Apabila dunia ini akal manusia tidak terbangun,
Akal fikiran kosong daripada ilmu pengetahuan dan pengalaman,
Siapa sahaja di kalangan ahli fikir atau failasuf boleh didatangkan ke dunia mengisi akal dengan ilmu dan pengetahuan
Dunia pun terbangun, maju dan bertamadun
Kehidupan manusia pun selesa dan hidup di dalam kemudahan
Dunia indah, cantik, tapi belum tentu tenang, dan tidak pasti mendapat kebahagiaan
Itulah dia yang dikatakan tamadun material
Apabila di suatu zaman roh yang tidak terbangun atau roh terbiar tanpa didikan
Hati manusia pun hitam legam, nafsu manusia pun bermaharajalela merosakkan roh yang menjadi raja di dalam diri insan,
Maka manusia pun hidup macam haiwan dan syaitan, menghancurkan ketenangan dan kebahagiaan
Di zaman itu orang rohani atau pemimpin-pemimpin dari Tuhan pun didatangkan
Seperti para-para rasul, para-para nabi
Selepas Nabi Muhammad, para-para mujaddid didatangkan setiap satu abad berperanan
Maka roh manusia pun dibangunkan semula atau dipulihkan semula setelah lama hitam legam merosakkan kehidupan
Maka roh-roh manusia yang menjadi raja diri
Berperanan semula di dalam kehidupan insan
Roh-roh bebas semula daripada belenggu nafsu, mentadbir diri manusia dibawa semula kepada Tuhan
Kehidupan secara syaitan dan haiwan bukan tidak ada, tapi sangat berkurangan
Manusia-manusia hidup ramai yang berperanan dan bersifat malaikat yang taat kepada Tuhan
Hidup berkasih sayang, harmoni, dan di dalam kebahagiaan dan tenang subur di tengah kehidupan
Tidak mesti ada kemudahan dan senang
Maka tamadun insaniah pun terbangun
Atau tamadun rohaniah pun subur menghiasi kehidupan insan
Seperti berakhlak tinggi, rasa bertuhan dan rasa kehambaan, beradab mulia, wujud semula di kalangan manusia
Di sini baru kita faham kalau hendak membangunkan kemajuan dan tamadun material, Tuhan utus ahli fikir sekalipun mereka kafir dan zalim
Jika Tuhan hendak membangunkan di dunia tamadun insaniah atau tamadun rohaniah, Tuhan utus orang-orang Tuhan atau golongan rohani
Seperti rasul-rasul, nabi-nabi, para mujaddid,
Biasanya tamadun material juga ikut sama maju
Yang paling malang ahli sasterawan yang kehilangan Tuhan datang setiap zaman
Mereka hanya syok-syok sendiri, berkhayal-khayal tanpa tujuan,
Sama ada untuk dunia mahupun Akhirat
Kalaupun menyebut Tuhan hanya untuk menyedapkan bahasa dan rasa, bukan untuk bertaqwa
Maka Tuhan pun berkata di dalam Al Quran:
Mereka macam orang-orang gila yang tidak siuman, mengembara di lembah-lembah yang kotor tidak ada tujuan
Ahli-ahli rohani walaupun tujuannya untuk membangunkan tamadun insaniah atau rohaniah,
Biasanya terjadi juga ikut sama terbangun material,
Dan lahir sasterawan-sasterawan yang beriman dan bertaqwa
No comments:
Post a Comment