ENGKAU ABAIKAN HARTA MAKNAWI



Engkau buru benda atau harta yang bersifat maddi yang tidak ada harganya.
Engkau habiskan masa dan tenaga kerananya.
Pagi, petang, siang dan malam engkau memikirkannya.
Hingga mimpi pun kerana benda yang bersifat material itu.
Padahal ia tidak kekal.
Engkau abaikan harta yang bersifat maknawi dan rohani.
Engkau sanggup miskin dengan harta yang bersifat maknawi dan rohani.
Kerana memburu harta yang bersifat maddi.
Atau ingin kaya dengan harta yang bersifat maddi.
Padahal harta yang bersifat maknawi dan rohani itu kekal abadi.
Ia akan dibawa mati untuk faedah di alam Barzakh.
Dan seterusnya alam Akhirat.
Harta yang bersifat maddi hanya setakat alam syahadah.
Masamu habis kerana mengejar sesuatu yang mudah.
Sepanjang umurmu memburu benda-benda yang tidak bernilai Akhirat.
Benda yang bersifat maddi adalah harta benda dunia yang binasa.
Dunia yang binasa, apabila mati ia tidak berguna lagi.
Yang berguna selepas mati, engkau tidak mencarinya.
Yang akan membela engkau di Akhirat kelak, engkau tidak bawa.
Sedangkan di Akhirat adalah negara yang kekal abadi.
Di dunia yang sementara waktu pun engkau tidak sanggup susah.
Apakah engkau sanggup susah di negara
yang akan hidup buat selama-lamanya.
Kalau harta yang bersifat maknawi dan rohani engkau tidak membawanya.
Ertinya engkau akan menjadi papa kedana di Akhirat.
Buat sepanjang masa yang tidak berkesudahan.
Engkau akan menderita di dalam Neraka sepanjang masa.
Mengapa engkau terlalu memikirkan hidup sementara?
Dan engkau melupakan hidup sepanjang masa?! 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah