Ajaran Tuhan sangat menggalakkan dan menyuruh kita supaya bersih dan bersuci di dalam apa pun keadaan.
Terutama bersih dan bersuci daripada najis yang berbagai-bagai jenisnya adalah diwajibkan.
Bersih daripada badan, bersih daripada pakaian, bersih daripada tempat tinggal dan kawasan.
Hingga dikatakan mengikut Hadis, bersih itu setengah daripada iman.
Bersih itu sekalipun di dalam jamban.
Harap diambil perhatian.
Kesempurnaan bersih lahir bukan sahaja daripada najis yang memang digalakkan,
kita disuruh juga bersih daripada kekotoran, sunat mengikut hukum Tuhan
sekalipun tidak menajiskan.
Daripada badan, pakaian, tempat tinggal dan kawasan.
Bersih daripada peluh yang menjijikkan, daripada tahi mata, tahi telinga, tahi gigi yang meloyakan.
Pada pakaian daripada comot, habuk, lumpur yang menyakitkan mata memandang.
Di dalam rumah, di kawasan rumah daripada sampah yang bersepah
yang menghilangkan keindahan pemandangan.
Apabila berlaku, ia jadi makruh lebih-lebih lagi jika dibawa ibadah dan sembahyang.
Di dalam agama Tuhan, sesuatu itu diambil kira jika perkara itu menyakitkan.
Menyakitkan hidung, menyakitkan mata, menyakitkan perasaan atau selera insan.
Ajaran Tuhan menggalakkan kita bercantik-cantikkan dan berwangi-wangian.
Kerana ia menghiburkan dan menyenangkan di dalam pergaulan.
Kerana Tuhan itu cantik, Dia suka kita juga bercantik-cantikkan.
Di sini baru kita faham,
ajaran Tuhan bukan sahaja menyuruh bersih batin daripada mazmumah yang merosakkan kehidupan.
Memanglah bersih batin daripada mazmumah itu adalah yang paling diwajibkan dan dipentingkan.
Tapi bersih yang lahir juga sangat diperintah dan digalakkan.
Kerana ia memperindahkan ajaran Tuhan itu secara luaran
yang senang mata memandang.
Perkara luaran yang indah juga sangat mempengaruh orang masuk Islam atau senang dengan Islam.
Memanglah kita sudah katakan yang dalam itu sangat dipentingkan.
Tapi bersih luaran jangan pula ia diabaikan,
kerana ia adalah asas ibadah mengikut agama Tuhan.
Di hari ini, apa yang amat mendukacitakan,
kedua-dua kebersihan lahir dan batin masih diabaikan.
Yang batin memang amat susah
tapi yang lahir pun umat Islam cuai dan abaikan.
Lebih-lebih lagi umat Islam di kampung-kampung,
seolah-olah kebersihan lahir itu bukan agama Tuhan.
Pakaian tidak terurus, badan kurang dibersihkan,
di jamban lebih-lebih lagilah amat mendukacitakan, sangat menjijikkan.
Di dalam rumah, kawasan rumah
bahkan kawasan surau dan masjid pun sangat sakit mata memandang.
Di luar rumah dan masjid, rumput panjang,
kebersihan daripada sampah sarap diabaikan,
adakalanya najis pun bertaburan.
Kalau kebersihan lahir pun susah sangat dilaksanakan,
bersih batin lagilah macam mustahil dapat dibersihkan.
Jika kebersihan lahir pun masih dicuaikan,
mengapalah negara Islam hendak difikirkan,
janganlah berangan-angan.
Perkara-perkara asas ibadah pun belum selesai,
apakah perkara-perkara furuk dan cabang-cabang di dalam ibadah mudah dicapai?
Mengapalah umat Islam hari ini melulu,
berjuang macam orang tidak siuman.
Berjuanglah yang dahulu didahulukan,
yang kemudian dikemudiankan.
No comments:
Post a Comment