Bala Yang Dahsyat Bila Ditarik Iman



Bala bencana yang dahsyat kepada seorang hamba,
bukan ditimpa bencana alam.
Seperti air bah, angin kencang, gunung berapi meletup, gempa bumi menggoncang.
Tidak juga sakit yang teruk, seperti barah yang garang.
Bukan juga ditohmah dan difitnah.
Juga bukan kerana susah tidak ada apa yang hendak dimakan dan diminum.
Sekalipun ditangkap, dijel dan dipenjara.
Bahkan dibunuh, itu bukan bala yang dahsyat.
Tapi bala yang dahsyat itu ialah ditarik iman.
Seperti selama ini syariat seseorang itu kemas, selepas itu cuai balik asal.
Keyakinan yang kental, kembali longgar.
Sembahyang jemaah yang menjadi tradisi dicuai.
Ibadah yang selama ini istiqamah,
sudah menjadi malas, culas, bahkan membuatnya terseksa.
Hukum-hakam yang selama ini dipelihara dan dijaga dengan baiknya,
selepas itu sudah tidak diambil kira lagi.
Anak isteri yang selama ini dididik, sudah tidak dipedulikan.
Pantang-larang Tuhannya kembali dilanggarnya.
Takut kepada Tuhan  tercabut dari hatinya.
Halal haram sudah tidak diambil kira.
Demi keuntungan dunia yang belum tentu mendapat untung.
Pintu hatinya ditutup rapat-rapat.
Kebenaran sudah tidak boleh diterima lagi.
Jika diberitahu atau dinasihat, sakit hatinya.
Bahkan adakalanya bangga pula membuat kejahatan di hadapan kawan-kawan lamanya.
Fikirannya dunia, mazmumah hatinya subur semula.
Itulah dia bala bencana yang paling dahsyat.
Selepas mendapatkan kebenaran, dilepaskan semula.
Setelah mendapat iman, dibuang pula.
Kita berlindung dengan Tuhan daripada bala tercabut iman. 

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah