Assalam...Kita sedang memperkatakan Surah
Al Fatehah yakni baru sekadar di permukaannya sahaja. Rupanya setiap ayat dalam
Al Fatehah itu berkait antara satu sama lain. Setelah membahas tentang
Bismillah, kita nampak rahmat dan nikmat Tuhan itu terlalu banyak. Terasa kita
tidak boleh terlepas dari Tuhan. Rasa kita benar-benar hamba yang mengharapkan
bantuan-Nya. Setiap yang berlaku, kita terhubung dengan Tuhan. Kalau kita
lakukan dengan kesedaran maka munasabah selepas Bismillah adalah Alhamdulillah yang ertinya 'Segala puji hanya untuk Allah'.
Layaklah pujian itu hanya untuk Tuhan.
Orang lain tidak layak dan tidak boleh menerimanya. Kalau kita sandarkan juga
pujian pada manusia, itu hanya pemberian Tuhan kepada orang itu, sebagai
saluran Tuhan melalukan nikmat-Nya. Walaupun sebagai saluran, bukan miliknya
tetapi Tuhan suruh puji juga, berdasarkan Hadis Qudsi yang mengatakan:
Maksudnya: "Siapa yang tidak
bersyukur dengan nikmat-nikmat, dia tidak bersyukur kepada-Ku."
Jadi walaupun mulut memuji orang itu, hati
tetap memuji Tuhan. Kita puji manusia itu dengan mulut kerana manusia itu ada
hak. Pemberian Tuhan itu adalah haknya sementara waktu. Jadi kita puji orang
itu, hakikatnya secara indirect kita memuji Tuhan. Sebagaimana rasul-rasul yang
kadang-kadang memuji dirinya tetapi hakikatnya hatinya memuji Allah kerana dia
hanya memuji nikmat yang Tuhan beri kepadanya. Rupanya pujian itu hanya untuk
Tuhan yang orang lain tidak boleh ambil. Kalaupun ada, hanya nisbi (pujian itu
nisbahnya hanya sekadar yang layak untuk hamba), bukan hakiki.
Jadi kalau nikmat dan rahmat itu adalah
segala-galanya dari Tuhan, tidak ada sumber lain, maka layaklah Dia itu rabbil
'alamin (pentadbir alam). Ertinya layaklah Tuhan itu mentadbir alam atau
mendidik alam.
MENGAPA TUHAN
MENGGUNAKAN KALIMAH 'RABB'?
Perkataan rabb ini kadang-kadang digunakan
oleh orang Arab untuk memanggil tuan rumah iaitu dengan panggilan rabbul bait.
Dalam ayat kedua Al Fatehah ini, Tuhan mengenalkan diri-Nya sebagai rabbul
'alamin. Mengapa Tuhan tidak katakan:
"Alhamdulillahi khaliqul
'alamin?" (pujian bagi Tuhan pencipta alam),
atau:
"Alhamdulillahi jaa 'ilinal
'alamin?" (pujian bagi Tuhan yang menjadikan alam).
Kalau dikatakan khaliqul ataupun jaa 'ilin,
maknanya Tuhan hanya bertanggungjawab mencipta atau menjadikan alam sahaja.
Selepas itu dibiarkan tanpa perlu bertanggungjawab lagi.
Sebaliknya Tuhan menamakan diri-Nya
'rabbil 'alamin'. Makna rabb lebih global sedangkan khaliqul ataupun jaa 'ilin
itu membawa satu makna saja.
Apabila dikatakan pentadbir atau pendidik alam, ertinya Dialah yang menjadikan, yang mentadbir, yang menjaga, yang mengurus, yang menjaga keselamatan, yang menentukan, yang membuat ukuran atau sukatan bagaimana untuk mentadbir alam dan seterusnya. Barulah kita faham kalimah 'rabb' itu maknanya global. Tuhan juga dikatakan 'rabbul kaabah'. Dia bukan hanya menjadikan Kaabah bahkan lebih dari itu.
Perkataan 'rabb' di sini ada hubungan
dengan tauhid. Tauhid ada dua bahagian iaitu:
1. Tauhid rubbubiyah (pentadbiran dan
pendidikan)
2. Tauhid uluhiyah (ketuhanan)
2. Tauhid uluhiyah (ketuhanan)
Rubbubiyah itu dari perkataan 'rabb'. Ia
adalah isim masdar. Daripada sifat 20 atau lebih luas lagi dari Asmaul Husna
itu, ia terbahagi kepada dua bahagian. Ada yang bersifat rubbubiyah
(pentadbiran) dan ada yang bersifat uluhiyah (ketuhanan).
1. Uluhiyah
Uluhiyah adalah sifat Tuhan yang berkaitan dengan Zat. Contohnya: Tuhan itu Qadim, Esa. Sifat-sifat ini adalah sifat yang hanya layak bagi Tuhan. Ertinya, kalau tidak ada sifat ini, tidak layak jadi Tuhan. Maha Suci Tuhan dari yang demikian.
Uluhiyah adalah sifat Tuhan yang berkaitan dengan Zat. Contohnya: Tuhan itu Qadim, Esa. Sifat-sifat ini adalah sifat yang hanya layak bagi Tuhan. Ertinya, kalau tidak ada sifat ini, tidak layak jadi Tuhan. Maha Suci Tuhan dari yang demikian.
Sebaliknya, apakah ada makhluk yang tidak
ada permulaan? Tidak ada, semua makhluk ada permulaan. Maka tidak ada makhluk
yang layak jadi Tuhan. Apakah ada mahkluk yang Esa, yang tidak boleh dipecah-pecahkan?
Tidak ada juga. Maka tidak ada makhluk yang layak jadi Tuhan.
Sifat uluhiyah itu hanya ada pada Allah maka siapa yang tidak mempunyai sifat-sifat itu dia tidak layak jadi Tuhan. Selama ini orang sudah tersalah tafsir dan tersalah fikir hingga mengambil yang tidak layak tetapi dituhankan. Ini menjawab krisis nilai yang salah faham tentang erti Tuhan.
Tuhan mempunyai enam sifat uluhiyah yang melayakkan Dia jadi Tuhan. Enam sifat tersebut ialah:
i. Wujud (ada)
ii. Qidam (sedia)
iii. Baqa' (kekal)
iv. Mukholafatuhu lil hawadis (bersalahan dengan yang baharu)
v. Qiyamuhu binafsih (berdiri dengan sendiri)
vi. Wahdaniyah (esa)
Di dalam azan, Allah menyebut: "Tiada
Tuhan selain Aku." Ia merujuk kepada enam sifat inilah, yang bermula dari
'wujud' sampai 'wahdaniah'. Rabb itu memberi maksud kepada sifat-sifat selepas
'wahdaniah' itu (dalam susunan sifat dua puluh).
Membahaskan Tuhan itu sendiri, rupanya
merujuk kepada enam sifat itu. Hujah ini boleh digunakan untuk menafikan
berbagai pendapat tentang Tuhan. Itulah definisi Tuhan. Di luar definisi
tersebut, bukan Tuhan. Allah sahaja yang layak jadi Tuhan.
2. Rubbubiyah
Sifat yang tergolong dalam rubbubiyah adalah sifat yang memerlukan suatu yang bertambah. Kalau kita katakan Tuhan itu Esa, perlukah Esa itu bertambah? Tidak. Tetapi kalau Tuhan itu dikatakan berkuasa maka ada benda yang kena kuasa. Ada benda ditambah atau kena. Contohnya Tuhan itu 'alim maka ada benda yang Tuhan tahu. Jadi ia bertambah. 'Alim itu bukan hanya Zat. Contoh lain, Tuhan berkehendak. Ada yang berlaku. Maka bila ada benda yang berlaku, maka itu kehendak Tuhan. Dengan kata-kata lain, sifat rubbubiyah itu berhubung dengan hamba.
Sifat yang tergolong dalam rubbubiyah adalah sifat yang memerlukan suatu yang bertambah. Kalau kita katakan Tuhan itu Esa, perlukah Esa itu bertambah? Tidak. Tetapi kalau Tuhan itu dikatakan berkuasa maka ada benda yang kena kuasa. Ada benda ditambah atau kena. Contohnya Tuhan itu 'alim maka ada benda yang Tuhan tahu. Jadi ia bertambah. 'Alim itu bukan hanya Zat. Contoh lain, Tuhan berkehendak. Ada yang berlaku. Maka bila ada benda yang berlaku, maka itu kehendak Tuhan. Dengan kata-kata lain, sifat rubbubiyah itu berhubung dengan hamba.
Sifat uluhiyah Tuhan ada enam manakala bakinya 14 sifat lagi adalah sifat rubbubiyah.
Berbalik kepada ayat kedua surah Al
Fatehah; 'Segala puji bagi Tuhan yang mentadbir sekalian alam'; di situ ada
sifat rubbubiyah. Ia tidak dikaitkan dengan sifat uluhiyah itu. Tuhan bukan
sahaja menjadikan alam bahkan mentadbirnya. Dialah yang menentukan sama ada
hendak menyelamatkan atau menghancurkan.
