Salam wrt. Sambung lagi... Abrahah
masih belum puas hati, dia mahu pujuk Najashi lagi. Lalu dia membina sebuah gereja
yang paling besar ketika itu di Yaman. Abrahah namakannya Al Qulais. Abrahah
menghantar lapuran kepada Najashi bahawa dia telah membina sebuah gereja yang
paling besar di Yaman dan dia akan memerintahkan semua kabilah Arab datang
membuat haji di Yaman. Mulalah Abrahah menghantar utusannya kepada kabilah-kabilah
Arab supaya mereka datang haji di Al Qulais. Bila berita ini sampai pada salah
satu kabilah Arab yang paling memebesarkan kaabah iaitu Ahlun Nasi. Ada salah seorang dari mereka datang senyap-senyap
ke Al Qulais lalu dia buang air besar disitu dan disapunya ke dinding Al Qulais.
Bila
Abrahah tahu bahawa orang yang membuat angkara ini kepada Al Qulais adalah dari
Ahlun Nasi' yang sangat membesarkan dan mencintai Kaabah. Abrahah naik berang
lalu mempersiapkan tenteranya untuk meruntuhkan Kaabah. Dia membawa sekali
gajahnya yang besar yang bernama Mahmud. Dalam perjalanan Abrahah menuju ke
kaabah ada beberapa kabilah Arab datang menyerang tentera Abrahah untuk
menyekatnya dari meruntuhkan Kaabah. Namun semuanya dikalahkan dengan mudah
oleh tentera Abrahah yang gagah dan lengkap dengan senjata itu. Bila Abrahah
sampai ke Taif, orang Taif tak berani nak menyekat Abrahah. Sebaliknya mereka
berlepas tangan dari Kaabah, bahkan mereka menghantar wakil mereka untuk
menunjukkan jalan dan Kaabah kepada Abrahah. Nama wakil orang orang Taif ini Zu
Rughal. Sebelum sampai ke Kaabah Zu Rughal mati, dia ditanam ditempat
kematiannya. Setelah itu kuburnya jadi tempat orang Arab merejam sebagai
penghinaan kepada orang yang khianat kepada kaumnya. Sampai hari ini nama Zu
Rughal ini jadi perumpamaan kepada orang yang khianat dikalangan orang Arab.
Orang yang khianat disebut Zu Rughal.
Jadi bila
tentera Abrahah sampai dekat dengan Mekah, mereka merampas binatang-binatang
ternakan orang orang Mekah. Di antara yang mereka rampas 200 ekor unta Abdul
Mutallib. Abdul Mutallib datuk Nabi kita yang ketika itu merupakan ketua Mekah
datang mengadap Abrahah. Bila Abdul Mutalib masuk mengadap Abrahah, Abrahah
turun duduk di bawah dengan Abdul Mutallib kerana menghormati Abdul Mutalib.
Melihat perawakannya saja sudah jelas kehebatan dan ketokohannya. Abdul
Mutallib minta Abrahah kembalikan binatang ternakannya dan binatang ternakan
orang Mekah yang telah dirampas oleh tentera Abrahah. Abrahah terkejut
mendengar permintaan itu, Abrahah fikir Abdul Mutallib nak minta belas kasihannya
supaya jangan ganggu Kaabah. Kata Abdul Mutallib, Wahai Abrahah, aku ini tuan
unta-unta ini sebab itulah aku minta dibebaskan unta-unta ini, Kaabah itu ada
tuannya, yang menjaganya, kalau Kaabah itu Rumah Allah pasti Allah menjaganya.
Kaabah ada Tuhan yang menjaganya
Dengan itu
Abrahah mengembalikan ternakan yang dirampas dan berjanji tidak akan mengganggu
orang Mekah, yang penting dia nak robohkan Kaabah. Jadi Abdul Mutallib pulang
ke kaumnya membawa semula binatang ternakan mereka yang dirampas dan mengajak
mereka keluar dari Mekah ke bukit yang berhampiran. Dari bukit itulah orang
orang Mekah dengan hati yang hiba dan cemas memerhatikan apa yang akan
dilakukan oleh Abrahah kepada Kaabah.
Pada hari
yang telah takdirkan oleh Allah Abrahah mengarahkan tentera bergajahnya ke arah
Kaabah untuk merobohkan Kaabah. Maha Besar Tuhan, dengan kuasa Allah Rabbul
kaabah, gajah tidak mahu bergerak walaupun dipukul, bila digerakkan ke arah
lain dia mahu bergerak, bila dihalakan ke arah kaabah gajah tak mahu bergerak.
Ketika itu juga kelihatan awan hitam dilangit, bila kehitaman hitam itu makin
dekat rupanya sekumpulan burung burung Ababil setiap seekor burung bawa tiga
biji batu kecil. Bila tentera Abrahah tiba burung-burung
ini melepaskan batu-batu kecil ini kepada tentera Abrahah. Maha Besar Tuhan
yang maha Gagah, bila batu-batu kecil ini mengenai tentera Abrahah mulalah
daging-daging mereka berguguran dan menjadi cair. Ramai tentera Abrahah yang
mati, bila Abrahah melihat hal itu dia lari menyelamatkan diri tapi batu sudah
mengenai badannya. Akhirnya Abrahah dan semua tenteranya semuanya mati tanpa
kecuali. Allah telah menceritakan pada kita umat akhir zaman cerita ini dalam
Al Quran.
Maha Besar Tuhan, dengan
peristiwa ini bertambah besarlah penghormatan orang orang Arab kepada Kaabah
terutama bangsa Quraish dan orang orang Mekah yang menyaksikan peristiwa itu
dengan mata kepala mereka sendiri. Dengan itu tahun itu dinamakan Tahun Gajah. Bermula
dengan kejadian ini orang Arab menyusun taqwim mereka dengan peristiwa ini. 5
tahun sebelum tahun gajah, 2 tahun selepas Tahun Gajah, dan seterusnya. Maka
Rasulullah SAW Nabi Besar junjungan kita dilahirkan pada tahun ini. Iaitu pada
12 Rabiul Awal Tahun Gajah.
Bagaimana Farsi pula bertapak di Yaman?
Jadi selepas Abrahah dan
tenteranya Allah musnahkan dengan tentera Ababil. Yaman terus diperintah oleh
anak anak Abrahah sampailah kezaman Masruq bin Abrahah. Ketika itu muncul salah
seorang keturunan Tubba' raja Yaman sebelum Yaman dikuasai oleh orang orang
Habsyah. Namanya
Saif bin Abi Yazan. Dia ingin merampas kembali kerajaan Yaman dari orang-orang
Habsyah. Dia minta pertolongan Qaisar raja rom. Qaisar enggan menolong sebab
orang-orang Habsyah beragama Nasrani macam Qaisar juga. Saif minta tolong Raja
Arab pula iaitu Raja Nukman bin Munzir, Raja kerajaan Kabilah Manazirah. Dia
tak berani menentang Kerajaan Habsyah yang jauh lebih kuat daripadanya.
Akhirnya Saif minta tolong Raja Farsi. Ringkasnya Raja Farsi telah menghantar
banduan-banduan dari penjara bersama salah seorang panglimanya yang paling
gagah memimpin pasukan ini ditambah dengan Saif bin Abi yazan dan pengikut
pengikutnya. Mereka berjaya mengalahkan tentara Habsyah di Yaman dan Masruq bin
Abrahah dibunuh oleh Panglima Farsi ini. Saif berjaya menghalau orang orang
Habsyah dari Yaman tapi masalah mereka tak selesai, Farsi pula memerintah
mereka. Kisra melantik gabenornya di Yaman, bermula dengan Mirzaban kemudian
Taibujan dan akhirnya sampai ke Bazan. Ketika Rasulullah Saw ditabalkan menjadi
Rasul dan mula berdakwah dan memperjuangkan Islam, ketika itu Yaman diperintah
oleh Bazan. Bazan akhirnya masuk Islam
selepas Rasulullah hijrah ke Madinah sebelum Futuh Mekah. Orang orang Yaman
masuk Islam dengan Islamnya Bazan dan Rasulullah Saw mengekalkannya sebagai
Gabenor Yaman sampai dia mati.
No comments:
Post a Comment