Titipan : Jalan kita


Assalam...Puji dan puja ku persembahkan pada ALLAH, kerana kemuliaan dan kebesaran-Nya. Doa keselamatan kuutuskan khusus pada Rasul termulia, Muhammad SAW yang mati-matian bekerja untuk Islam. Demikian juga seluruh keluarga dan sahabat baginda. Semoga ALLAH juga menyelamatkan kita semua di dunia dan di akhirat.

Kegairahan umat nampaknya bertambah dalam menyatakan dan memperjuangkan Islam. Dan kalau trend ini dibiarkan berjalan terus suatu saat nanti kita akan sampai ke satu era kehidupan yang mulia dan agung, yakni terbinanya jamaah dan ummah Islamiah, sebuah masyarakat yang ahlinya tunduk patuh dalam menerima dan mempraktikkan Islam. Namun satu hakikat mesti diakui, bahawa untuk mencapai hal itu tidaklah semudah yang kita rasakan dan gambarkan. Di samping penentang dan musuh yang pasti tidak akan mengalah dengan kita, juga genggaman faham sekularisma yang kuat dalam sanubari umat. Kita sendiri sebenarnya sangat kabur tentang jalan-jalan yang dapat menyampaikan kita ke sana.



Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya di akhir zaman (termasuk zaman kita), umat Islam senantiasa berpecah dan berselisih. Kerananya perpaduan sangat sukar untuk ditegakkan. Bila perpaduan tidak ada, bagaimana jamaah dapat kuat dan tahan?

 Apakah yang menjadi sebab perselisihan dan perpecahan yang terjadi di kalangan umat Islam? dan bagaimana pula caranya untuk menyelesaikan masalah perpecahan dan perselisihan itu? Dua persoalan itulah yang gagal dijawab oleh pencinta-pencinta Islam dengan jawaban yang tepat. Masing-masing bersandar pada teori masing-masing. Maka terjadilah berbagai cara dalam usaha menyelesaikan masalah perpecahan umat itu. Tanpa ingin membuat komentar, di sini dihuraikan sebuah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Hampir tiba waktunya kamu akan diserbu beramai-ramai oleh musuh-musuh kamu sebagaimana orang menyerbu makanan dalam suatu hidangan. Seorang sahabat bertanya, "Apakah disebabkan jumlah kami ketika itu sedikit?" Rasulullah SAW menjawab,"Bahkan jumlah kamu banyak. Tapi kamu tidak ubahnya seperti buih-buih di permukaan air sewaktu musim banjir. Ketakutan akan dicabut dari hati musuh-musuhmu, sebaliknya akan dicampakkan ke dalam hatimu penyakit Al wahan. Seorang sahabat bertanya, "Apakah Al wahan itu ya Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab, "Yaitu cinta dunia dan takut mati “ (Riwayat Abu Daud dari Sauban).

Ya, sebab utama terjadi perselisihan di kalangan umat Islam ialah kerana jiwa mereka telah diserang penyakit cinta dunia dan takut mati. Dengan penyakit itu umat Islam bukan saja telah berselisih sesama mereka, tapi kemiskinan dan kehinaan melanda di mana-mana! Musuh-musuh pun telah menyerbu umat Islam sekehendak mereka.


Umat Islam hari ini telah menjadi suatu umat yang paling lemah, paling miskin dan paling hina. Mengapa? Sebabnya tiada lain adalah kerana umat Islam telah melupakan ALLAH, kerana itu ALLAH melupakan mereka dan membiarkan mereka diapa-apakan oleh musuh.

Kalau penyakit-penyakit jiwa umat Islam dapat diuobati, kemudian diganti dengan jiwa yang cinta akhirat dan cinta ALLAH serta sanggup mati untuk Islam, saya kira itulah satu penyelesaian untuk masalah yang dihadapi umat Islam. Dan detik itu adalah detik awal dimulainya perpaduan dan kekuatan umat Islam, yang mencatat satu era baru bagi kehidupan mereka. Mudah-mudahan kita akan tergolong dalam golongan yang dimaksud oleh Rasulullah SAW dalam hadis baginda:

“Senantiasa ada satu golongan yang dapat melahirkan kebenaran, orang-orang yang menentang tidak akan memberi mudharat kepada mereka, hingga datanglah perintah ALLAH (hari kiamat). “


Kita semua berkeyakinan bahwa di zaman kerosakan ini, rosak akidah, rosak akhlak, rosak pergaulan dan tegangnya krisis nilai di kalangan ilmuwan-ilmuwan yang berkaliber, maka keutamaan perjuangan hendaklah diarahkan pada pembentukan jiwa dan pembinaan perpaduan di kalangan umat Islam. Kefahaman, keyakinan dan sikap umat Islam hendaklah diarahkan kepada cara-cara yang dikehendaki oleh Islam. Keselarasan dalam bagian-bagian itu adalah modal terbesar untuk lahirnya Toifah atau 'golongan' yang dimaksudkan dalam hadis di atas.

Anda yang sedar akan tanggung jawab kita sebagai khalifah ALLAH, kemudian bercita-cita sungguh-sungguh untuk menunaikannya, maka INILAH JALAN KITA. Kita Islamkan dulu diri kita, anak isteri kita, rumah tangga kita, surau dan masjid kita, serta kampung kita. Kita pikirkan dulu tentang shalat, aurat, pergaulan, pendidikan, perpaduan, ekonomi, dan aspek hidup harian yang lain, apakah sudah Islam atau belum? Kalau sudah, bersiaplah! ALLAH akan serahkan negeri dan negara ini pada kita. Kita akan menjadi tuan nantinya. Tapi kalau belum, tidak usah bermimpi untuk mendapat negara Islam. Sebaliknya anda akan gagal segagal-gagalnya. Laksana orang yang membawa sebatang cangkul untuk meratakan sebuah bukit. Bukit tidak akan roboh, cangkul mungkin patah dan saudara akan letih, mungkin mati kering sebelum memperoleh apa-apa.

Jadi marilah kita daki tangga kejayaan itu dari anak tangga yang pertama, kedua dan seterusnya. Biar lambat asal caranya benar, daripada cepat tapi caranya salah. Apa ertinya cepat kalau tidak berhasil,  bukankah lebih baik lambat tapi hasilnya besar?Cuba kita sama-sama renungkan.
Wallahua'lam..



Rahsia kejayaan Rasulullah




Asalam.. Rasulullah SAW adalah contoh segala contoh. Baginda adalah contoh dalam hal ibadah, taqwa, contoh dalam hal akhlak, perjuangan, jemaah, pengorbanan, kasih sayang, pendidikan dan sebagainya. Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu..." (Al Ahzab: 21)

Mari kita gambarkan sebahagian contoh dari Rasulullah SAW itu agar dapat kita contohi. Agar dapat kita ikut serba sedikit apa yang dibuat oleh Rasulullah SAW itu. Di sini kita akan sebutkan dua perkara tentang Rasulullah SAW:

1. Rasulullah SAW tidak bersekolah
2. Rasulullah SAW diutus kepada bangsa Arab yang juga tidak bersekolah


Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah..." (Al Jumu'ah: 2)

Jadi gurunya tidak bersekolah, murid-muridnya pun tidak bersekolah. Guru tidak belajar, murid juga tidak belajar. Yang luar biasanya, apa yang Rasulullah SAW ajarkan kepada bangsa yang tidak ada pelajaran itu, boleh menggugat dunia. Hingga boleh jadi empayar. Apa rahsianya? Ini perkara penting yang hendak kita perkatakan.

Rasulullah SAW seorang rasul tidak pernah belajar dengan mana-mana guru. Sebab itu baginda dikatakan ummiy. Rasulullah SAW tidak menulis dan tidak membaca. Padahal agama yang terakhir di waktu itu ialah agama Islam yang dibawa oleh Nabi Isa. Ertinya ulama-ulama Islam masa itu masih wujud iaitu pendeta-pendeta yang menganut ajaran Nabi Isa. Peliknya, Rasulullah SAW tidak belajar langsung dengan ulama-ulama semasa itu.

Apa hikmahnya berlaku demikian? Kalau baginda belajarlah sedikit, sekurang-kurangnya ilmu yang asas-asas, apalah salahnya. Tetapi yang asas pun tidak. Padahal agama yang akan dibawa oleh Rasulullah SAW sama dengan yang dibawa Nabi Isa terutama tentang ketuhanan. Cuma yang berbeza syariatnya sahaja. Ikut logiknya, apa salahnya jika Rasulullah SAW belajar sedikit dari ulama-ulama semasa itu, sedangkan agama yang hendak dibawa adalah sama.  

Di antara hikmah mengapa Rasulullah SAW tidak pernah belajar ialah:

1. Kalau Rasulullah SAW pernah belajar, nanti ada musuh boleh mencelah dengan menuduh Rasulullah SAW bukan dapat wahyu. Setidak-tidaknya, mereka akan kata, ilmu Rasulullah SAW itu sebenarnya separuh wahyu dan separuh lagi hasil belajar dari ulama-ulama di zaman itu. Ini bahaya terutama untuk jangka panjang. Itu pun memang ada orang Yahudi yang menuduh Rasulullah SAW pernah belajar dengan pendeta-pendeta Kristian dan Yahudi. Itulah hikmahnya Rasulullah SAW tidak belajar langsung dengan pendeta-pendeta agama Nabi Isa itu.

2. Agar nampak kebesaran Tuhan. Agar nampak Maha Besar dan Maha Kuasanya Tuhan. Betapa Tuhan mampu memberi ilmu terus kepada Rasulullah SAW tanpa perantaraan manusia. Oleh kerana Rasulullah SAW tidak pernah belajar dari mana-mana guru, walaupun ada percubaan menuduh bahawa baginda pernah belajar, usaha-usaha itu gagal. Fakta sejarah yang mereka bawa jelas adalah bohong dan direka-reka. Di sinilah nampak kepada kita Maha Kuasanya Tuhan. Dia boleh mengajar langsung kepada Rasulullah SAW tanpa perantaraan manusia.

