Konsep Ibadah

Ibadah seharusnya menebalkan rasa kehambaan..:)


Konsep ibadah sudah terpesong
daripada makna asalnya
Tujuan ibadah terutama sembahyang
hendak menebalkan rasa kehambaan
Ibadah dibangunkan supaya subur rasa rendah diri
takut, malu, rasa bertuhan, rasa lemah, harap
rasa diawasi, rasa dikuasai, rasa hina
rasa dilihat, rasa didengar
Apa yang telah disebutkan tadi
sebahagian sifat-sifat kehambaan
Kalau dari perbuatan ibadah tidak lahir rasa kehambaan
Bilakah lagi seorang hamba hendak merasa
perasaan hamba di dalam jiwa?
Di masa berniaga, di masa bertani, di masa pejabat
di masa berjalan
sudah tentu tidak mungkin dapat
menajamkan rasa kehambaan
Jika ibadah tidak menyuburkan rasa kehambaan
ibadah tidak akan memberi kesan
Ibadah yang tidak berkesan tidak akan melahirkan
akhlak yang mulia
sekalipun banyak ibadahnya
Ibadah yang tidak berkesan tidak akan merubah
perangai buruk kepada baik
Mengapa ibadah tidak berkesan?
Ada beberapa sebab di antaranya ibadah itu
tidak dihayati makna dan perbuatannya
Hanya jadi latihan fizikal sahaja
Ibadah itu dibuat dengan tujuan pahala atau fadhilat
kerana Syurga takut Neraka
Bukan tujuan mengabdikan diri kepada Tuhan
sebagai seorang hamba
Tidak hairanlah orang yang beribadah masih mengumpat
menipu, rasuah, menghina, pemarah, hasad dengki
tamak, bakhil, tidak sabar, tidak berkasih sayang
tidak redha, tidak pemaaf dan lain-lainnya
Ada lagi cara Tuhan hendak merasakan hamba itu
rasa kehambaan
Iaitu ujian-ujian yang berbagai-bagai bentuk dan ragam
Di antaranya sakit, miskin, bencana alam
orang benci, harta kena curi dan lain-lain lagi
Supaya hamba itu rasa lemahnya diri, tidak ada kuasa
tidak mampu menolak yang dibencinya
Tidak mampu menolak takdir Tuhan
Terasalah Tuhan itu Maha Berkuasa
Maha Hebat yang patut ditakuti
Tapi dari ujian yang bermacam-macam ragam
tidak melahirkan sifat hamba? Mengapa?
Kerana tidak kenal Tuhan, tidak kenal peranan Tuhan
Tidak ada ilmu tentang Tuhan
tidak tahu hikmahnya perbuatan Tuhan
Maka sebab itulah daripada ujian
tidak mampu bersikap seorang hamba
Ibadah pun tidak memberi kesan yang positif
kepada peribadi
Ujian pun demikian juga tidak mendidik manusia
Kerana kedua-dua aspek tadi sudah disalah erti
Ibadah dengan tujuan melahirkan rasa kehambaan
bukan untuk mendapat pahala
Ujian dengan tujuan didikan dan keinsafan
bukan untuk kecelakaan


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah