Engkau yang kami sembah, Engkau sumber pertolongan




Assalam... Apa khabar semua? Mari kita sambung lagi mengembara dengan ayat kelima Surah Al Fatehah iaitu:

Maksudnya: "Akan Engkaulah (ya Allah) kami sembah dan akan Engkaulah kami minta pertolongan." (Al Fatehah: 5)

Dalam ayat di atas ada dua perkara iaitu:

1. Tuhan tempat kita menyembah
2. Tuhan tempat kita meminta tolong

Mengapa ayat ini merupakan ayat kelima? Adalah tidak munasabah kalau diletak di awal atau diletak selepas Bismillah, terutama kerana roh kita belum dapat melihat lagi siapa Tuhan itu sebenarnya. Sejauh mana nikmat dan rahmat-Nya, sejauh mana kemampuan-Nya serta setakat mana kuasa-Nya. Kita sekadar tahu adanya Tuhan tetapi kalau kita tidak tahu sejauh mana keperluan kita terhadap Tuhan maka tidak munasabahlah kalau tiba-tiba cakap hendak sembah Tuhan. Kerana itu tidak munasabahlah ayat itu hendak diletak di depan. Jadi Tuhan susun ayat dengan susunan begitu, tentu ada maksudnya. 




Kita telah menceritakan kasih sayang dan nikmat Tuhan yang begitu banyak yakni apabila kita bahaskan 'Bismillahirrahmanirrahim'. Kemudian kita bahaskan patut Tuhan itu dipuji iaitu memuji Zat-Nya yang sungguh luar biasa, yang tidak ada tandingan, yang mana kita faham sifat kesempurnaan-Nya tiada kesudahan. Nikmat-Nya ada yang bersifat lahir, aqliah dan rohaniah. Sedar atau tidak, semua yang di dalam ini ada hubung kait dengan kita.  

Setelah itu, kita bahas hebatnya pentadbiran Tuhan dengan sistemnya yang begitu rapi yang mana, sekali Tuhan cipta tiada perubahan lagi dan tidak tersilap lagi. Kemudian kita bahas dan faham bagaimana Tuhan memberi nikmat atas dasar Rahman atau atas dasar Rahim. Nikmat yang diberi atas dasar pemurah, itu istidraj atau dari murka Tuhan tetapi murka Tuhan itu tanpa emosi. Emosi itu perasaan. Maha Suci Tuhan itu dari berperasaan. Begitu juga ada orang yang diberi nikmat atau rahmat atas dasar kasih sayang Tuhan. Itu juga bukan dari perasaan hati. Kasih sayang-Nya tersendiri tanpa perasaan. Kasih sayang-Nya bukan macam makhluk. 'Maliki yaumidin' itu pula menceritakan kuasa Tuhan yang begitu mutlak. Nampak kuasa dan keadilan-Nya.

Setelah semua itu kita faham, barulah Tuhan minta kita sembah-Nya dan apabila hendak minta tolong, Dia suruh minta tolong dengan-Nya. Setelah dikaji, cukup logiklah bahawa Allah adalah Tuhan dan Dia tempat meminta. Pada Allah ada segala-galanya. Sebab itulah ayat itu diletak di tempat keempat dalam Fatehah. Kita pun berpuas hati. Patutlah Tuhan itu disembah dan munasabahlah Dia tempat meminta. Logik sangat untuk akal dan hati terima.  

Marilah kita buat pengakuan untuk surrender. Kita hendak buat pengakuan bahawa kita hamba dan Allah itu Tuhan. Kita perlu kepada Tuhan dan perlu meminta dari Tuhan. Kalau Tuhan tidak ajar, kita pun tidak tahu bagaimana untuk berbuat dengan keperluan dan kepentingan kita. Setelah tahu Tuhan itu segala-galanya, maka Tuhan ajar kita bagaimana untuk kita berbuat dan bereaksi iaitu melalui ayat, "Akan Engkaulah kami sembah dan akan Engkaulah kami minta pertolongan."

Untuk membahas maksud masing-masing, mari kita merujuk kepada nahu. Itu pengikat supaya perbahasan jangan terkeluar. Bahasa Arab itu sudah luar biasa. Ia tidak seperti Bahasa Melayu. Bahasa Arab ada kaedah. Sebab itulah saya terjemahkan, "Akan Engkaulah kami sembah, akan Engkaulah kami meminta pertolongan." Jadi bagi lidah Melayu, apa dia rasa, apa maksudnya bolehlah kita susun sendiri. Terjemahannya tidak jadi masalah. Yang penting susunan Bahasa Melayu dan kehendak bahasa Arab itu sama.

Jadi terjemahannya, "Akan Engkaulah kami sembah, akan Engkaulah kami meminta pertolongan."

Kalau ikut Bahasa Melayu kita tidak sebut, "Saya makan akan nasi," tetapi kita akan cakap, "Saya makan nasi." Kalau istilah Arab, "Saya makan akan nasi," itulah makna yang tepat. Tapi kalaulah saya kata, "Nasilah yang saya makan," maksudnya memang berbeza. Mengapa tidak katakan, "Saya akan sembah Engkau." Kalau ikut Bahasa Melayu itu kan sedap. Tidak cacat dan dikira fasih. Bagi ahli Bahasa Melayu, ayat itu cantik.

Tetapi Tuhan tidak ajar begitu. Selepas ayat "Malikiyau middin", Tuhan tidak kata, "Maka dengan itu akan kami sembah Engkau dan akan minta tolong pada Engkau." Kalau kita bahas dalam Bahasa Melayu, hendak dahulukan 'Tuhan' atau hendak kemudiankan 'Tuhan', sama sahaja. Sedangkan dalam Bahasa Arab maknanya tidak sama. Ia sangat berbeza.

Kalau kita bahas secara Bahasa Melayu, cukuplah maknanya, "Kami akan sembah Kau wahai Tuhan, kami akan minta tolong dengan Engkau". Sebaliknya kalaulah disebut, "Akan Engkau kami sembah," itu dianggap Bahasa Melayu yang tidak fasih atau tidak standard. Sebaliknya bagi bahasa Arab, kata-kata itu adalah standard. Sebagai perumpamaan, katalah ada seorang yang kita cinta. Kalau kita hendak lahirkan kata cinta depan dia, ada dua cara iaitu dengan berkata: 

"Aku cinta engkau."  Dan ada satu cara lagi, bahkan lebih mantap tetapi tidak tahulah apakah ia sesuai dengan selera orang Melayu atau tidak. "Engkau sahaja satu-satunya cinta aku."

Perkataan 'engkau' didahulukan. Kalau 'Aku cinta engkau' itu pada rasa orang Arab tidak cinta sangat. Kalau orang Arab kata, "Aku cinta akan engkau," boleh jadi ada yang lain yang dia cintai. Kalau orang Arab kata, "Engkau adalah satu-satunya cintaku," ertinya cintanya hanya satu. Ertinya, "Engkau jantung aku, aku sanggup mati kerana Engkau."

Begitulah hebatnya Tuhan melihat dalam susunan ayat-ayat. Sebab itu kalau hendak mengajar tafsir, mesti tahu bahasa Arab. Kalau terjemah atau meniti huraian tanpa faham makna, dia akan ikut cara Melayu bukan cara Arab, tentu berbahaya. Sebab itu Tuhan berkata, "Tiada Tuhan lain yang disembah, hanya Tuhan itu sahaja. Akan Engkau kami sembah." Kalau dikata, "Saya akan sembah Engkau," ertinya mesti ada yang lain yang disembah, mungkin dua atau tiga, ini bahaya. Tapi bila dikata "Engkau sahaja yang kami sembah" Ertinya hanya Engkau yang satu. Tidak ada yang lain. Itu menunjukkan cara pengakuan itu kuat. "Tidak ada Tuhan lain," ertinya "Hanya Engkau Tuhan."

Tapi kalau kita kata, "Aku akan minta tolong pada Engkau," mungkin kita akan minta tolong dengan Jepun, dengan Amerika, dengan Korea sebab negara-negara itu maju. Kalau dikatakan, "Akan Engkaulah tempat kami meminta pertolongan," ertinya tidak ada pilihan lain. Maha Besarnya Engkau, Tuhan. Itulah yang dimaksudkan oleh "Iyyakana' budu wa iyya kanasta'in". Maknanya, begitu kita telah buat pengakuan. 

