Bukan senang hendak mencari seorang muslim yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Betapa pulalah satu bangsa, lebih-lebih lagilah jarang dan kurang.
Dia seorang yang takut dan cintakan Tuhan, ibadah tidak dicuaikan.
Masa yang sama, dia maju di dalam pelajaran, kreatif, aktif dan tidak jahat dan curang.
Dia seorang yang berjaya di bidangnya, tapi tidak cintakan dunia.
Dunia yang dimilikinya dapat diagih-agih dan dapat dimanfaatkan kepada semua manusia.
Dia maju di dalam hidupnya, sombongnya tidak ada, bahkan merendah diri sentiasa.
Kelebihan yang ada padanya untuk agama, bangsa dan negaranya.
Tidak megah, tidak menunjuk-nunjuk,
bahkan tawadhuk, bermesra sesama manusia.
Walaupun berjaya, tapi tidak suka dipuji dan disanjung-sanjung tinggi.
Jika dipuji, dia malu menerimanya, bahkan jiwanya terseksa.
Kesenangan yang dimilikinya selalu membantu yang tidak punya.
Dia tidak tamak, tidak mementingkan diri, orang yang meminta bantuan ditolongnya.
Bahkan sentiasa sahaja simpati dengan orang yang tidak berada.
Dirinya adalah aset bangsa dan negaranya kerana kemampuannya.
Di dalam dia maju, berkasih sayang.
Di dalam dia berjaya, hormat dengan manusia.
Dunianya maju dan berjaya, Akhiratnya terserlah di dalam ibadahnya, perjuangannya dan akhlaknya.
Dunia di dalam tanganNya, syukurnya nampak pada perbuatan dan sikapnya.
Di dalam kejayaan, tidak pula menghina orang yang ketinggalan dan kecundang.
Padanya setiap kejayaan yang diperolehinya adalah anugerah Tuhan,
bertambah malu lagi dengan Tuhannya.
Itu barulah contoh cemerlang, gemilang dan terbilang bagi seseorang.
Kalau majoriti berlaku kepada satu bangsa umat Islam di sesebuah negara,
itulah yang dikatakan umat Islam yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Sudah wujudkah di mana-mana sebuah negara Islam yang cemerlang, gemilang dan terbilang?
Jika sudah berlaku, tentulah negara itu menjadi tempat rujuk dunia Islam.
No comments:
Post a Comment