LI KHAMSATUN – DOA MENCEGAH PENYAKIT BERJANGKIT
Sebenarnya ada satu doa yang telah lama diamalkan oleh umat Islam Ahli Sunnah wal Jamaah dalam menolak wabak penyakit berjangkit. Ia adalah doa bertawassul dengan menyebut nama-nama ahli bait Rasulullah SAW. Doa tersebut amat mujarab. Lafaznya seperti berikut:
لي خمسة أطفي بها حرّ الوباء الخطمة
المصطفى والمرتضى وابناهما مع فاطمة
Ia juga dikenali sebagai doa tawassul dengan Ahlil Bait yang lima yang juga dikenali sebagai Ahlul Kisa (أهل الكساء).
Doa tawassul ini masyhur diamalkan iaitu doa tawassul dengan Ahlul Bait yang lima (Ahlul Kisa’). Mereka adalah baginda Rasulullah SAW, Saiyidina Ali RA, cucu baginda; Hasan dan Husain juga puteri baginda; Saiyidatina Fatimah.
Diriwayatkan ketika turun ayat Al-Quran:
إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ ٱلرِّجْسَ أَهْلَ ٱلْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا
Terjemahannya:
Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).
Surah Al-Ahzab: 33
Diriwayatkan oleh Imam At Tirmizi dalam sunannya;
عن عمر بن أبي سلمة ربيب النبي صلى الله عليه و سلم قال لما نزلت هذه الآية على النبي صلى الله عليه و سلم { إنما يريد الله ليذهب عنكم الرجس أهل البيت ويطهركم تطهيرا } في بيت أم سلمة فدعا فاطمة و حسنا و حسينا فجللهم بكساء و علي خلف ظهره فجللهم بكساء ثم قال اللهم هؤلاء أهل بيتي فأذهب عنهم الرجس وطهرهم تطهيرا قالت أم سلمة وأنا معهم يا نبي الله ؟ قال أنت على مكانك وأنت على خير
Dari Umar bin Abi Salamah, anak tiri Nabi SAW yang berkata “Ayat ini turun kepada Nabi SAW di rumah Ummu Salamah, kemudian Nabi SAW memanggil Fatimah, Hasan dan Husain dan menutup mereka dengan kain dan Ali berada di belakang Nabi SAW, baginda juga menutupinya dengan kain. Kemudian baginda SAW berkata “Ya Allah merekalah Ahlul Baitku, maka hilangkanlah dosa dari mereka dan sucikanlah mereka sesuci-sucinya. Ummu Salamah berkata “Apakah Aku bersama mereka, Ya Nabi Allah?. Beliau berkata “Kamu tetap pada kedudukanmu sendiri dan kamu dalam kebaikan”.
Maka seorang ulama sufi telah menyusun doa tawassul dengan susunan syair yang menarik.
لِي خَمْسَةٌ أُطْفِي بِهَا حَرَّ الْوَبَاءِ الْخُطَمَةِ
اَلْمُصْطَفَى وَالْمُرْتَضَى وَابْنَاهُمَا مع فَاطِمَة
LII KHAMSATUN UTFI BIHA, HARRAL WABA’ IL HUTOMAH
AL MUSTAFA WAL MURTADHA WAB’NAA HUMA MA’ FATIMAH.
“Ada bagiku lima orang dengannya aku memadamkan kepanasan penyakit berjangkit, mereka itu ialah Muhammad Al Mustafa (yang terpilih), Ali Al Murtadha (yang diredhai) dan kedua anak mereka (Hasan dan Husain) bersama Siti Fatimah.”
Penyusunnya bernama Imam Muhammad Al Faqih Muqaddam (574-653H). Beliau berketurunan Rasulullah SAW dari jalur Saiyidina Hussain RA, aqidahnya Ahli Sunnah Wal Jamaah Al Asy’ariah, bermazhab Syafie dan bertarekat Ba’alawi atau Alawiyyin. Moga Allah meninggikan darjat beliau di akhirat. Orang yang menuduh doa ini dari Syiah sepatutnya malu dengan diri sendiri. Sesungguhnya Ahli Sunnah Wal Jamaahlah yang paling benar-benar mencintai Rasulullah dan Ahli Bait tanpa kepentingan.
Doa ini bukan sahaja menjadi amalan para Wali Songo di Nusantara malah ada seorang ulama terkenal Ahli Sunnah wal Jamaah Iaitu Al-Qadhi Syeikh Yusuf bin Ismail An-Nabhaani (1265-1350H) di dalam kitabnya Sa`aadatud Daarain mukasurat 627 menyatakan:
Bahawa amalan tersebut antara yang mujarrab untuk mencegah wabak.
Maksud mujarrab ialah telah dicuba dan didapati berkesan. Ia juga menjadi amalan di seluruh nusantara khasnya dalam jemaah Darul Arqam (1968-1994M).
Oleh itu, alangkah baiknya jika kita dapat memohon dengan Allah melalui keberkatan kekasih-kekasihnya dengan mengamalkan doa ini 7 kali setiap usai menunaikan sembahyang fardhu 5 waktu agar dengan keberkatan mudah-mudahan wabak Covid-19 ini berhenti merebak dan kita kembali menjalani kehidupan seperti biasa tetapi bertambah takut dengan Tuhan yang Maha Berkuasa.
==================
https://heliconiamuntazirah.home.blog/2020/03/15/doa-elak-wabak-berjangkit-likhamsatun/
No comments:
Post a Comment