MADAH baru 357


*1046*
Bersabarlah agar kita mendapat pahala tanpa hisab.
Redhalah dengan ketentuan Tuhan, 
selain mendapat pahala, hati tenang.
Bertawakallah kepada-Nya,
selain pahala, agar kita tidak jahat sangka dengan Allah.
Dengan nikmat bersyukurlah, agar Allah tambah lagi nikmat itu.
Berpuas hatilah dengan apa yang ada, agar hati tidak susah dengan perkara yang tiada. 

 
*1047*
Lebih baik bangkai daripada bangkai bernyawa.
Bangkai boleh dibuang sahaja kerana tidak berguna.
Bangkai bernyawa hendak dibuang, ada nyawanya, salah pula.
Hendak dimanfaatkan tidak berguna. 
Terpaksa dikawal, dijaga, diberi makan.
Habis masa dan harta terkorban. 
Hanya membeban orang yang hidup sahaja.


*1048*
Hati ibarat tanah,
ia boleh gersang.
Hati gersang tidak akan menumbuhkan lagi pokok-pokok kebaikan. 
Hati gersang disebabkan tidak berzikir, hati tidak selalu mengingati mati.


*1049*
Merendah diri disuruh,
menghina diri ditegah.
Mengalah tidak mengapa,
mudah mengaku kalah tidak sayugianya.
Berani pada tempat dipuji,
berani tidak bertempat dikeji. 

 
*1050*
Kekuasaan seseorang pemimpin itu sebenarnya bukan melambangkan kekuasaan dan kebesaran dirinya, 
tapi menggambarkan kekuasaan dan kebesaran Allah Taala.
Kalau seseorang pemimpin itu bersikap,
kuasa yang ada padanya menggambarkan kekuasaan dan kebesaran dirinya, 
dia adalah seorang yang sombong dan takabur.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah