Assalam... Semenjak
kejatuhan empayar Islam, maka di waktu itu segalanya sudah lemah. Cara berfikir
sudah lemah, jiwa umat Islam sudah lemah, perpaduan sudah berkecai dan hidup
nafsi-nafsi. Bahkan cerdik pandai Islam, yang hafaz Quran, pakar Hadis dan
pakar hukum dalam Islam pun sekadar boleh miliki ilmu tetapi daya juang dan
daya berfikir mereka sudah lemah. Ulama tidak dapat menyatukan umat yang sudah
berpecah belah. Mereka seperti sudah kecewa dan sudah tidak ada mood.
Maka hasil
dari keadaan ini ada dua perkara yang kita lihat sangat menonjol kelemahannya
di kalangan masyarakat Islam iaitu:
1. Kelemahan
pertama
Walaupun
seseorang itu mengaji lama di Mekah, Universiti Islam atau Universiti Al Azhar,
pakar-pakar itu, apabila pulang ke tanah air, yang disampaikannya tentang Islam
itu ada dua perkara sahaja:
a. Perkara
yang ada hubungan dengan ibadah khusus atau fadhoilul ‘amal.
b. Hukum-hakam
yakni tentang halal, haram, sunat, makruh. Mereka hanya bercakap tentang apa
yang boleh dan tidak boleh, atau menghukumkan bahawa sesiapa yang buat sesuatu
perkara, boleh jadi fasik, jadi zalim, jadi kafir atau jadi musyrik.
Bagi orang
yang ditakdirkan Tuhan imannya dan cintanya kepada Tuhan agak kuat, mereka
mudah menerima tetapi bagi umat Islam yang semangatnya sudah luntur dan jiwa
sudah rosak, kalau hanya ibadah dan hukum-hakam sahaja yang diperkatakan, maka
mereka akan jemu. Padahal agama Islam itu terlalu luas dan global, lebih luas
dari yang disebutkan tadi. Semua keperluan hidup ada dijelaskan oleh Al Quran
dan Hadis, cuma sama ada boleh kita faham, boleh kita hayati dan boleh kita
amalkan atau tidak. Sedangkan di hari ini, walaupun ramai yang mengaji tinggi,
tetapi hanya dua perkara itu sahaja yang popular diajarkan iaitu ibadah berupa
fadhoilul ‘amal dan hukum. Itu sahaja kemampuan para pakar dan ulama hari ini.
Kalau
ditanya apa itu masyarakat Islam, mereka tidak boleh jawab. Kalau kita tanya
apa itu psikologi Islam, mereka tidak boleh jawab. Kalau ditanya apa itu
kekeluargaan Islam, perjuangan Islam, ekonomi Islam, politik Islam,
pentadbiran Islam dan perhubungan Islam, pun mereka tidak boleh menjawabnya
secara luas dan global. Sedangkan itu semua diperlukan oleh masyarakat Islam
dan di situlah indahnya Islam.
Masyarakat
Islam, perjuangan Islam dan kasih sayang itu sangat indah kalau dapat kita
fahami, amalkan dan hayati. Tetapi yang diambil oleh ulama hari ini hanya dua
aspek itu sahaja iaitu ibadah khusus dan tambahan serta hukum-hakam. Hasilnya,
hendak cari cerdik pandai di kalangan pemuda-pemudi Islam sangat susah kerana
mereka itu apabila diajak mengaji agama, mereka sudah mengagak mesti hendak
diceritakan tentang ibadah dan halal haram. Mereka hilang minat. Ulama hanya
memikirkan ilmu tentang hal-hal wajib, sunat, makruh, halal, haram, fasik atau
kafir. Jadi orang Islam hendak mendengarnya terasa takut, betapalah orang yang
bukan Islam.
Inilah yang
berlaku setelah kejatuhan empayar Islam yakni cara berfikir dan jiwa umat Islam
sudah lemah. Akibatnya umat Islam hidup nafsi-nafsi.
Masyarakat
Islam perlu faham psikologi, pendidikan, perjuangan, falsafah, ekonomi,
pentadbiran dan lain-lain. Itu perlu dalam kehidupan. Bila hal ini tidak
diceritakan akhirnya ibadah dan hukum-hakamnya sahaja yang Islam tetapi
pendidikan, ekonomi, pentadbiran dan teknologinya tidak Islam kerana diimport
dari Barat. Kesan dari ulama dan cerdik pandai Islam tidak tahu bagaimana
hendak sajikan keperluan hidup seperti ini sedangkan ianya amat diperlukan,
maka apabila umat Islam ketemu keperluan hidup itu dari Jepun, China atau
Barat, maka mereka mengambilnya bulat-bulat walaupun ia tidak selaras dengan
kehendak Islam.
2. Kelemahan
kedua
Kelemahan
yang sangat menonjol ialah cara menyampaikan ilmu Islam yang sangat terbatas
yakni dengan cara mengaji. Bagi orang dewasa, mereka mengaji agama di masjid
atau surau manakala kanak-kanak belajar di sekolah. Ini sahajalah sumber
ilmunya. Kalau tidak dengar dari pendakwah-pendakwah maka tidak dengarlah apa
itu Islam yang sebenar. Sumber ilmunya sangat terbatas. Saluran lain tidak ada.
Padahal sepatutnya cerdik pandai Islam mesti memikirkan saluran apa lagi boleh
digunakan untuk menyampaikan Islam sesuai dengan keadaan semasa, dengan selera
cerdik pandai atau golongan muda. Kita tidak pernah mendengar orang mengaji
agama melalui sajak, filem, pementasan, teater dan lain-lain lagi padahal
mengaji melalui filem, teater dan kebudayaan itu sangat berkesan.
Kita tidak
pernah mendengar orang mengaji agama cara itu. Yang kita tahu, hendak faham
Islam mesti mengaji secara tradisional. Kita pun belajar di sekolah dan dari
pendakwah. Kita hanya dapat dari dua saluran itu sahaja. Itu pun ada pendakwah
yang kita pergi dengar kuliahnya itu, suka mengata orang atau hanya
memperkatakan hal politik. Padahal Islam boleh disampaikan dengan berbagai
cara seperti sajak, drama, tulisan dan sebagainya.
Bagaimanakah
cara yang paling berkesan untuk mengajak orang memahami Islam? Kalau kita orang
berjuang, lihatlah musim, apa yang orang kampung buat dan apa pula yang orang
bandar buat. Kalau orang kampung sedang buat bendang, kita hantar pasukan
tolong orang kampung di bendang. Itu sangat berkesan. Kita tidak pernah dengar
ada jemaah hantar orang dan traktor ke bendang untuk tolong bajak tanah sawah.
Inilah masalahnya. Sedangkan perkara seperti ini berlaku di zaman Rasulullah.
Kalau musim menuai, ada Sahabat tolong menuai atau mengutip buah. Kalau itu
dibuat, kesannya lebih cepat. Begitu juga kalau kita dengar orang Islam
berniaga kecil-kecilan, maju tidak, mundur pun tidak, sekadar boleh hidup.
Sepatutnya ada jemaah Islam yang tolong.
Islam itu
jika diamalkan cantik dan indah. Sebab itu hari ini kalau kita berjuang, supaya
Islam lebih cepat berkembang maka dua perkara iaitu ibadah dan hukum-hakam itu
dikekalkan, tetapi kena tambah kaedah lain lagi agar orang nampak betullah
Islam itu penyelamat, menghiburkan dan memberi khidmat. Itu bahan untuk kita
berfikir. Jika kita ada cita-cita perjuangan, maka melalui jemaah, kita
berjuanglah supaya bila sebut Islam, umat Islam nampak keindahan, perpaduan dan
kasih sayang. Agar nampak Islam itu cantik dan menarik.. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment