MADAH baru 355


*1036*
Kalau kita hendak bandingkan perjuangan untuk memburu dunia dengan memburu Akhirat, 
memburu dunia lebih lagi susah dan payah.
Tapi manusia itu kerana memburu dunia, sanggup bersusah-susah.
Apabila memburu Akhirat, banyak berhelah.
Contohnya, untuk mengerjakan sembahyang Subuh
lebih ringan dan mudah jika dibandingkan dengan pergi ke laut menangkap ikan.
Tapi orang lebih sanggup ke laut daripada sembahyang Subuh. 

 
*1037*
Kalau kita manusia mahu berfikir, tidak ada sebab mengapa manusia ini mahu sombong dan berbangga.
Kejadian sama-sama hina daripada air mani yang jijik. 
Kesusahan sama-sama kena, bentuknya saja yang tidak sama.
Sesetengah orang miskin, ada sesetengahnya sakit, ada sesetengahnya ditimpa bencana alam, ada setengahnya ditimpa serentak bermacam-macam bala, sama-sama terpaksa ke jamban.
Ilmu bagaimana tinggi pun hakikatnya Allah yang memberi, 
lahirnya ada orang lain mengajarnya bukan dapat sendiri. 
Pangkat yang besar, harta yang banyak sepertilah ilmu tadi. 
Kalau panjang umur sama-sama tua bangka yang tidak berguna, hanya menyusahkan keluarga menjaganya. 
Selepas itu sama-sama merasa mati, 
di dalam kubur belum tentu selamat daripada kena pukul.
Di Akhirat, ke Syurga atau ke Neraka masih menjadi tanda tanya. 
Apakah di dunia ini masih mahu sombong dan berbangga?! 

 
*1038*
Benih kebaikan sudah sedia ada di dalam hati atau roh manusia
(iaitu fitrah semula jadi), baja penyuburnya adalah didikan yang bercorak syariat, 
penyegarnya adalah kebaikan yang berlaku di dalam kehidupan manusia yang dapat dilihat dan didengar.
Benih kejahatan juga sudah Allah tanamkan di dalam hati atau roh manusia
(iaitu fitrah semula jadi), baja penyuburnya adalah didikan yang tidak bercorak syariat, 
air penyegarnya ialah kejahatan yang berlaku di dalam kehidupan manusia yang dapat dilihat dan didengar. 

 
*1039*
Kalau seseorang itu amalan dunia serius dibuatnya, dihalusi dan dipercantik, diperbanyak dan diperluaskan, dijaga dan dikawal,
tapi amalan akhirat dibuat cincai-cincai, tidak dihalusi dan dipercantik, tidak dijaga dan dikawal,
tanda orang itu akan menyesal di Akhirat kelak. 

 
*1040*
Seorang yang cerdik dan pandai tapi jiwanya rosak iaitu dirosakkan oleh sifat sombong, megah, pemarah, dendam, hasad, tamak, bakhil, ingin pujian 
maka kerosakan yang dibuat lebih banyak daripada kebaikan.
Tapi kebanyakan orang tidak nampak, justeru dia melakukannya dengan penuh bijaksana.
Orang yang cerdik dan pandai sahaja yang nampak.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah