*1031*
Ibu dan bapa kerana mengetahui baik dan buruk yang akan berlaku kepada anak-anaknya,
lantaran itulah adakalanya dia menyuruh dan adakalanya dia melarang.
Yang si anak kerana tidak faham perkara yang tersirat daripada suruh dan larangan oleh ibu dan bapanya, dia rasa tidak senang,
seolah-olah hendak mengkontrol kemerdekaan dirinya.
Begitulah juga Allah Taala, adakalanya menyuruh dan adakalanya melarang hamba-hamba-Nya.
Allah tahu hikmah yang tersirat di sebalik perintah dan larang tapi hamba-hamba-Nya tidak faham.
Maka hamba-hamba-Nya rasa tidak senang dan menganggap hendak mengongkong kebebasan dirinya.
*1032*
Walau sebanyak mana pun kita bersembahyang, berpuluh tahun kita lakukan, hitam dahi, sakit-sakit kaki tapi yang sembahyang itu ialah fizikal lahir kita.
Yang berdiri badan, akal dan hati tidak berdiri.
Badan yang rukuk, akal dan hati tidak rukuk.
Badan yang sujud, akal dan hati tidak sujud.
Yang membaca lisan, akal dan hati tidak membaca.
Itulah rahsia mengapa sembahyang tidak memberi kesan.
Itulah rahsia mengapa orang yang bersembahyang berbohong, rasuah, menipu, bakhil, sombong, khianat, mengumpat, kejam, zalim, pemarah, riyak, sum‘ah, tidak bertimbang rasa, tidak ada tolak ansur, tamak, jahat sangka, ingin nama, suka glamor dan lain-lain lagi sifat yang keji.
Sedangkan sembahyang Allah berkata: tanha ‘anil fahsya-i wal munkar.
*1033*
Kalau di dalam satu masyarakat (kampung/tempat) selalu datang ke masjid, sembahyang jemaah bersama, sama-sama mendirikan jemaah, datang beramai-ramai ke masjid, mendengar pengajian dan ceramah, tapi pautan hati tiada,
ziarah-menziarahi satu sama lain tidak berlaku,
kalau ada masalah di kalangan mereka tiada pun ghairah masyarakat itu menyelesaikannya,
masing-masing tanggung sendirilah masalah itu,
kalau ada yang lama sudah tidak hadir tiada pun rasa rindu dan bertanya-tanya,
mengapa sudah lama saudara kita itu tiada hadir,
itulah tanda sembahyang yang dibuat itu hanya rangka lahir sahaja namun jiwa belum bersembahyang.
*1034*
Jika di dalam sembahyang hati tidak terhubung dengan Allah,
sudah pasti di luar sembahyang lebih-lebih lagi payah.
*1035*
Ilmu yang tinggi, pangkat yang besar, harta yang banyak, pengikut yang ramai, kuasa menghukum di tangan belum menjamin mendapat kebahagiaan di Akhirat.
Bahkan nikmat-nikmat ini akan ditanya.
Kalau waktu di dunia nikmat-nikmat ini disalahguna,
Nerakalah padahnya.
Oleh itu siapa yang Allah anugerahkan nikmat-nikmat tadi,
takutlah dengan Tuhan dan gunakanlah nikmat-nikmat itu untuk mendapatkan keredhaan-Nya.
Dan menangislah selalu, nasib kita belum tahu.
No comments:
Post a Comment