*M921*
Apabila umat Islam berjuang tidak memiliki sifat taqwa,
jika berlaku peperangan senjata,
nescaya tidak akan dapat mengelakkan diri dari melakukan kezaliman kepada musuh-musuhnya serta melampaui batas.
Kalau berlaku peperangan secara politik,
sudah tentu akan berlaku mengumpat, mengeji, memfitnah, mengata,
akhirnya tidak ada bezanya dengan orang yang berjuang yang tidak ada cita-cita Islam.
*M922*
Apabila seseorang yang berjuang itu
tidak ada sifat taqwanya,
apabila disanjung, dia akan mabuk sanjungan,
riyak, megah dan sombong pun datang.
Apabila mendapat kesusahan pula terseksa jiwanya, hilang pula sifat sabarnya,
dia pun kecewa kemudian putus asa.
*M923*
Berhati-hati itu disuruh,
tapi jangan sampai ia mengikat kita hingga kita tidak berusaha dan bergerak.
Bersegera itu juga disuruh,
tapi jangan sampai kita melulu dan terlajak,
kita akan tersilap langkah.
*M924*
Kalau kita beribadah kerana mengikut tradisi masyarakat,
membuat baik kerana mengikut budaya bangsa,
bermesyuarat kerana meniru kebiasaan masyarakat, bukan hasil didikan,
ia tidak akan melahirkan buah perpaduan serta akhlak yang mulia.
*M925*
Mengapa orang yang belajar ilmu Islam tidak melahirkan akhlak yang mulia,
tidak melahirkan kasih sayang dan tidak dapat menghidupkan syariat di dalam kehidupan?
Kerana waktu dia belajar itu jiwanya telah rosak,
di antaranya nawaitunya telah terpesong.
No comments:
Post a Comment