Ayat itu kuat, cuma bila hendak diapplikasikan dalam kehidupan, aplikasi inilah yang tidak kuat. Pengakuan atau ayat sudah mantap, tidak ada kiri atau kanan. Semuanya terus pada Allah tetapi kerana sudah diganggu oleh nafsu, syaitan dan dunia maka pengakuan tidak sama dengan perlaksanaan. Kita minta tolong pada banyak tempat. Kalau minta sebab-sebab, boleh tahan, sebab itu Tuhan ajar. Itu sunnatullah. Tapi kadang-kadang  sebab-sebab itu dijadikan macam Tuhan. Contohnya kita kata, "Kalau tidak buat begini atau begitu, bagaimana hendak hidup." "Kalau tidak sandarkan pada pemimpin itu, mati kita tidak makan." Seolah-olah Tuhan itu langsung tidak ada peranan. Ertinya kita tidak amalkan apa yang kita sebut dalam surah Al Fatehah itu. Pengakuan lain, perlaksanaannya lain pula.

Kedudukan ayat pun sangat mantap. Ayat itu diletakkan pada nombor lima. Kedudukannya tepat dan cara mengungkapnya pun cukup mantap. Begitulah huraiannya. Sungguh Allah itu Maha Bijaksana. Kalau Dia menyebut sesuatu perkara itu, itulah yang paling tepat. Tidak ada yang lebih tepat dari itu. Dan itu termasuk rahmat dan nikmat Tuhan, supaya Tuhan bercakap dengan kata-kata yang sangat berhikmah, agar aqidah umat selamat. Itu pun ramai lagi yang tidak selamat juga. Kalau Tuhan tidak bercakap dengan berhikmah seperti itu, lagi ramai yang sesat. Kata-kata Tuhan yang paling tepat itu termasuk dalam rahmat dan nikmat Nya. Sungguh sangat terasa betapa berdosanya kita kerana begitu sekali Tuhan ajar kita berucap tetapi tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

APA ERTI SEMBAH?



Sembah maksudnya luas dan global. Maksudnya membesarkan, menghormati, mengagungkan dan mengiktirafkan. Sewaktu kita sembah Tuhan, mana boleh ada satu rasa sahaja. Kita himpunkan semua rasa. Rasa akan kesempurnaan Tuhan. Orang yang hatinya hidup, dia tidak patut ada satu rasa sahaja. Sebab sembah itu menghimpunkan rasa-rasa yang mengambarkan kesempurnaan Tuhan. Kalau orang yang hatinya sudah mati, mungkin dia akan rasa satu perasaan sahaja yakni dia akan rasa Tuhan memang patut disembah. Hendak rasa hebat, besar dan hormat pada Tuhan, itu tidak ada terasa. Sebab itu rasa-rasa ini mesti dilatih sejak dari kecil. Sebab kesan menyembah Tuhan itu tidak sama. Kadang-kadang kita nampak orang itu secara lahirnya banyak sembah Tuhan tetapi tidak ada kesan. Dia hanya bawa rangka tetapi tidak ada rasa apa-apa.

Kadang-kadang ada orang cukup dengan sembahyang sunat dua rakaat tetapi hati sangat terkesan sebab dia faham. Dia rasa dan dia hayati. Dalam pengakuan sembah itu, yang patut kita rasa ialah rasa Tuhan itu Maha Hebat, Maha Besar dan rasa hormat pada-Nya. Rasa-rasa itulah patut ada waktu kita sembah. Kalau setakat rasa Tuhan memang patut disembah, itu kecil sangat. Itu aqidah asas. Ia bukan aqidah yang sampai boleh mengubah sikap. Itu hanya asas yang asalnya jangan sampai rosak aqidah. Sebab itu kalau orang kenal Tuhan dan kenal kelemahan dirinya, apabila sembah Tuhan terasa sedapnya. Kalau kita ada emak ayah yang penyayang dan bertanggungjawab, bagaimana kalau kita datang menghadapnya? Rasa seronok, rasa kuat, dan rasa dapat sesuatu. Hendak berpisah, terseksa. Kalau terpisah, rasa rindu. Itu dengan emak ayah. Apatah lagi dengan Tuhan. Tetapi kalau kita sembah Tuhan tanpa kita kenal, sekadar jangan rosak aqidah, akan timbul rasa jemu.

MENGAPA SEMBAH DIDAHULUKAN DARI MEMINTA PERTOLONGAN?

Sembah itu yang penting manakala minta pertolongan itu sampingan. Sembah itu tauhid atau aqidah maka itu kena didahulukan. Walaupun meminta tolong itu unsur aqidah tetapi Tuhan sudah buat peraturan, sudah sunnahkan supaya kita lahirkan sebab-sebab. Kita disuruh meminta dengan Tuhan tetapi kena usaha lahirkan sebab. Itu syariat. Antara syariat dengan aqidah, bukankah aqidah lebih besar.

STAIL TARBIAH TUHAN DALAM AL FATEHAH

Bila kita bahas lebih jauh lima ayat pertama Al Fatehah ini maka kita dapat melihat bagaimana didikan atau tarbiah Tuhan. Stail tarbiah Tuhan itu sebenarnya ada dalam surah Fatehah. Kalau para guru, pemimpin dan ibu ayah boleh faham, boleh hayati dan boleh amalkan kepada pengikut, anak buah, murid-murid dan anak-anaknya, insya-Allah, berkat dari Tuhan, akan sangat memberi kesan. Tetapi mungkin orang tidak perasan.

Mari kita mencungkil dari susunan ayat-ayat Al Fatehah, bagaimana Tuhan mendidik manusia. Sebenarnya didikan dalam Al Fatehah sangat cantik dan sistematik.

Tuhan mendidik manusia tidak secara mengejut tetapi secara tadarruj yakni beransur-ansur. Dari yang ringan-ringan kepada yang agak berat, sehinggalah yang sangat berat, sehingga sampailah matlamat yang Tuhan maksudkan. Kalau kita baca dari ayat 'Bismillah' hingga ayat 'Iyyakana'budu...', banyak ilmu pendidikan yang kita dapat. Tuhan mendidik manusia tidak secara mengejut tetapi secara bertahap agar sesuai dengan akal dan fitrah manusia. Sebab Tuhan jadikan akal dan fitrah manusia tidak boleh diasak sekaligus kerana ia akan rosak. Sama ada ia tidak tahan dan jadi jumud atau jadi militan dan agresif. Kedua-duanya Tuhan tidak mahu kerana kedua-duanya bahaya. Sebab itu Tuhan mendidik secara bertahap.

Matlamat terakhir adalah supaya Tuhan itu manusia sembah dan hendaklah manusia meminta tolong dari-Nya. Itu kemuncak kepada pengenalan dari didikan secara tadarruj atau yang beransur-ansur tadi. Matlamat Tuhan ialah supaya orang akui Dia Tuhan dan mesti sembah Dia. Di awal surah, Dia tidak terus kenalkan diri Nya, "Aku Tuhan." Tapi Tuhan perkenalkan diri-Nya secara sedikit demi sedikit, iaitu:

1. Tuhan kenalkan diri-Nya dengan secara gembira atau tabsyir: Dalam 'Bismillah', dikenalkan Tuhan itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Dirasakan nikmat yang terlalu banyak. Ada nikmat rohaniah, maknawiah dan ada nikmat lahir. Bila disebut begitu, ada dua perkara yang tersirat yakni:

a) Ada khabar gembira. Nikmat itu adalah khabar gembira.
b) Tidak ada nikmat melainkan yang Tuhan beri. Tidak ada saluran selain dari Tuhan. Sama ada nikmat maknawi atau yang lahir.

Mungkin kita tidak terasa kerana kita sudah lama menjadi orang Islam dan sudah sering mendengar Fatehah sehingga kita sudah lali. Orang Arab, waktu mula-mula datang wahyu itu, 1500 tahun lalu, bila turun 'Bismillah', mereka terkejut. Sebelum turunnya ayat itu, mereka fikir nikmat itu dari jin, malaikat atau bagi hamba sahaya, dia ingat nikmat itu datang dari tuannya. Dengan turunnya ayat 'Bismillah', mereka terkejut dan tersedar, rupanya nikmat-nikmat itu datangnya dari Tuhan. Jadi dia terasa bahawa rupanya Tuhan itu baik.

2. Bila sudah faham bahawa nikmat ini khabar gembira dari Tuhan maka Tuhan mengajak memuji Dia dengan ayat "Alhamdulillah..." Bagaimana kalau tidak sebut nikmat, tidak sebut khabar gembira tetapi terus disuruh memuji Allah? Tentu orang akan rasa, kenapa hendak puji Tuhan? Begitulah cantiknya cara Tuhan mendidik manusia.

3. Selanjutnya, manusia disedarkan bahawa pujian itu tidak boleh dikongsi. Hanya untuk Allah. Raja atau orang besar tidak boleh kongsi pujian itu dengan Tuhan. Kalau kongsi dengan Tuhan, itu dosa paling berat. Bila dikatakan nikmat itu dari Tuhan, jadi layaklah Tuhan sahaja yang boleh dipuji. Tuhan kenalkan lagi diri-Nya bahawa Dia, 'Rabbul 'alamin,' yang mentadbir seluruh alam, dunia dan Akhirat. Orang yang mula-mula dengar ayat ini, 1500 tahun lalu merasa terkejut. "Hebat Tuhan, ya. Bukan sahaja Dia beri nikmat dan Dia yang patut dipuji, rupanya Tuhan itu mentadbir." Lagi terasa besarnya Tuhan itu. Bukan sahaja Dia mentadbir dunia, bahkan Akhirat pun Dia tadbir.  

