As-salam... Al Fatehah ada tujuh ayat. Kalau kita
lihat, tujuh ayat dalam Al Fatehah itu dirangkapkan dua ayat, dua ayat. Ia
seolah-olah berbentuk sajak. Hujungnya disamakan iaitu sama ada huruf mim atau
huruf nun di akhir setiap ayat. Ada ayat yang berakhir dengan 'mim' dan ada
ayat yang akhirnya dengan 'nun'. Ayatnya seolah-olah bahagian akhirnya
dipasang-pasangkan. Sebenarnya dalam
jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh ini, ada hikmah yang besar. Secara isyarat,
ia ada hubungan dengan manusia dan dengan ciptaan Tuhan. Antaranya ialah:
1. Tujuh ayat menggambarkan tujuh hari
dalam seminggu. Dalam tujuh hari itulah sama ada manusia hendak jadi jahat atau
jadi baik, dapat rahmat atau dapat laknat, dapat bahagia atau celaka, jadi
kafir atau jadi mukmin, kaya atau susah, sakit atau sihat. Apakah ada hari yang
lain selain daripada tujuh hari itu (yakni Ahad hingga Sabtu)? Tentu tidak.
Ertinya dalam masa seminggu, kalau seseorang itu benar-benar menghayati Al
Quran; yang intipatinya ada dalam tujuh ayat Fatehah itu, sehingga ia
benar-benar berperanan dalam hidupnya, maka dalam seminggu itu dia boleh
selamat. Kalau Fatehah tidak berperanan pada dirinya dalam seminggu, maka akan
kena laknatlah dia. Huru-hara, haru-biru dan celakalah hidupnya.
2. Tujuh ayat berkait dengan tujuh anggota
badan. Dalam seminggu itu sama ada manusia jadi baik atau buruk, ditentukan
oleh anggota yang tujuh. Sebab itu dalam sembahyang; yang mana sembahyang itu
adalah rukun Islam yang kedua; kesemua tujuh anggota ini terlibat atau
digunakan. Kalau agama lain, mereka menyembah Tuhan tidak melibatkan semua
anggota. Sebaliknya dalam ajaran Islam, semua anggota terlibat untuk tunduk dan
patuh kepada Tuhan.
Ketujuh-tujuh anggota itu ialah:
a. Kepala
- ini termasuklah anggota-anggota yang ada di kepala seperti mata, mulut,
telinga, lidah dan lain-lain. Kegunaan kepala pula ada bermacam-macam jenis.
b. Dua tangan - ia juga banyak peranannya.
Ia boleh berbuat baik atau berbuat jahat, boleh bunuh orang, boleh selamatkan
atau celakakan orang.
c. Kedua-dua lutut
d. Kedua-dua tapak kaki.
Dalam
sembahyang, anggota-anggota sujud itu merupakan tujuh anggota penting tubuh
manusia. Semuanya terlibat dalam solat. Dalam doa Iftitah kita menyebut,
"Hidupku dan matiku adalah untuk Allah." Ertinya semua anggota yang
penting dalam diri kita ini secara tidak langsung sudah kita ikrarkan bahawa
kita serahkan pada Allah. Ertinya kita akan menggunakannya ke jalan Allah
sebagaimana yang Allah kehendaki. Oleh itu kalau kita sedari dan hayati, apa
yang disebut dalam bacaan melibatkan juga anggota dalam perbuatan.
3. Tujuh ayat berkait dengan tujuh Neraka
dan tujuh Syurga. Al Fatehah ada tujuh ayat. Kalau intipati Quran dapat
dihayati atau tidak dapat dihayati, itu yang akan menentukan nasib seseorang
nanti sama ada Neraka yang tujuh atau Syurga yang tujuh. Semua ditentukan oleh
intipati Al Fatehah. Kalau Al Fatehah berperanan dalam hidupnya, dia akan dapat
salah satu dari tujuh peringkat Syurga. Kalau tidak dapat dihayati dan tidak
dapat dijadikan amalan hidup, dia akan masuk salah satu dari tujuh peringkat
Neraka.
4. Tujuh ayat itu juga menggambarkan di
dunia ini ada tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi Di langit ada macam-macam makhluk Tuhan yang
ada hubungan dengan kehidupan manusia. Demikian juga dengan tujuh lapis bumi
yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Ramai ahli sains yang membuat
kajian sudah mengesahkannya tetapi ia setakat hubungan yang lahir.
Sebenarnya ia bukan sekadar hubungan yang
lahir sahaja. Manusia bukan hanya berhubung dengan matahari, bulan dan bintang
sahaja. Tidak juga hanya berhubungan dengan isi bumi, lautan, hutan, binatang,
tanaman dan seumpamanya. Bahkan manusia juga berhubung rapat dengan makhluk
yang ghaib seperti malaikat. Malaikat juga menentukan hidup manusia. Kenapa?
Sebab ia juga tumpang mendoakan manusia pada Tuhan dan ia juga boleh tumpang
melaknat manusia. Tetapi hal yang ghaib ini ahli sains tidak dapat kesan.
Mereka hanya mampu kesan yang lahir seperti hubungan matahari dengan manusia,
hubungan bulan, pasang surut air laut, bintang-bintang dengan kehidupan
manusia. Tentang malaikat, mereka tidak tahu. Padahal malaikat ikut campur
tangan dalam menentukan keselamatan manusia. Mereka juga mendoakan dan memberi
berkat dengan izin Tuhan. Mereka juga melaknat manusia dengan izin Tuhan kerana
kederhakaan manusia. Perkara yang ghaib ini ahli rohani sahaja yang boleh kesan
tetapi saintis tidak boleh kesan.
Selain malaikat, jin-jin juga ada hubungan
dengan hidup manusia. Ini tidak dapat dikesan oleh ahli sains, tetapi boleh
dikesan oleh ahli-ahli rohani. Apa maksud jin-jin juga terlibat? Jin itu
hidupnya ditumpangkan dengan manusia. Dia bergaul dengan manusia. Oleh sebab
itu, apa bahasa manusia itulah bahasa jin. Kalau di Malaysia menggunakan bahasa
Melayu, jin pun bercakap dalam bahasa Melayu. Di Indonesia, jin bercakap bahasa
Indonesia. Kalaulah di Malaysia ada jin yang berbahasa Indonesia, bermakna jin
itu berasal dari Indonesia. Jin di negara Arab berbahasa Arab. Jadi jin tumpang
bahasa manusia itu untuk menunjukkan manusia lebih mulia dari jin. Selain itu, jin juga tumpang belajar dengan
manusia. Firman Allah di dalam Al Quran:
Maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika
Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al Quran, maka tatkala
mereka menghadiri pembacaan (nya) lalu mereka berkata, 'Diamlah kamu (untuk
mendengarkannya).' Ketika pembacaan itu selesai mereka kembali kepada kaumnya
(untuk) memberi peringatan." (Al Ahqaf: 29)
Mujurlah kita tidak nampak jin sebab kita tidak
akan sanggup hendak melihatnya. Begitu juga soal makan. Jin kafir makan
tulang-tulang haiwan yang disembelih oleh orang kafir. Jin Islam pula tumpang
makan tulang-tulang binatang yang disembelih oleh orang Islam. Oleh sebab itu
berhati-hatilah apabila membuang tulang. Buanglah pada tempatnya. Kalau
tulang-tulang itu dibiarkan bersepah, jika ada jin yang datang untuk makan lalu
terlanggar anak kita maka akan timbul masalah.
5. Tujuh ayat ini kalau kita jadikan
panduan, ia boleh didik nafsu kita yang tujuh peringkat Inilah hikmah
terpenting dari jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh itu. Makin kita hayati, makin
kita dapat mendidik diri dan nafsu kita. Bila dikategorikan, nafsu manusia ada
tujuh peringkat iaitu:
i. Nafsu ammarah
ii. Nafsu lawwamah
iii. Nafsu mulhamah
iv. Nafsu mutmainnah
v. Nafsu radhiah
vi. Nafsu mardhiah
vii. Nafsu kamilah
Isi Al Quran itu terkandung dalam Al
Fatehah yang terdiri dari tujuh ayat. Nafsu ada tujuh peringkat dan ayat Al
Fatehah juga ada tujuh. Itu bukan kebetulan. Hikmahnya adalah, kalau Al Fatehah
ini dihayati, nafsu boleh menjadi baik. Nafsu itulah yang menentukan celaka
atau bahagia, patuh atau tidak patuhnya kita pada Tuhan. Paling-paling lemah,
Al Fatehah atau isi Al Quran ini dapat mendidik nafsu sampai ke peringkat mulhamah.
Walaupun nafsu mulhamah ini masih belum mantap, masih goyang tapi itu pun
dikira sudah baik. Itulah nafsu orang soleh. Manakala mutmainnah pula, ia
peringkat nafsu yang sudah istiqamah, sudah tetap serta tidak mudah goyang.
