Assalam... Ayat ketiga
Surah Al Fatehah ialah:
Maksudnya:
"Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang." (Al Fatehah: 3)
Ada orang
menterjemahkannya: "Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang." Guru saya lebih cenderung untuk memilih terjemahan: "Yang Maha Pemurah
lagi Maha Penyayang." Pengasih dan Penyayang itu maknanya sama saja.
Manakala Pemurah dan Penyayang ada bezanya.
Dilihat dari
segi nahu, kedua-dua perkataan rahman dan rahim ini akarnya dari perkataan
rahima-rahmanu-yarhamu. Kalau diterjemahkan sebagai Maha Pengasih dan Maha
Penyayang, maka banyak kesilapannya di sini. Mengapa? Mari kita bahaskan.
Kalau kita
terjemahkan sebagai Maha Pengasih dan Maha Penyayang, bila Tuhan beri nikmat
kepada orang yang ingkar dan mungkar atau orang kafir, adakah atas nama Tuhan
yang pengasih? Seolah-olah sama sahaja tujuan Tuhan memberi. Tuhan beri kepada
orang jahat atas dasar kasih dan Tuhan beri kepada orang baik pun atas dasar
kasih. Jika begitu tidak adillah Tuhan. Maha Suci Tuhan dari sifat yang
demikian.
Sesetengah orang tidak berhati-hati menterjemah. Satu perkataan pun, kalau salah terjemah, huraiannya boleh rosak. Sebab itu bukan senang hendak tafsir Quran. Sebelum menghurai, perlu tahu bahasa dahulu sebab bahasa itu asasnya. Makna lafaz itu asas. Kalau lafaz itu sudah tersalah, kalau yang dihurai itu panjang, berapa banyak yang tersilap.
Guru saya
cenderung memberi makna rahman itu pemurah. Kalau seseorang itu memberi atas
dasar pemurah, tidak semestinya dia kasih. Kadang-kadang orang pemurah itu,
kalau ada orang yang susah, biasanya dia memberi kepada orang susah itu lebih
banyak daripada dia memberi kepada orang yang dia kasih. Mungkin orang yang dia
kasih itu sudah senang maka dia tidak perlu beri banyak. Tetapi orang yang dia
tidak kasih itu susah, maka dia beri lebih atas dasar dia pemurah. Beri atas
dasar pemurah, bukan semestinya kasih atau sayang. Sebab itu Tuhan buat dua
nama. (Rahman dan Rahim) Kalau maksudnya sama, kenapa Tuhan sebut dua. Mengapa
tidak sebut 'bismillahirrahman' sahaja atau bismillahirrahim" sahaja.
Rupanya Tuhan beri nikmat kepada makhluknya ada dua kategori, sama ada nikmat lahiriah, maknawiah atau nikmat rohaniah, iaitu:
1. Atas
dasar pemurahnya Tuhan
2. Atas
dasar kasih sayangnya Tuhan
1. Pemberian
Tuhan pada manusia kerana pemurahnya Tuhan. Bagi orang jahat atau orang kafir,
Tuhan beri nikmat atas dasar pemurah bukan atas dasar rahmat tapi atas dasar
istidraj. Kadang-kadang Tuhan beri lebih banyak kepada orang kafir daripada
orang Islam seperti banyak harta, banyak ilmu dan kuasa. Ini supaya nanti di
Akhirat adillah mereka menerima bala yang lebih dahsyat. Seorang yang apabila
diberi sedikit, maka dosanya di atas yang sedikit itu dan bila diberi banyak,
maka dosanya di atas yang banyak itu. Oleh kerana dia orang jahat, tentu dia
akan salah gunakan nikmat itu. Ertinya dengan nikmat itu Tuhan hendak tambahkan
bala dan azab kepada orang itu di Akhirat.
Rupanya dari kenyataan ini, apabila Tuhan beri sedikit atas dasar pemurah kepada orang jahat, walaupun lahirnya atas dasar istidraj, tetapi di situ ada rahmat Tuhan. Apabila dia diberi sedikit maka dosa orang itu di atas yang sedikit tadi. Ternyata dalam pemberian Tuhan pada manusia kalaulah manusia fahami maka kita akan sedar bahawa dalam hikmah ada hikmah. Dalam rahsia ada rahsia. Maha Besar Tuhan, Tuhan beri sedikit pada orang jahat atas dasar pemurah itu rupanya ada rahmat. Oleh kerana dia jahat, kalau diberi banyak maka akan banyak lagi dia terlajak dan lebih berat lagi dia akan menanggung dosa di Akhirat kelak. Dalam jahat itu ada rahmat juga yakni supaya dia tidak teruk sangat di Akhirat. Yang dapat banyak, tandanya Tuhan sudah marah sangat dan dia akan parah di Akhirat. Jadi, bila Tuhan beri kerana marah, itu pun masih ada kasih sayang dan rahmat.