4. Kemudian Tuhan perkenalkan diri-Nya lagi dalam 'Arrahmanir rahim', diulang lagi tentang khabar gembira dan ada tanzir yang menakutkan. Cara Tuhan beri nikmat pada manusia ada dua iaitu dengan cara pemurah dan cara kasih sayang. Kadang-kadang atas nama kasih sayang, Dia beri sedikit sahaja nikmat. Atas nama pemurah, Dia beri banyak. Tetapi nikmat yang diberi atas nama pemurah, itu secara istidraj. Tuhan beri banyak itu secara murka.  

Di sini orang naik takut dan akan berfikir, adakah nikmat dari Tuhan itu dia dapat atas dasar istidraj atau atas dasar rahmat. Di sini ada tanzir, ada didikan untuk menakutkan. Sehingga bila seseorang dapat nikmat Tuhan, dia tidak akan lupa diri. Tuhan beri sedikit kepada orang yang Dia sayang, atas dasar rahmat juga. Seolah-olah Tuhan kata, "Buat apalah Aku beri banyak di dunia. Beri najis kepada hamba yang aku sayang. Aku hendak simpan nikmat untuknya di Akhirat." Tetapi manusia tidak faham. Bila dapat sedikit, rasa sedih sangat.

5. Kemudian Tuhan kenalkan lagi diri-Nya agar rasa cinta dan takutkan Tuhan itu bertambah. 'Malikiyau middin', Dia kenalkan diri-Nya bahawa Dia miliki Akhirat. Tidak sebut dunia. Di sini juga ada didikan iaitu:  

  • - Tuhan hendak sedarkan manusia bahawa dunia yang kita pandang hebat itu sehingga manusia sampai bergaduh dan berperang, rupanya tidak ada nilai di sisi Tuhan. Manusia sahaja yang memandang dunia itu besar sedangkan bagi Tuhan, tidak ada nilainya dunia sekalipun sekadar sebelah sayap nyamuk. Maka carilah dunia untuk Akhirat. Jika tidak, manusia akan sangat rugi.
  • - Tuhan pamerkan juga bahawa kuasa mutlak itu di tangan Tuhan, tidak dikongsi langsung dengan sesiapa.

6. Terasa lagi kebesaran Tuhan. Setelah Tuhan perkenalkan diri-Nya dari ayat satu sehingga empat, setelah terasa kebesaran Tuhan, maka barulah Tuhan cakap bahawa hanya Dia yang disembah dan Dia tempat meminta pertolongan. Dalam ayat kelima itu, setelah ilmu tentang Tuhan sudah lengkap, barulah Tuhan arahkan agar Dia disembah, 'Iyyaka na'budu wa iyyaka nasta'in.'

Cara yang Tuhan lakukan itu dalam mendidik manusia, Tuhan minta agar kita lakukan juga kepada manusia lain. Cara mendidik dan cara mengasuh telah Tuhan tunjukkan dalam Fatehah tadi iaitu secara beransur-ansur. Cara itulah yang Tuhan minta kita buat dalam mendidik manusia sehingga akhirnya manusia menyembah Tuhan. Itulah ilmu atau teorinya. Luar biasanya Tuhan bila Tuhan pun telah tunjukkan realiti dari teori ini. Tuhan aplikasikan teori itu di mana perintah sembahyang diturunkan setelah 11 tahun kerasulan. Di peringkat awal, selama 11 tahun, Tuhan turunkan ayat-ayat untuk mengenalkan Tuhan. Kalau dari awal diperintahkan sembahyang, kita akan ragu dengan teori pendidikan secara beransur-ansur tadi. Seolah-olah Tuhan cakap lain tetapi buat lain. Tetapi terbukti, realitinya tepat dengan teorinya. Nampak kebesaran Tuhan. Cantik sungguh didikan Tuhan. Rasulullah SAW mendidik manusia dengan kenalkan Tuhan dahulu. Pada tahun ke-11 kerasulan barulah solat diwajibkan.

Itulah ilmu pendidikan yang kita dapat cungkil dari susunan ayat dalam surah Al Fatehah. Maha Besar Tuhan...Wallahua'lam


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah