Kerana sanjunganlah hati engkau rosak.
Kerana pujianlah jiwa engkau riyak.
Kerana engkau dihormatilah, hati engkau punah dan musnah.
Hati engkau punah kerana jiwa engkau lemah.
Engkau diarak ke sana ke marilah ego engkau tinggi.
Lupa Tuhan, lupa mati, engkau pun bangga dengan diri.
Kejayaan engkau itulah yang membawa engkau lupa diri, rosakkan hati.
Engkau tidak tahan rupanya dengan sanjungan orang, lemahnya jiwa engkau hingga kalah oleh pujian.
Maka satu ketika engkau tidak dipuji, jiwa engkau luka, kecewa.
Rapuhnya jiwa engkau, tidak tahan oleh pujian.
Takkan selama-lamanya orang sanjung dan puji.
Ketika engkau ada nama, adalah pujian.
Di waktu tidak ada nama, pujian pun entah ke mana.
Di masa itu engkau akan kecewa, mahu gila.
Di waktu ada pujian, jiwa engkau ada makanan, kenyanglah jiwa.
Di masa tidak ada pujian, jiwa engkau lapar pula.
Kerana makanan jiwa engkau biasanya pujian.
Pujian adalah penting buat engkau.
Tidak ada pujian, laparlah jiwa engkau.
Rupanya engkau makan puji.
Berapa lamalah orang hendak memberi makan dengan pujian.
Di waktu mendapat kejayaan, adalah pujian, kenyanglah jiwa engkau.
Takkan selama-lamanya engkau mendapat kejayaan.
Ketika tidak berjaya mana ada lagi pujian untuk engkau.
Di waktu itu laparlah jiwa engkau.
Kecewalah engkau, deritalah engkau.
Selepas itu ke mana lagi engkau?
Sesudah itu tentulah engkau mati.
Rupanya pujian itulah yang mencelakakan engkau.
Tempatnya adalah Neraka buat engkau.
Sungguh malang engkau,
kerana pujian dan sanjungan, ke Neraka engkau.
No comments:
Post a Comment