Assalam...Puji dan puja ku persembahkan
pada ALLAH, kerana kemuliaan dan kebesaran-Nya. Doa keselamatan kuutuskan
khusus pada Rasul termulia, Muhammad SAW yang mati-matian bekerja untuk Islam.
Demikian juga seluruh keluarga dan sahabat baginda. Semoga ALLAH juga
menyelamatkan kita semua di dunia dan di akhirat.
Kegairahan umat nampaknya bertambah dalam
menyatakan dan memperjuangkan Islam. Dan kalau trend ini dibiarkan berjalan
terus suatu saat nanti kita akan sampai ke satu era kehidupan yang mulia dan
agung, yakni terbinanya jamaah dan ummah Islamiah, sebuah masyarakat yang
ahlinya tunduk patuh dalam menerima dan mempraktikkan Islam. Namun satu hakikat
mesti diakui, bahawa untuk mencapai hal itu tidaklah semudah yang kita rasakan
dan gambarkan. Di samping penentang dan musuh yang pasti tidak akan mengalah
dengan kita, juga genggaman faham sekularisma yang kuat dalam sanubari umat.
Kita sendiri sebenarnya sangat kabur tentang jalan-jalan yang dapat
menyampaikan kita ke sana.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya di
akhir zaman (termasuk zaman kita), umat Islam senantiasa berpecah dan
berselisih. Kerananya perpaduan sangat sukar untuk ditegakkan. Bila perpaduan
tidak ada, bagaimana jamaah dapat kuat dan tahan?
Apakah yang menjadi sebab perselisihan dan
perpecahan yang terjadi di kalangan umat Islam? dan bagaimana pula caranya
untuk menyelesaikan masalah perpecahan dan perselisihan itu? Dua persoalan
itulah yang gagal dijawab oleh pencinta-pencinta Islam dengan jawaban yang
tepat. Masing-masing bersandar pada teori masing-masing. Maka terjadilah
berbagai cara dalam usaha menyelesaikan masalah perpecahan umat itu. Tanpa
ingin membuat komentar, di sini dihuraikan sebuah sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud:
Hampir tiba waktunya kamu akan diserbu
beramai-ramai oleh musuh-musuh kamu sebagaimana orang menyerbu makanan dalam
suatu hidangan. Seorang sahabat bertanya, "Apakah disebabkan jumlah kami
ketika itu sedikit?" Rasulullah SAW menjawab,"Bahkan jumlah kamu
banyak. Tapi kamu tidak ubahnya seperti buih-buih di permukaan air sewaktu
musim banjir. Ketakutan akan dicabut dari hati musuh-musuhmu, sebaliknya akan
dicampakkan ke dalam hatimu penyakit Al wahan. Seorang sahabat bertanya,
"Apakah Al wahan itu ya Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab, "Yaitu
cinta dunia dan takut mati “ (Riwayat Abu Daud dari Sauban).
Ya, sebab utama terjadi perselisihan di
kalangan umat Islam ialah kerana jiwa mereka telah diserang penyakit cinta
dunia dan takut mati. Dengan penyakit itu umat Islam bukan saja telah
berselisih sesama mereka, tapi kemiskinan dan kehinaan melanda di mana-mana!
Musuh-musuh pun telah menyerbu umat Islam sekehendak mereka.
Umat Islam hari ini telah menjadi suatu
umat yang paling lemah, paling miskin dan paling hina. Mengapa? Sebabnya tiada
lain adalah kerana umat Islam telah melupakan ALLAH, kerana itu ALLAH melupakan
mereka dan membiarkan mereka diapa-apakan oleh musuh.
Kalau penyakit-penyakit jiwa umat Islam
dapat diuobati, kemudian diganti dengan jiwa yang cinta akhirat dan cinta ALLAH
serta sanggup mati untuk Islam, saya kira itulah satu penyelesaian untuk masalah
yang dihadapi umat Islam. Dan detik itu adalah detik awal dimulainya perpaduan
dan kekuatan umat Islam, yang mencatat satu era baru bagi kehidupan mereka.
Mudah-mudahan kita akan tergolong dalam golongan yang dimaksud oleh Rasulullah
SAW dalam hadis baginda:
“Senantiasa ada satu golongan yang dapat
melahirkan kebenaran, orang-orang yang menentang tidak akan memberi mudharat
kepada mereka, hingga datanglah perintah ALLAH (hari kiamat). “
Kita semua berkeyakinan bahwa di zaman kerosakan
ini, rosak akidah, rosak akhlak, rosak pergaulan dan tegangnya krisis nilai di
kalangan ilmuwan-ilmuwan yang berkaliber, maka keutamaan perjuangan hendaklah
diarahkan pada pembentukan jiwa dan pembinaan perpaduan di kalangan umat Islam.
Kefahaman, keyakinan dan sikap umat Islam hendaklah diarahkan kepada cara-cara
yang dikehendaki oleh Islam. Keselarasan dalam bagian-bagian itu adalah modal
terbesar untuk lahirnya Toifah atau 'golongan' yang dimaksudkan dalam hadis di
atas.
Anda yang sedar akan tanggung jawab kita
sebagai khalifah ALLAH, kemudian bercita-cita sungguh-sungguh untuk
menunaikannya, maka INILAH JALAN KITA. Kita Islamkan dulu diri kita, anak
isteri kita, rumah tangga kita, surau dan masjid kita, serta kampung kita. Kita
pikirkan dulu tentang shalat, aurat, pergaulan, pendidikan, perpaduan, ekonomi,
dan aspek hidup harian yang lain, apakah sudah Islam atau belum? Kalau sudah,
bersiaplah! ALLAH akan serahkan negeri dan negara ini pada kita. Kita akan
menjadi tuan nantinya. Tapi kalau belum, tidak usah bermimpi untuk mendapat
negara Islam. Sebaliknya anda akan gagal segagal-gagalnya. Laksana orang yang
membawa sebatang cangkul untuk meratakan sebuah bukit. Bukit tidak akan roboh,
cangkul mungkin patah dan saudara akan letih, mungkin mati kering sebelum
memperoleh apa-apa.
Jadi marilah kita daki tangga kejayaan
itu dari anak tangga yang pertama, kedua dan seterusnya. Biar lambat asal caranya
benar, daripada cepat tapi caranya salah. Apa ertinya cepat kalau tidak
berhasil, bukankah lebih baik lambat
tapi hasilnya besar?Cuba kita sama-sama renungkan.
Wallahua'lam..
No comments:
Post a Comment