Selain itu,
apabila pemberian itu atas dasar pemurah, side effectnya banyak. Di situ ada
istidraj. Misalnya, kalau kita kaya, mungkin banyak penyakit, hidup dalam
ketakutan kerana ada sahaja orang yang hendak bunuh, hendak tembak, hendak kidnap.
Kalau berkuasa pula, rakyat benci. Terpaksalah dijaga oleh pengawal
berlapis-lapis. Apalah seronoknya berjalan dalam keadaan dikawal? Mana lebih
seronok, bebas berjalan seorang diri ke sana ke mari dengan penuh rasa selamat
atau kita berjalan dengan dikawal berlapis-lapis? Kalau ramai orang, tentu
perasaan terasa rimas dan lemas. Bagi yang ingin rileks sahaja, tentu suka
jalan seorang dan rasa selamat. Indahnya kalau pemimpin begitu.
Oleh itu,
kalau Tuhan beri atas dasar kasih sayang, dapat sedikit pun tidak mengapa.
Kalau Tuhan beri atas dasar pemurah tetapi istidraj, nahaslah. Kalau tidak di
dunia, jangka panjangnya akan berlaku di Akhirat.
Kenapa orang
jahat pun Tuhan beri, atas dasar pemurah?
a. Di dalam
Al Quran, Tuhan sudah berjanji dengan diri-Nya dan Dia tidak akan mungkir
janji. Tuhan sudah berjanji pada azali lagi, selagi makhluk-Nya hidup, Dia
jamin makan minumnya. Bukan kerana sayang tetapi kerana Dia sudah berjanji.
Sekalipun pada orang jahat, Allah jamin rezekinya. Begitulah Tuhan kalau sudah
berjanji pada diri-Nya. Perkara ini kita susah hendak buat. Kita bohong dengan
orang dan bohong dengan diri sendiri. Katalah kita niat hendak sembahyang malam
lebih sedikit tetapi setelah empat rakaat, sudah rasa tidak larat. Padahal
sudah janji malam tadi hendak sembahyang lebih. Janji dengan diri pun tidak
boleh ditunaikan. Apatah lagi janji dengan orang. Rupanya kerana Tuhan sudah
berjanji, maka Dia beri rezeki, beri kuasa atas dasar janji-Nya itu.
b. Selain
itu, Tuhan menganggap dunia ini tiada nilainya maka Tuhan beri pada orang kafir
atas dasar pemurah-Nya. Dalam satu Hadis Qudsi Tuhan menyebut: "Kalaulah dunia ini ada nilainya
setimbang sebelah sayap nyamuk pun, maka orang kafir tidak akan dapat
makan." Bagi Tuhan, dunia ini langsung tidak ada nilai walau sebesar
sayap nyamuk. Dunia ini walaupun besar, ada emas, ada timah, ada berlian, ada
Jepun, Amerika dan Eropah tetapi Tuhan beritahu kita, seluruhnya itu kalau
hendak dibandingkan dengan sebelah sayap nyamuk pun tidak ada nilainya. Kalau
dunia ini ada nilai sekalipun hanya sekadar senilai sebelah sayap nyamuk, pasti
Tuhan tidak akan beri kepada orang kafir dan orang jahat.
Maka sebab
itulah nabi-nabi dan rasul menghayati perkataan 'arrahmanir rahim' itu. Mereka
bangga dan rasa indah dengan miskin sebab mereka tahu Tuhan hendak kayakan
mereka di Akhirat. Bagi mereka dunia tiada harga langsung, walaupun seharga
sebelah sayap nyamuk. Macam kita pandang pasir itu tidak ada harga. Ambillah
siapa yang mahu, ia menyusahkan sahaja.
Jadi Tuhan
beri itu atas dasar janji. Atas dasar rahmat Rasulullah yang mana tidak
dijadikan dunia kalau bukan atas dasar Nur Muhammad. Dunia tidak ada harga.
Sebab itu orang-orang jahat dapat lebih dari orang baik. Tapi kalau orang itu
tidak baik sangat, dia risau mengapa dia susah. Kalau Tuhan balikkan nanti,
beri banyak, dia tidak tahan akhirnya dia dapat nikmat yang banyak itu bukan
dari kategori kasih sayang tetapi atas dasar pemurahnya Tuhan sahaja, lagi
malanglah ia.