Di sini juga dapat kita faham bahawa
manusia akan bermula dengan nafsu yang paling jahat kepada nafsu yang paling
baik kalau dia benar-benar mengendalikan nafsunya itu. Kalaulah manusia
menghabiskan banyak masanya untuk mempelajari hal-hal yang berkaitan dengan
nafsu dan mempraktikkannya, sesungguhnya manusia akan mampu meningkatkan
dirinya dari tahap ke tahap. Dia akan dapat meningkatkan dirinya daripada
bernafsu ammarah kepada lawwamah, mulhamah, mutmainnah dan paling tinggi akan
sampai kepada mardhiah. Namun ada di kalangan manusia yang mampu sampai kepada
nafsu kamilah; nafsu yang paling atas; iaitu para nabi dan rasul. Manusia biasa
boleh menjangkau sampai nafsu mardhiah sahaja kalau dia sangat berusaha
mengendalikan nafsunya.
Cara untuk kita mengendalikan nafsu hingga
sampai ke taraf malaikat, itu semua mesti dirujuk kepada Al Quran. Ia tidak
boleh dirujuk kepada ilmu jenis lain. Siapa yang boleh menguasai Al Quran
sepenuhnya dan mempraktikkan Al Quran terhadap nafsunya, maka dia akan merasai
bagaimana dia merangkak beralih dari satu tahap ke satu tahap. Hebatnya Allah
kerana menciptakan dalam diri manusia, satu nafsu yang tidak boleh dilihat
tetapi memang berperanan. Kalau manusia mahu, dia boleh mentadbir nafsunya itu.
Tetapi untuk itu ianya mesti dirujuk kepada Al Quran.
Ayat Al Quran itu terlalu banyak, namun
Allah yang Maha Bijak telah meminta kita memberi tumpuan kepada tujuh ayat
sahaja. Kalau kita boleh mengambil tujuh ayat ini untuk kita kuasai segala
kekuatan yang ada di dalamnya maka kita akan boleh mengendalikan nafsu kita.
Yang sebenarnya kalau kita boleh kuasai tujuh ayat itu, kita boleh sampai ke
peringkat ketujuh, yang mana nafsu itu boleh kita tadbir dan kuasai. Nabi-nabi
boleh melakukannya hingga mereka sampai peringkat ketujuh itu.
Allah yang menciptakan nafsu itu tujuh
peringkat, tahu untuk memadankannya dengan tujuh ayat dari surah Al Fatehah
itu. Allah SWT menetapkan kekuatan tujuh ayat Al Fatehah itu boleh
mengendalikan tujuh peringkat nafsu itu walaupun sifatnya tidak sama. Namun
kita seperti diberi amaran bahawa kebanyakan manusia tidak akan mampu untuk
mengambil seluruh kekuatan Al Fatehah itu untuk memerangi nafsu sehingga
peringkat tertinggi melainkan setakat mulhamah atau paling tinggi mutmainnah.
Maha Besar Tuhan yang mampu mencipta tujuh
ayat yang dengan kekuatannya mampu berhadapan dengan tujuh peringkat nafsu.
Saintis pun tidak pernah boleh mengesan kehadiran nafsu itu tetapi Allah boleh
wujudkannya dan Allah berkata bahawa Dia membuatnya sebanyak tujuh jenis. Namun
orang rohani yang diberi ilham oleh Allah boleh melihat kekuatan Al Fatehah ini
yang dirangkum dalam tujuh ayat. Rupanya walaupun ilmunya ilham tetapi ia
bersifat falsafah. Iaitu melihat keajaiban ciptaan Tuhan merangkumkan kekuatan
6,666 ayat itu ke dalam tujuh ayat sahaja yang mana ia boleh dipakai untuk
mengendalikan tujuh peringkat nafsu. Ia bukan kebetulan. Seseorang yang dhaif
dalam mengambil tujuh ayat ini maka dia akan dhaif dalam mengendalikan tujuh
tahap nafsu itu.
Jadi di sini kita sudah nampak kebesaran
Fatehah padahal baru memperkatakan kulit atau muqaddimahnya sahaja. Baru di
pintu Fatehah, belum masuk ke dalam tetapi sudah nampak besar isinya.
Kalau ulama masyhurkan Al Fatehah itu
sebagai Surah Pembukaan kerana ia diletak di depan Al Quran, itu tidak salah
tetapi bagi saya elok dimasyhurkan sebagai Surah Kemenangan sebab pengertiannya
lebih luas. Ini kerana ia merangkumi semua kehidupan langit dan bumi, yang
ghaib dan rohani seperti Syurga, Neraka, nafsu dan lain-lain. Tuhan sendiri
dalam menamakan surah ini menggunakan isim fi'il - 'yang telah mendapat
kemenangan'. Lebih baik makna ini kita masyhurkan kerana Surah Fatehah itu
menentukan seseorang itu mendapat kemenangan atau tidak sama ada di dunia
mahupun di Akhirat. Agar dengan itu hidup ini dipandang berat dan tidak
disia-siakan. Jangan dianggap semuanya kebetulan. Ia ada hubung kaitnya dengan
hidup kita. Wassalam...
No comments:
Post a Comment