KETENTUAN TUHAN SEJAK
AZALI
Perlu diingat, bila Tuhan jadikan satu
makhluk, kemudian Tuhan mentadbirnya, semuanya itu telah ditentukan sejak azali
lagi. Bukan sahaja makhluk yang Tuhan hendak jadikan itu sudah Tuhan tentukan
dari azali, bahkan macam mana Tuhan hendak mentadbirnya, itu pun sudah
ditentukan dari azali. Ertinya, belum bermula lagi, Tuhan menentukan itu pun
tiada permulaan.
Apa itu azali?
Azali ialah sesuatu yang tidak ada
permulaan. Ia tidak dapat dibayangkan. Qadim dan azali itu sama. Ada ulama
membahaskan perbezaan antara qadim dan azali. Azali itu termasuk perkara yang
ada atau tiada (yang tidak dijadikan). Sedangkan qadim hanya perkara yang ada
sahaja tetapi tiada permulaan. Kedua-duanya bermaksud suatu yang tiada
permulaan.
Apa maksud 'dari azali'?
Sepertimana Zat Tuhan itu tidak bermula, apa sahaja yang Tuhan hendak jadikan atau hendak tadbirkan, kehendak itu sejak azali. Bila sudah terjadi, kejadian itulah yang ada permulaan. Tetapi 'rancangan' untuk jadikan itu, tidak ada permulaan. Kalau ada permulaan, ertinya sudah sama dengan makhluk. Maha Suci Tuhan dari ada permulaan.
Begitu juga setiap makhluk yang Tuhan jadikan sama ada manusia, malaikat, langit, bumi, planet, bukan sahaja merancang itu tidak ada permulaan, bukan sahaja menentukan besar kecil itu tidak ada permulaan dan bukan sahaja bila hendak jadikan sesuatu itu tidak ada permulaan bahkan seluruh yang berkaitan dengannya pun sudah ditentukan sejak azali. Ini kerana Tuhan itu bersifat 'rabb'.
Tuhan yang bersifat Rabb tadi, Dia 'rabbil
'alamin' - pentadbir alam. Bila dikatakan alam, ertinya selain Tuhan itu adalah
alam. Sama ada alam Akhirat atau alam dunia. Kalau hendak dipecahkan lagi, ada
alam jin, alam malaikat, alam manusia, alam jamadat, alam kayu-kayan dan
lain-lain. 'Alamin itu pula perkataan jamak atau global. Bila sebut 'alamin,
semua alam itu terangkum sama ada yang berkait dengan dunia atau Akhirat.
Maksudnya, seluruh alam.
Apa yang saya maksudkan ialah setelah Tuhan jadikan makhluk-Nya, alam dunia atau Akhirat, malaikat atau manusia, Tuhan yang bersifat rabb itu akan mentadbir berdasarkan ketentuan-Nya sejak azali. Apakah ketentuan-Nya? Iaitu sunnah yang akan berlaku pada makhluk-makhluk itu atau sistem yang hendak dilakukan, Tuhan ciptakan.
Setiap ketentuan Tuhan untuk menjadikan makhluk sejak azali lagi itu, tiada permulaan. Bila Tuhan wujudkan, Tuhan akan tadbir sebab Dia rabb. Tuhan akan didik sebab Dia rabb. Berdasarkan sistem yang Tuhan tentukan sejak azali. Dengan kata lain, berdasarkan sunnatullah pada makhluk yang hendak ditadbir itu.
Contohnya: Manusia.
Manusia ada sistem sendiri. Kalau manusia
hendak hidup, perlu diberi nafas, makan, minum, ada darah dan lain-lain. Ini
sunnatullah atau sistem yang Tuhan tentukan atau jadikan pada diri manusia. Itu
pun Tuhan sudah tentukan sejak azali.
Bila manusia dijadikan atas dasar ketentuan Tuhan itu, Tuhan tidak ubah apa yang telah ditentukan-Nya sejak azali itu. Padahal kalau kita bahas kuasa Tuhan, bolehkah manusia hidup dengan air, tanpa ada darah? Boleh, Tuhan berkuasa melakukannya. Tetapi Tuhan tidak lakukan. Tuhan menyebut di dalam Al Quran:
Maksudnya: "Dan sekali-kali kamu
tidak akan dapati sunnah-Ku itu berubah." (Surah Al Ahzab: 62)
Jadi kalau manusia itu hidup dengan nafas,
makan, minum dan dengan darah maka Tuhan akan tadbir begitulah. Kalau Tuhan
hendak matikan pun, Dia akan rosakkan sistem tetapi Dia tidak ubah. Padahal
dengan kuasa Tuhan, Tuhan boleh masukkan air menggantikan darah atau tukar
oksigen dengan benda lain.
Atas dasar kuasa, Tuhan boleh buat. Tetapi atas dasar Tuhan sudah berjanji, Tuhan tidak akan ubah sistem-Nya atau sunnah-Nya. Tuhan tidak akan mungkir janji walaupun Dia berkuasa. Walaupun sebesar habuk, kalau habuk itu Tuhan janjikan ia akan jatuh di laut, ia tidak akan jatuh di sungai. Maha Besar Tuhan. Kerana Tuhan sudah berjanji maka Tuhan tunaikan janji-Nya seolah-olah Tuhan mewajibkan diri-Nya, "Aku tidak akan mungkir janji." Itu terhadap makhluk-Nya yang sebesar habuk.
TUHAN MENTADBIR
BERDASARKAN SISTEMNYA
Apa yang menjadi fokus di sini ialah
'rabbil 'alamin' itu. Tuhan mentadbir bukan sesuka hati. Dia sudah tentukan
sistem-Nya dan mentadbir berdasarkan sistem itulah. Kalau Tuhan hendak rosakkan
pun, atas dasar sistem itu juga. Tuhan tidak akan buat dengan cara lain.
Walaupun Tuhan ada kuasa dan boleh ubah apa-apa di atas kuasa-Nya, tetapi Tuhan
sudah berjanji, setiap makhluk ada sistemnya, ada sunnahnya, maka Tuhan akan
mentadbir setakat itulah. Tidak akan terkeluar dari sistem itu. Maha Hebatnya
Tuhan!
Itulah yang dimaksudkan 'rabbil 'alamin'.
Ini tauhid, yakni Allah tidak tadbir sesuka hati. Bagaimana Dia akan tadbir,
Dia telah tentukan. Dia akan tadbir atas sistem yang ditentukan sejak azali
lagi. Tuhan sudah berjanji dan tidak akan mungkiri janji walaupun sebesar
habuk.
Hebatnya Tuhan, Dia hendak jadikan suatu
perkara itu sejak azali lagi, tanpa rancang Dia sudah tahu. Bila diwujudkan
dengan sistemnya sekali, walaupun sebesar habuk, tidak perlu diubah lagi. Tidak
hebatkah? Tanpa silap dan tidak perlu repair! Kalau hendak ubah ertinya ada
yang tidak kena. Sebab itu Tuhan berani berkata, "Apa yang Aku buat, Aku
tidak akan ubah lagi," kerana begitu kemasnya sistem itu. Tidak nampakkah
kebesaran Tuhan? Kita hendak buat kereta pun, berapa kali tukar sistem.
Sedangkan sistem Tuhan itu sesempurna-sempurnanya.
Itulah antara kebesaran Tuhan. Kita lihat
langit itu besar terbentang luas, tetapi melihat langit yang besar dan luas itu
kita tidak terasa kebesaran Tuhan. Kenapa? Kita biar mata sahaja yang melihat.
Tidak kaji dengan rohani. Kalau kita dapat hikmahnya pada rohani, barulah kita
terasa besarnya langit itu adalah kebesaran Tuhan. Inilah salah ulama selama
ini. Mereka sebut langit itu tanda kebesaran Tuhan tetapi itu hanya cakap.
Tidak terasa pun. Sepertimana yang disebutkan sebelum ini, ia ada peringkat
mata, peringkat akal dan peringkat roh. Bila menyentuh roh, baru terasa.
Tuhan berfirman:
Maksudnya: "Sesungguhnya pada
kejadian langit dan bumi dan pertukaran malam dan siang menjadi tanda-tanda
kebesaran Allah, bagi orang-orang yang berakal (ulil albab)." (Ali Imran:
190)
Sesekali Tuhan jadikan sesuatu yang di
luar kebiasaan untuk menunjukkan kuasa-Nya, contohnya kelahiran Nabi Isa tanpa
ayah. Itu sudah ditentukan sejak azali lagi. Bukan Tuhan baru berubah niat
untuk tiba-tiba jadikan manusia tanpa ayah. Maha Suci Tuhan dari berubah niat.
Itulah yang dimaksudkan 'rabbil 'alamin' - pentadbir seluruh alam.
Nasib seseorang di Luh Mahfuz itu walaupun
boleh diubah, itu pun sudah ditentukan sejak azali. Ada yang boleh ditolak
dengan doa (ubah yang ada di Luh Mahfuz) pun ditentukan sejak azali. Apa pun
yang kita hendak buat sekalipun sebesar habuk, itu telah ditentukan sejak azali
lagi.
Katalah seorang itu mati ketika umurnya 70
tahun. Sekalipun betapa banyak perbuatan orang tersebut dari semenjak lahir
hingga ke umur 70 tahun itu tetapi Tuhan tahu semuanya, sebab Tuhan sudah
tentukan semua perbuatannya itu dari azali.
Kita telah memperkatakan sekitar 'rabbil
'alamin'. Rabb itu yang lebih penting dibahaskan dan 'alamin pula memperkatakan
bahawa alam itu sendiri sudah disistemkan. Tuhan bukan buat sesuka hati. Rabb
itu mencangkup tauhid uluhiyah dan rubbubiyah. 'Alamin itu memperkatakan satu
sistem yang Tuhan telah tetapkan, melibatkan dunia dan Akhirat.
Jadi dapat disimpulkan daripada
'Alhamdulillahi rabbil 'alamin' yang bererti 'Segala puji bagi Allah, Tuhan
pentadbir sekalian alam,' itu antaranya ialah:
'Segala puji' - ia meliputi
segala-galanya, melibatkan seluruh tentang Allah dan tentang alam. Iaitu segala
yang berkait dengan Zat Allah, sifat Allah dan seluruh pemberian-pemberian atau
nikmat dan rahmat Allah.
Rabb - bila menyebut rabb, kita akan sedar dan merasa bahawa sebenarnya Tuhan hendak memperkenalkan diri-Nya bahawa Allah adalah Tuhan yang Pentadbir. Ada dua kategori iaitu Tuhan yang memang layak jadi Tuhan dan kuasa-Nya Tuhan sehingga mampu menguruskan semua ciptaan-Nya. Dia Tuhan yang bertugas.
Kerana begitu hebat pentadbiran-Nya, manusia boleh merasakan bahawa benarlah Tuhan itulah tempat rujuk kita. Apa pun yang manusia hendak buat tidak boleh bercanggah dengan sunnatullah atau dengan pentadbiran Tuhan.
Dalam sembahyang, kita diwajibkan membaca
Al Fatehah. Kalau kita tidak masukkan pengetahuan-pengetahuan serta rasa-rasa
ini dalam bacaan Al Fatehah maka sia-sia sahajalah bacaan kita kerana kita
tidak masuk dalam gudang falsafahnya. Sebenarnya kalau orang yang asyik mahsyuk
dengan sembahyang, dia akan mempunyai peribadi yang besar sekali. Sembahyang
itu mencipta peribadi agung. Ertinya, dia sedang membentuk pemikiran yang cukup
luas sekali, mencangkup isi dunia dan Akhirat. Konsep sembahyang adalah
pencetus akal yang besar, kalau ia dipandu oleh rohnya.
Tuhan mentadbir bukan tidak tentu arah.
Maha Suci Tuhan dari sebegitu. Semua itu ditentukan sejak azali, tanpa
permulaan. Akal pun tidak mampu pergi ke situ. Hanya setakat di border sahaja.
Di luar permulaan itu, akal tidak boleh pergi tetapi di sanalah Tuhan. Itu
tidak kita kagumi sebaliknya saintis dikagumi.
'Alamin itu mengkhabarkan bahawa Tuhan adalah Bapa Sains dan Teknologi yang maha ajaib. Allah adalah maha pakar pencipta sistem sunnatullah ini. Saintis cuma bangga dengan penemuan mereka tentang lingkaran planet sedangkan mereka menemui satu sistem yang diciptakan oleh Tuhan. Apa hendak dibanggakan dengan penemuan itu. Silapnya orang kerana membesarkan saintis. Padahal saintis tersebut macam seseorang yang jumpa duit yang banyak di tengah jalan, kemudian ambil duit orang lalu mengaku dialah jutawan.
Satu ilmu yang menakjubkan bilamana
mengatakan Tuhan mentadbir itu bukan tidak bersistem bahkan Tuhan berjanji
dengan diri-Nya bahawa Dia tidak akan memungkiri janji-Nya terhadap ketetapan
sunnah atau sistem itu. Sekalipun hanya untuk satu debu, Allah mampu untuk tidak
menukar janji-Nya.
'Alamin iaitu alam, termasuk Akhirat dan dunia. Semua itu rupanya berjalan di atas satu sistem yang maha sempurna; tidak ada salah silap atau cacat walaupun sebesar habuk; yang Allah tetapkan dan Allah sendiri berjanji tidak akan memungkirinya. Jadi apa yang diketengahkan di sini sebenarnya jauh lebih besar dari apa yang dibawa oleh orang korporat atau para saintis itu.
Hebatnya sembahyang kerana di dalam
sembahyanglah Al Fatehah ini diwajibkan. Tanpa Fatehah, sembahyang adalah
batal. Siapa yang membaca Al Fatehah dengan lalai maka Neraka Wail baginya
kerana dia tidak beradab dengan Al Fatehah itu. Al Fatehah adalah ibu kitab
yang mana di sana kita boleh dapat segala yang kita perlukan tetapi kita tidak
pernah ambil pun.
Daripada Bismillahirrahmanirrahim, kita
sudah faham bahawa apa pun yang baik yang kita hendak buat, mestilah bermula
dengan Bismillah kerana hidup kita ini segala-galanya bersandar dengan Tuhan.
Sandaran kita pada Tuhan itulah merupakan rahmat dan nikmat-Nya, sama ada bersifat
lahiriah, bersifat maknawiah mahupun bersifat rohaniah.
Jadi patut dan layak sangat kita
promosikan membaca Bismillah iaitu dengan kita kenalkan dan ceritakan bahawa
Bismillah itu satu daripada nikmat Tuhan yang besar. Ia mengingatkan kita
kepada Tuhan. Di situ ada rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Sebab itulah ayat
itu diikuti dengan Alhamdulillah.
Setelah terasa hidup kita ini segalanya dari Tuhan, yang mana walaupun satu habuk tidak terlepas dari Tuhan, maka patutlah kita memujinya dengan Alhamdulillah. Memuji Tuhan itu dalam tiga aspek iaitu memuji Zat-Nya, sifat-Nya dan memuji rahmat serta nikmat-Nya. Kalau kita memuji Tuhan, pujian itu pasti tidak lepas dari tiga aspek itu.
Kita puji Tuhan itu atas dasar nikmat-Nya,
sekalipun kita hanya dapat sebesar habuk, sama ada nikmat lahir, maknawiyah
atau rohaniah dari Tuhan. Sebab itu kita sebut Tuhan itu benar-benar Pentadbir
alam dunia dan alam Akhirat. Maksudnya Dia mentadbir segala nikmat. Kalau ada
yang kita tidak nampak, ia tetap ada hubungan dengan hidup kita. Contohnya
malaikat, bulan, matahari dan planet-planet, semuanya ada hubungan dengan hidup
kita. Sebab itu disebut Tuhan itu Pentadbir sekalian alam.
Seluruh alam ini ada hubungan dengan kita
sama ada kita sedar atau tidak. Apa buktinya? Kalau kita ingat, Tuhan ada
menyebut bahawa tidak diciptakan dunia dan Akhirat kalau bukan kerana Nabi
Muhammad. Kalau tidak ada Nabi Muhammad itu maka tidak adalah dunia dan
Akhirat. Yang lain itu dicipta kerana Nabi Muhammad inilah. Kalau tidak kerana
Rasulullah, dunia dan Akhirat tidak dijadikan.
Jadi setelah kita bahas rabbil 'alamin,
rupanya kita mesti ucapkan terima kasih itu kepada Rasulullah yang mana alam
dunia dan Akhirat tidak akan dijadikan kalau bukan faktor Nur Muhammad. Nikmat
adanya Rasulullah itu, ada hubungan dengan kita. Kalau Rasulullah itu ada
hubungan dengan kita maka automatiklah yang lain pun ada hubungan dengan kita
juga. Ini kerana adanya makhluk yang lain itu ada hubungannya dengan Baginda.
Kalau tidak ada Rasulullah SAW, tidak ada
siapa kenal Tuhan. Bagaimana hendak kenal Tuhan kalau semuanya tidak
diwujudkan. Kalau Tuhan tidak dikenali, tidak nampaklah Tuhan itu besar.
Seolah-olahnya, Tuhan berkata, "Aku hendak perlihatkan kebesaran Aku maka
Aku jadikan Nur Muhammad. Dari situ segala makhluk tercipta supaya makhluk
terasa kebesaran Aku, semua makhluk nampak kebesaran Aku."
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment