.
Buru dunia yang saya maksudkan agar jangan salah faham,
memburu dunia itu bukan kerana Tuhan, untuk Tuhan dan cara Tuhan.
Memburu dunia semata-mata sesuap nasi untuk perut kemudian ke jamban.
Memburu dunia semata-mata fikir minum dan makan.
Memburu dunia semata-mata mencari kekayaan, Tuhan tidak disertakan.
Ada yang mencari pangkat, nama dan glamor bukan cari Tuhan.
Yang agak baik sedikit memburu dunia kerana bangsa dan watan.
Setiap yang memburu tidak semuanya dapat lumayan.
Ada yang dapat sekadar makan, minum, berpakaian ala kadar, tempat kediaman.
Jarang sangat bahkan terlalu sedikit orang-orang keluar pagi mencari Tuhan,
kerana Tuhan, untuk Tuhan.
Orang mencari Tuhan sungguh dagang.
Mungkin diketawakan orang kerana ganjil daripada orang ramai.
Macam gagak putih di tengah-tengah gagak hitam, tentulah menarik perhatian orang.
Selepas itu sampai umur semuanya mati, apa yang dicari semuanya ditinggalkan.
Dia pergi ke Akhirat hendak bertemu Tuhan yang kekal abadi,
yang mereka akan ditanyakan semua persoalan.
Aduh! Bila ditanyakan nanti apakah boleh menjawab soalan?
Apabila ditanyakan nanti:
mengapa ke laut,
mengapa ke darat,
mengapa ke sekolah,
mengapa ke pejabat,
bolehkah jawab?
Jawab mengikut kehendak Tuhan, bukan kehendak insan.
Apabila jawapan tidak betul, kena palu dan godam, sakitnya bersangatan.
Terpekik-pekik dan terlolong-lolong, tiada siapa yang boleh menyelamatkan.
Selepas itu terjun pula ke Neraka, penderitaannya tidak dapat dibayangkan.
Rupanya hasil buru dunia di dunia, kesudahannya bertemu Tuhan.
Di dunia hidup terlalu sekejap, di Akhirat berlama-lama tidak berkesudahan.
Kalau ke Syurga sungguh indah kehidupan,
jika ke Neraka menanggung penderitaan.
Waktu di dunia betulkan cara hidup agar di Akhirat tidak kecundang.
No comments:
Post a Comment