2. Pemberian
Tuhan pada manusia kerana kasih sayang-Nya. Kalau Dia beri nikmat itu atas
kasih sayang, maka ia selamat lagi menyelamatkan. Kalau Dia beri atas dasar
pemurah, maka ia berisiko sedikit kerana tidak ada rahmat. Mengapakah Tuhan
beri lebih kepada orang kafir atau fasik sedangkan kepada orang baik itu, atas
dasar kasih sayang, diberi-Nya sedikit? Di sini ada rahsia Tuhan. Ada rahmat
dalam rahmat. Kepada orang yang Dia kasih, pemberian itu dalam rahmat.
Kemudian
seorang itu diberi sedikit, atas dasar kasih sayang, seolah Tuhan tidak sayang.
Kita tidak faham Tuhan sepertimana anak kita tidak faham kita. Bila kita beri
sedikit, anak kita anggap kita tidak sayang, padahal kita hendak didik dia agar
tidak rosak.
Atas dasar kasih sayang kepada orang-orang yang paling Tuhan sayang iaitu para rasul, Dia beri nikmat sedikit tetapi banyak ujian kesusahan. Di sini ada nikmat dalam nikmat. Dia beri sedikit tanda Dia kasih. Rupanya Dia beri sedikit itu ada kasih sayang besar yang akan berlaku di Akhirat. Sebab kalau beri banyak di sini, akan dapat sedikit di Akhirat. Dia beri sedikit di sini sebab dunia ini tidak bernilai dan tiada guna. Tuhan hendak beri banyak pada kekasih-Nya di Akhirat. Di sini ada rahsia dalam rahsia.
Kalau orang
faham maksud Tuhan beri sedikit di dunia kerana hendak beri banyak di Akhirat, maka
orang itu akan rasa Tuhan sayang padanya. Kuliah-kuliah begini mesti
disampaikan pada anak-anak kita. Kalau mereka tidak faham, mereka anggap kita
tidak sayang, maka jadi masalah. Sebab itu minda dan ilmu mesti diberi kepada
anak didik kita.
Pada orang
baik yang Tuhan beri dengan kasih sayang. Makin sedikit diberi, makin Tuhan
sayang. Kalau orang baik diberi banyak, Tuhan kurang sayang. Tuhan sayang dia
sebab dia baik tetapi sayang itu sedikit. Sungguh perkara yang kita lihat
dengan akal seolah terbalik. Orang yang baik sangat, Tuhan beri sedikit, tetapi
Tuhan sayang banyak. Orang yang baik, bila Tuhan beri banyak, ertinya sayang
Tuhan padanya sedikit. Begitulah pentadbiran Tuhan. Begitulah sistem pemberian
nikmat Tuhan.
Kalau
manusia tidak faham, akan jadi masalah. Mengapa? Kalau dia dapat banyak, dia
sombong. Kalau kita faham bahawa itu tanda yang Tuhan tidak sayang sangat
dengan kita maka kita akan cepat-cepat berkorban. Bila orang mukmin itu
mendapat banyak dari Tuhan, sebab dia takut di Akhirat nanti Allah murka, maka
dia memberi-beri. Orang yang dapat sedikit pula redha, faham bahawa dia dapat
sedikit kerana Tuhan sayang dan Tuhan hendak beri banyak padanya di Akhirat.
Maka bila orang dapat pemberian dari Tuhan atas dasar kasih sayang-Nya, atas dasar
rahmat-Nya, maka orang yang dapat sedikit pun jadi baik, yang dapat banyak pun
jadi baik.
Itulah lebih
kurang huraian 'Arrahmanir rahim' secara umum. Rupanya Tuhan memberi pada
manusia atas dua keadaan iaitu kerana Dia pemurah atau kerana penyayang. Kepada
orang-orang jahat, nikmat diberi atas dasar pemurah. Orang-orang baik pula
diberi nikmat di bawah kategori kasih sayang. Kalau nikmat diberi atas dasar
pemurah, banyak risikonya sedangkan kalau diberi atas dasar kasih sayang, ianya
positif sebab di situ ada berkatnya.
PERBEZAAN
AYAT PERTAMA DENGAN AYAT KETIGA
Apa beza
huraian ayat pertama dan ayat ketiga Surah Al Fatehah ini? Mari kita bahas dua
ayat di bawah ini:
Maksudnya:
"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang." (Al
Fatehah: 1)
Maksudnya:
"Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang." (Al Fatehah: 3)
Maksud dari
dua ayat ini, tidak ada beza cuma cara menggunakannya yang berbeza. Kalau kita
ada ilmunya, kita baca 'Bismillah' itu ada satu cara. Kalau tidak ada ilmu,
kita baca sekadar untuk ambil berkat sahaja. Kalau tidak baca Bismillah, nanti
tidak ada berkat. Itu sahaja kefahaman kita. Rahman dan rahim itu, tafsirnya,
bukan bersama Bismillah. Bila dihubungkan dengan bismillah itu, lainlah
jadinya. Tanpa Bismillah, 'Arrahmanir rahim' itu ada peranannya. Tuhan ambil
kira sekalipun satu perkataan. Ada hikmah yang luas sekalipun nampak macam
sama. Cuma kita tidak faham kerana tidak cukup ilmu.
Rahim Tuhan
itu untuk orang mukmin sahaja, sekalipun mukmin yang 'asi (derhaka). Untuk
orang kafir, tidak ada rahim, hanya ada rahman sahaja. Ia dari perkataan yang
sama. Rahmat itu dari perkataan rahimah. Tetapi untuk orang kafir, ia tidak
dinamakan rahmat. Katalah ada dua orang, seorang mukmin dan seorang kafir.
Keduanya sama-sama diberi nasi. Nampak tidak ada bezanya tetapi yang mukmin
diberi atas rahmat dan yang kafir diberi atas dasar nikmat. Nikmat itu dari
pemurahnya Tuhan. Tidak mesti dalam nikmat itu ada rahmat. Tetapi kalau dapat
rahmat, dalam rahmat itu ada nikmat. Rugilah
orang yang hanya mendapat nikmat sahaja.
Namun
demikian, bila Tuhan beri sedikit pada orang kafir, sebenarnya dalam sedikit
itu pun ada rahmat juga. Ibarat dua orang yang kena jel. Seorang kena 10 tahun
dan seorang lagi 20 tahun. Bagi yang kena 10 tahun, atas dasar umur, itu
nikmatlah walaupun jel itu laknat, istidraj atau bala. Kalau dibahas lagi, yang
kena 10 tahun itu dapatlah sedikit rahmat kalau dibandingkan dengan orang yang
kena jel 20 tahun. Kalau dibandingkan dua orang tadi, secara umumnya, mana ada
rahmat. 10 tahun kena jel pun teruk. Cuma kalau dibahas lebih jauh, adalah
rahmat sedikit bagi yang kena jel 10 tahun itu.
Apabila
dikatakan orang kafir pun dapat rahmat dengan kedatangan Rasulullah, itu atas
dasar kefahaman umum. Ibarat Tuhan berkata di dalam Al Quran, Tuhan hamparkan
bumi ini. Benarkah bumi ini terhampar? Bukankah bumi ini bulat? Tapi takkan
Tuhan berbohong. Tuhan gunakan perkataan hampar itu kerana kadang-kadang Tuhan
cakap atas dasar level umum. Orang kampung yang tidak saintifik, dia lihat bumi
ini terhampar maka Tuhan pun cakaplah bumi ini terhampar supaya senang untuk
dia faham. Atas dasar ilmu, begitulah. Adakalanya Tuhan bercakap atas dasar
umum. Orang mungkin tidak setuju kalau dikatakan orang Cina yang dapat ilmu dan
kekayaan itu tidak dapat rahmat. Jenuhlah kita hendak berbahas kalau kita
katakan kaya dan berilmu itu bukan rahmat bagi orang kafir. Jadi Tuhan sebut
orang kafir dapat rahmat dengan kedatangan Rasulullah, itu Tuhan hendak menarik
perhatian umum. Padahal rahmat di situ tidak mengikut definisi yang sebenar.
Tuhan sebut
begitu untuk orang umum, sebab pada pandangan umum, seseorang yang rezekinya
mewah, itu ertinya dapat rahmat. Jadi secara umum, Tuhan kata betullah itu
tetapi kalau di sisi Tuhan, itu belum tentu dari kasih sayang-Nya. Katalah saya
kenal seorang yang jahat dan seorang yang baik. Kebetulan pula saya kaya.
Katalah suatu masa, saya beri duit pada dua orang itu, seorang RM100. Kalau
secara umum, mesti orang ingat saya sayang kedua-duanya. Belum tentu demikian.
Nanti bila ada kawan datang, saya ceritalah, "Mat, kamu tahu kenapa saya
bagi duit pada dua orang itu. Seorang saya beri duit sebab saya sayang dan
seorang lagi saya beri duit supaya dia tidak mengacau." Itulah dua alasan
berbeza atas pemberian yang sama... Wallahua'lam
No comments:
Post a Comment