Alhamdulillah...






Assalam...Selepas Bismillah, ayat yang kedua ialah:


Maksudnya: "Segala puji bagi Allah, Tuhan Pentadbir sekalian alam." (Al Fatehah: 2)

Setelah kita hurai, bahas, ulas dan nilai Bismillah, barulah terasa munasabah selepas itu kita puji Tuhan. Yakni setelah kita terasa banyaknya nikmat dan rahmat Tuhan. Setelah kita terasa kita tidak boleh hidup tanpa Tuhan. Setelah kita terasa kita ini hamba-Nya yang patut merendah diri pada-Nya, sebab pada Tuhan ada segalanya yang mana pada Dialah keselamatan kita. Setelah kita rasa patut kita cintai dan takut dengan-Nya. Maka setelah semua itu barulah rasa sedap hendak sebut alhamdulillah. Bila sebut alhamdulillah itu, kita sudah terbayang begitu banyak rahmat dan nikmat Tuhan yang melimpah-ruah. Jika tidak, kita sebut alhamdulillah tapi tidak rasa apa-apa.

Tamsilnya ibarat kita kenal seseorang yang dia itu orang yang baik dan suka membantu. Tentu kita akan cerita dengan orang lain yang tidak tahu sangat hal orang itu. Kita puji orang itu baik. Kita yang memujinya terasa dan tahu orang itu suka menolong dan suka memberi. Manakala orang yang kita ceritakan padanya tentang kebaikan orang yang pertama tadi, mungkin percaya atas dasar kita puji. Tapi dia mungkin tidak terasa apa-apa sebab itu bukan pengalamannya. Sekadar dia baik sangka sahaja terhadap orang itu.

Begitulah kita selama ini puji Tuhan tidak terasa apa-apa. Kadang-kadang alhamdulillah itu jadi wirid pula: alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah... hanya sekadar tidak prejudis, baik sangka, merasakan ia perkataan baik yang patut disebut selalu tetapi kita tidak terasa apa-apa.

Kalau tidak rasa apa-apa ertinya ia tidak boleh bangunkan jiwa. Jiwa tidak hidup dan tidak terangsang. Berlainan sekali dengan orang yang memuji Tuhan dan dapat merasa yang mana akal serta perasaannya terasa dimandikan oleh rahmat dan nikmat Tuhan. Sama ada yang mata boleh lihat, yang tangan boleh sentuh, yang boleh difikirkan dan yang ada dalam perasaan. Maka dalam keadaan itu, bila dia puji Tuhan, dia sangat terasa, sangat terhibur, sangat bahagia, sangat terbangun perasaannya. Orang yang begitu bila puji Tuhan, terutama bila dijadikan zikir, dia terasa sangat indah, sangat lazat, sangat terhibur dan sangat bahagia sebab ada satu rasa yang tidak boleh hendak digambarkan. Ini kerana dia memuji Zat yang Maha Berkuasa, yang sudah memperlihatkan pada dirinya rahmat dan nikmat Tuhan itu. Seolah-olah di depan matanya, nikmat dan rahmat itu macam salji yang turun. Maka terasalah indahnya bila dia sebut alhamdulillah.

Orang yang tidak nampak nikmat Tuhan sekalipun melalui matanya, tidak dirasa oleh hati, lebih-lebih lagi nikmat atau rahmat yang bersifat rohaniah, dia baca alhamdulillah sekadar untuk cari fadhilat. Ianya tidak dapat bangunkan sahsiah dan akhlak. Ia tidak mampu sebab apa yang dia sebut itu tidak menggugat perasaannya. Tidak terasa apa-apa.

Maka patut sekali Tuhan meletakkan Alhamdulillah itu selepas Bismillahirrahmanirrahim. Kalau kita faham Bismillah itu seperti yang disyarahkan, maka kita pun cakap atau ucapkan alhamdulillah. Ia akan jadi sangat indah, sangat memberi kesan dan sangat memberi erti. Kalau tidak, kita tidak akan rasa apa-apa. Maha Besar Tuhan.

Mari pula kita terokai isi atau intipati Alhamdulillah. Sama ada yang bersifat mata, aqliah atau rohaniah.

'Segala puji bagi Tuhan.' Apakah 'puji' itu?
Erti puji ialah ungkapan-ungkapan perkataan yang baik untuk ditujukan kepada seseorang (kalau orang), atau pada Zat (kalau Tuhan), yang mana ungkapan-ungkapan itu layak bagi orang itu atau layak bagi Zat itu.

Kalau itulah takrif pujian atau itulah isi pujian, maka bagaimanakah untuk memuji Tuhan mengikut takrif tersebut? 'Baiknya Tuhan', 'Hebatnya Tuhan', 'Maha Kuasanya Tuhan', 'Pemurahnya Tuhan' dan 'Maha Agungnya Tuhan'. Semua ungkapan itu layak bagi Tuhan. Tetapi kalau kita hendak puji Tuhan atas dasar kelayakan-Nya, ia bukan sekadar itu. Kelayakan Tuhan itu tidak ada batas. Sifat-sifat kesempurnaan Tuhan itu tidak terhingga banyaknya.

Katakanlah Tuhan izinkan kita boleh hidup sejuta tahun. Sepanjang sejuta tahun itu kalau kita hendak puji Tuhan, tidak akan habis pujian kita itu. Mengapa? Sebab sifat kesempurnaan Tuhan itu tidak terhingga dan tanpa batas. Kalaupun Tuhan izinkan kita hidup sejuta tahun yang mana kita sentiasa memuji-Nya dengan lazat, tanpa rasa susah, tanpa terleka, maka sejuta tahun itu tidak akan cukup kerana ia tidak ada kesudahannya. Maha Besarnya Tuhan! Justeru itu patutlah selepas Bismillah ialah Alhamdulillah yakni 'segala puji bagi Allah' sebab perkataan yang layak bagi Tuhan itu tidak ada kesudahan. Jadi kalau kita hendak puji Tuhan, ia tidak akan berkesudahan. Oleh kerana umur kita pendek, tidak mungkin kita boleh buat. Kalau dipanjangkan umur kita berjuta-juta tahun pun, Tuhan lihatkan pada kita kesempurnaan-Nya, tidak akan ada noktahnya. Sebab itulah dirangkumkan pujian itu dengan kata-kata: Segala puji bagi Allah.

Jadi kalau kita faham, baru sedap menyebut alhamdulillah sebab kita nampak mengapa patut kita puji Tuhan itu, sebab sifat yang patut bagi Tuhan itu tidak terhingga. Maha Bijaksana Tuhan meletakkan perkataan Bismillah kemudian diikuti dengan Alhamdulillah.Wassalam


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah