Dipelihara oleh Abdul Mutalib dan Abu Talib



Assalam wrt. Ketika Rasulullah Saw berumur enam tahun, ibunya Siti Aminah kembali ke rahmatullah. Begitulah percaturan Allah kepada kekasihnya Rasulullah, ditakdirkan Rasulullah hidup yatim piatu kerana hikmah-hikmah yang Allah mahukan pada diri Rasulullah Saw. Rasulullah dipelihara oleh datuknya Abdul Mutalib ketua Mekah. Walaupun Abdul Mutalib ketua Mekah tapi dia hidup miskin kerana hartanya dihabiskan untuk memberi khidmat dan melayan tetamu-tetamu Baitullah. Begitulah secara umum kehidupan orang orang bangsawan Arab yang pemurah. Harta mereka dihabiskan untuk masyarakat dan mereka hidup miskin. Begitulah keadaan Bani Abdul Mutalib kerana mereka bertanggung jawab melayan tetamu-tetamu Kaabah.

Tentu besar hikmahnya, Allah takdirkan Rasulullah hidup yatim piatu dan miskin. Rasulullah dari kecil belajar kehidupan fakir miskin dan menjadi anak muda yang tahan lasak. Bahkan Rasulullah tahu benar bagaimana kehidupan fakir miskin. Begitulah Allah mempersiapkan Rasulullah untuk memimpin Ummah. Rasulullah dipelihara oleh datuknya juga mempunyai hikmah besar. Setelah Rasulullah dipersiapkan oleh Allah untuk mengalami hidup susah dan miskin dan bergaul dengan orang miskin, melalui Abdul Mutalib ini Allah mahu mendidik Rasulullah berhadapan dengan pembesar-pembesar dan pemimpin masyarakat pula. Rasulullah sentiasa menemani datuknya Abdul Mutalib dalam majlis-majlisnya. Selama dua tahun Rasulullah ikut menghadiri semua majlis-majlis Abdul Mutalib yang sentiasa menerima kunjungan-kunjungan dari semua pembesar Arab. Setelah Rasulullah berumur 8 tahun, Abdul Mutalib pula meninggal dunia. Rasulullah dibela pula oleh bapa saudaranya Abu Talib yang juga ketua Mekah, menggantikan ayahnya Abdul Mutalib. Abu talib ini lebih miskin dari Abdul Mutalib. Anak-anaknya semua terpaksa membantu kerja-kerja Abu Talib. Jadi Rasulullah juga mula bekerja dengan sepupu-sepupunya membantu meringankan tanggungan Abu Talib. Rasulullah menjaga kambing. Justeru itu Rasululah selalu di padang pasir, di luar dari kesibukan Mekah. Kadang-kadang berhari-hari Rasulullah tidak balik ke Mekah. Hidup di padang pasir jauh dari kesibukan orang ramai sambil menternak kambing juga merupakan proses yang Allah buat kepada Rasulullah. Rasulullah belajar mengasihi banatang-binatang ternakannya. Begitulah peribadi Rasulullah, sangat mengasihi umatnya. Kasih sayang Rasulullah berlaku kepada seluruh Alam. Dengan ini juga Rasulullah mula hidup berdikari, hidup diatas hasil usaha tangannya sendiri. Lama tempoh Rasulullah mengembala kambing. Dari baginda berumur lapan tahun sehingglah baginda berumur 21 tahun. Dalam Hadis ada disebutkan :

Tidak ada Nabi, melainkan semuanya pernah mengembala kambing


Jadi mengembala kambing ini kerja para para Nabi, apa hikmahnya? Para ulamak cuba mencungkil hikmah-hikmahnya. Kata mereka : Orang yang mengembala kambing selalu berada dipadang pasir. Ini menyebabkan dia selalu bersendirian. Selalu 'Khalwah'. Orang yang selalu bersendirian ini akan banyak berfikir, meneliti dan melihat kebesaran Tuhan pada langit, matahari, bulan, bintang, awan dan alam sekelilingnya. Begitu juga selalu dapat merenung ke dalam diri dan bermuhasabah. Semua hal ini menjadikan jiwanya bersih jernih. Tapi bagi orang yang hidup dibandar yang sibuk, kehidupan yang sibuk itu tidak memberi ruang kepadanya untuk berfikir, meneliti dan mengkaji apa lagi untuk selalu muhasabah diri. Wallahua'lam.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah