Solat atau sembahyang itu, Tuhan yang menetapkan rukun-rukunnya. Ia bukan
ciptaan manusia, bukan direka-reka atau dibentuk oleh manusia. Kalau difahami
dan dihayati, sembahyang itu adalah sesuatu yang sangat hebat. Kita akan dapat
merasakan bahawa Tuhan itu hebat. Kita akan dapat bersandar kepada
kehebatan-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya tetapi
terasa kebesaran-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan bagaimana wujud-Nya
tetapi terasa wujud-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kuasa-Nya tetapi
terasa kekuasaan-Nya. Terasa oleh kita akan kesempurnaan Tuhan. Kita boleh
minta apa sahaja dari Tuhan. Tuhan sedia melayannya.
Solat itu adalah satu modul yang lengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia. Dalam solat ada ubat, ada pil, ada tonik dan ada vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung. Boleh timbul berbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solat dengan syarat ada ilmunya, faham dan solat itu benar-benar dijiwai serta dihayati.
PENDIDIKAN ITU MELALUI IBADAH
Untuk mendapatkan sifat-sifat yang agung ini bukanlah sesuatu yang senang.
Perlu ada pemimpin yang mendidik ke arah itu. Kalau tidak ada pemimpin yang
mendidik, ia mustahil boleh berlaku.Pemimpin
itu pula tidak boleh sebarang atau calang-calang pemimpin.Pemimpin yang hendak
menjadikan bangsanya kuat dan agung mestilah mempunyai segala ciri-ciri dan
sifat-sifat yang agung itu pada dirinya terlebih dahulu. Kalau tidak, bagaimana
dia hendak mendidik bangsanya supaya mempunyai ketujuh-tujuh ciri dan sifat
yang agung tadi. Dia mesti mempunyai mandat dari Tuhan. Dia juga mesti mampu mendidik
hati-hati manusia sepertimana para nabi dan rasul mendidik. Dia mesti faham
perjalanan hati dan roh manusia. Dia mestilah orang yang sangat bertaqwa dan
mempunyai wibawa yang tinggi. Manusia mudah memberi hati, mencintai dan taat
kepadanya.
Pendidikan bangsa mestilah melalui ibadah. Itulah sebabnya Tuhan
memerintahkan kita supaya beribadah kepada-Nya sama ada ibadah pokok mahupun
ibadah sampingan atau sunat. Kalau ibadah yang Tuhan perintahkan itu kita
laksanakan dengan bersungguh-sungguh maka dari situ akan lahirlah kekuatan
sesuatu bangsa. Ibadah pokok atau ibadah asas ialah solat atau sembahyang lima
waktu. Ibadah-ibadah lain adalah sampingan atau sunat. Ibadah pokok atau ibadah
asas mesti ada. Ia menjadi syarat. Kalau ibadah pokok atau asas ini tidak cukup
untuk memberi kekuatan, ia boleh ditampung dan dicukupkan oleh ibadah-ibadah
sampingan yang lain. Kekuatan yang timbul atau yang boleh diperolehi dari
setiap ibadah itu pula tertakluk dan berkait rapat dengan tiga perkara iaitu:
1. Ilmu
2. Kefahaman
3. Penghayatan
Setiap ibadah yang dibuat mesti mempunyai ketiga-tiga perkara ini. Ilmunya
sudah tentu penting kerana tanpa ilmu kita tidak tahu cara yang sebenar untuk
beribadah dan ibadah kita pasti akan tertolak. Tuhan tidak terima ibadah yang
dibuat tanpa ilmu.
Kefahaman lebih penting. Faham itulah hikmahnya. Faham itu ialah ilmu dalam ilmu. Sebab itulah ada Hadis yang mengatakan:
"Barangsiapa yang hendak dijadikan baik, maka dia diberi faham tentang
agama.'' (Riwayat Muawiyah)
Dalam doa pun selalu kita minta kepada Tuhan begini:
Maksudnya: "Ya Tuhanku, berikanlah aku ilmu dan rezekikanlah aku
kefahaman."
Kemuncak daripada ilmu dan faham itulah penghayatan. Penghayatan itu ialah
apabila ilmu dan kefahaman itu betul-betul menjadi roh kita, otak kita, hati
kita dan sikap kita. Apabila sesuatu ibadah itu ada ilmunya, difaham dan
dihayati maka akan jadilah ibadah itu satu sumber kekuatan.
KENAPA SELAMA INI IBADAH TIDAK MENDIDIK KITA
1. Ibadah tanpa penghayatan tidak memberi kesan Kita diberi ilmu tentang
ibadah, sama ada ibadah asas mahupun ibadah sunat, hanya setakat yang
bersangkut paut dengan hukum-hakam iaitu tentang syaratnya, rukunnya, sah dan
batalnya sahaja. Oleh itu dalam beribadah, itulah yang kita jaga iaitu
syaratnya, rukunnya, sah dan batalnya sahaja. Tidak lebih dari itu. Dalam
solat, itulah juga empat perkara yang ditekankan. Begitu juga dalam ibadah
puasa dan haji. Ilmu lain termasuk falsafahnya tidak diajar. Kefahaman dan
penghayatan pun tidak diajarkan. Kalau begitu keadaannya bagaimanalah ibadah
itu dapat dihayati. Kalau ibadah penting seperti solat yang menjadi tiang agama
dan ibu segala ibadah pun hanya diajar syarat, rukun, sah dan batalnya sahaja
tetapi ilmu falsafah, kefahaman dan penghayatannya tidak diajar, maka rugi
sungguhlah kita.
Fenomena ini sudah berlaku selama tujuh ratus tahun semenjak jatuhnya
empayar Islam. Ilmu ibadah yang kita belajar selama ini sangat terbatas. Ilmu
ibadah yang diajar tidak langsung menyentuh tentang roh ibadah atau hikmah
dalam ibadah. Sebab itu kita lihat, orang yang banyak ibadah dan banyak
bersolat pun, ianya tidak memberi apa-apa kesan pada diri dan hati mereka.
Akhlak mereka tidak banyak berubah. Bahkan orang yang banyak ibadah menjadi
lebih beku, tidak aktif, tidak produktif dan sangat pasif. Sabda Rasulullah
SAW:
Maksudnya: "Barangsiapa yang sembahyangnya tidak dapat mencegahnya
daripada maksiat dan kemungkaran maka tidak bertambah dekat dia dengan Allah,
melainkan bertambah jauh daripada Allah." (Riwayat At Tabrani)
Ibadah tanpa penghayatan dan penjiwaan ini tidak memberi apa-apa kekuatan.
Ibadah seperti ini tidak dapat melahirkan bangsa yang kuat dan yang mempunyai
peribadi yang agung. Dalam perintah Tuhan supaya kita beribadah itu terkandung
ubat untuk bagaimana kita boleh melahirkan bangsa yang gagah dan agung, yang
dapat menguasai dunia. Tetapi disebabkan ibadah kita itu hanya ibadah lahir,
tidak ada jiwa, tidak ada roh dan tidak dihayati, kita bersolat atau tidak
bersolat, kita ibadah atau tidak ibadah, sama sahaja kesannya kepada kita.
2. Tidak ada ilmu tentang Tuhan Solat atau sembahyang itu, di antara
tujuannya ialah untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia tentang Tuhan. Bukan
untuk mengajar manusia tentang Tuhan tetapi untuk mengingatkan dan menyedarkan
manusia tentang Tuhan. Manusia sepatutnya sudah ada ilmu dan faham tentang
Tuhan di luar sembahyang. Cuma, manusia atau insan itu sifatnya adalah pelupa.
Walaupun manusia ada ilmu dan faham tentang Tuhan di luar sembahyang tetapi
mereka tetap akan lupa. Itulah sifat manusia. Istilah insan adalah dari istilah
ins dalam bahasa Arab yang maksudnya pelupa.
Solat atau sembahyang akan hanya memberi kesan pada orang yang sudah ada
ilmu dan faham tentang Tuhan. Maka dalam sembahyang, dia hanya diingat-ingatkan
dan disedarkan lagi. Lima kali sehari semalam, Allah ingat-ingatkan dia tentang
Tuhan untuk menampung sifat pelupanya itu supaya dia jangan terus lupa. Itulah
rahmat dan kasih sayang Tuhan. Sembahyang hanya boleh menyedarkan orang yang
sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan. Tetapi bagi kebanyakan umat Islam, di
luar sembahyang dan dalam kehidupan seharian, mereka memang tidak ada ilmu dan
tidak faham tentang Tuhan. Kalau di luar sembahyang sudah jahil, tidak ada ilmu
dan tidak faham, bagaimana untuk mengingat Tuhan dalam sembahyang. Bagaimana
dapat mengingat perkara yang kita tidak pernah tahu dan tidak pernah faham. Ini
perkara mustahil. Orang yang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan
sangat susah untuk disedarkan. Orang macam ini, sembahyang tidak ada makna
baginya. Terpekik terlolong dalam sembahyang pun tidak jadi apa-apa. Dia tidak
ubah seperti orang gila.
Inilah juga sebab kenapa ibadah terutama solat atau sembahyang itu tidak mendidik kita. Umat Islam rata-rata memang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan dan sifat-sifat Tuhan. Sembahyang tidak membawa mereka kepada Tuhan. Jauh sekali mengingatkan mereka tentang Tuhan. Mereka tidak kenal Tuhan yang mereka sembah. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment