Tujuan ibadah fardhu dan sunat hendak mendapatkan Tuhan.
Dari ibadah hendak menyuburkan takut dan cintakan Tuhan.
Dari situ akan sentiasa hidup rasa bertuhan ini di dalam jiwa, di dalam kehidupan.
Di mana pergi, teringat-ingatkan sahaja Tuhan di dalam jiwa.
Rasa bertuhan itulah jiwa mempunyai kekuatan.
Kekuatan jiwa itulah yang dikatakan jati diri pada hamba Tuhan.
Ia menjadi baju besi rohani dan maknawi
agar perkara yang negatif pada pandangan, pendengaran dan fikiran di dalam kehidupan, jiwa tidak dirosakkan.
Jiwa yang tidak dirosakkan oleh keadaan kehidupan, tidak merosakkan akhlak insan.
Akhlak yang mulia itu, ia adalah hiburan.
Hibur-menghiburkan sesama insan atau sesama hamba Tuhan.
Ada orang beribadah, ia dapatkan dirinya sendiri.
Dia rasa senang dengan ibadahnya dan rasa selamat kerana ibadahnya.
Dia pun merasa dirinya orang baik dan nampak orang lain jelik.
Dia rasa mendapat pahala dan merasakan dia orang luar biasa.
Megah pun datang dengan ibadahnya,
sombong tiba kerana ibadahnya.
Rupanya ada orang beribadah, ibadahnya sudah terpesong.
Tujuan ibadah untuk mendapat Tuhan, takutkan Tuhan, cintakan-Nya, hingga rasa bertuhan subur di dalam jiwa.
Side effectnya rasa hambanya pun subur di jiwa.
Rasa hina, rasa malu, rasa lemah, rasa harap kepada Tuhannya.
Tapi dia dapatkan dirinya sendiri, dia rasa bangga dapat pahala.
Ibadahnya menghilangkan rasa bertuhannya,
ibadahnya merasakan dia bangga.
Maka dia tertipu dengan ibadahnya.
Bahkan dia tidak terasa lagi berdosa.
Begitulah orang yang beribadah jahil tentang Tuhannya.
Jahil memahami konsep ibadah.
Maka ibadahnya menjadi bala kepadanya.
Orang beribadah beginilah yang masuk Neraka, bukan ke Syurga.
Wal’iyazubillah.
Orang beribadah taraf itulah banyak terjadi di akhir zaman.
Kerana itulah ahli ibadah di zaman ini tidak ada kesannya di dalam kehidupan.
No comments:
Post a Comment