Walaupun Rasulullah SAW diutuskan untuk semua manusia, tapi awalnya baginda diutus kepada bangsa Arab. Mengapa? Rasulullah SAW diutus kepada bangsa Arab yang mundur, tidak tahu menulis, tidak tahu membaca, serta jauh daripada ilmu dan tamadun. Sudahlah begitu, mereka jahat, keras hati, pengotor, berpecah belah, suka berkelahi, bergaduh dan berperang. Selalu berlaku, dengan sebab seekor unta, mereka berperang atau bermusuhan berpanjangan sampai beratus tahun. Kalau kerana bangsa atau negara, bolehlah tahan. Ini kerana seekor unta, bersambung permusuhan kepada anak, cucu, cicit, piut dan generasi seterusnya sehingga lahirnya Rasulullah SAW. Di waktu itu juga sudah ada dua bangsa yang maju dan bertamadun, yang menguasai Timur dan Barat iaitu Rom dan Parsi. Rom dan Parsi telah menjajah bangsa Arab. Dalam keadaan begitu, Allah utuskan Rasul kepada bangsa Arab yang lemah dan dhaif seperti digambarkan tadi.

Mengapa Allah utuskan Rasulullah SAW kepada bangsa Arab dan bukan kepada bangsa Rom dan Parsi? Hikmahnya, kalau Rasulullah SAW diutus kepada bangsa Rom dan Parsi yang sudah maju, bertamadun, pandai membaca dan menulis, sejarah akan kata, patutlah pimpinan Rasulullah SAW cepat maju, cepat bertamadun dan cepat menguasai dunia sebab Rom dan Parsi memang bangsa yang maju, pandai dan bertamadun. Nanti tidak nampaklah kebesaran Allah, Rasulullah SAW dan Islam.

Rasulullah SAW diutus kepada bangsa Arab yang jahat, keras hati, tidak tahu membaca, tidak tahu menulis, tidak bertamadun, berpecah belah tetapi baginda boleh selesaikan masalah-masalah itu dalam tempoh 23 tahun. Ini tentulah luar biasa. Bangsa Arab itu telah berjaya diubah menjadi bangsa yang pandai, bertaqwa, bersatu padu, berkasih sayang, bekerjasama, dikasihi manusia, berjaya membina tamadun dan boleh menguasai manusia. Maka terlihatlah luar biasanya Tuhan, Rasulullah SAW dan Islam.

Apakah rahsia kejayaan Rasulullah itu? Mari kita belajar dari baginda. Kita sedang berhadapan dengan orang Islam, khususnya orang Melayu. Walaupun berada di dunia kemajuan, tetapi kita berhadapan dengan dunia yang paling maju. Kita tidak mampu untuk mencabar kemajuan Amerika, Eropah atau Yahudi. Sudahlah begitu, kita umat Islam, selalu bergaduh dan berperang sesama sendiri. Ertinya umat Islam hari ini tidak ubah seperti bangsa Arab Badwi, berhadapan dengan Rom dan Parsi di waktu itu. Jadi pemimpin-pemimpin umat Islam hari ini jika hendak bangunkan semula orang-orang Islam, mesti contohi Rasulullah SAW.

Apa yang berlaku, sehingga hari ini, tiada siapa pemimpin yang mahu mengambil contoh dari Rasulullah SAW. Bahkan kebanyakannya masih mencontohi Yahudi, Amerika atau Barat. Padahal negara-negara umat Islam sudah lama merdeka. Ada yang sudah 50 tahun dan ada yang sudah 100 tahun merdeka tetapi masih hina, masih tertinggal dan masih berpecah belah kerana tidak mengambil Rasulullah SAW sebagai contoh. 

Apakah anak kunci kepada kejayaan Rasulullah SAW sehingga bangsa Arab yang begitu mundur, jahat dan ketinggalan waktu itu, mampu diproses hanya dalam tempoh 23 tahun? Sehingga mereka dapat mengatasi Rom dan Parsi. Rahsia inilah yang perlu kita ketahui supaya dapat kita contohi untuk dapat pula kita bangunkan semula umat Islam sama ada orang Melayu, orang Arab dan lain-lainnya. Insya-Allah, jika kita contohi Rasulullah SAW, dalam masa yang pendek, kita akan dapat hasil yang sama dengan apa yang telah dicapai oleh baginda.

Cuba lihat, kalau kita baca ayat-ayat Al Quran yang Rasulullah SAW guna untuk mendidik bangsa Arab, ayat pertama yang Rasulullah SAW guna, bukan ayat yang berkaitan dengan ekonomi. Baginda berjuang juga tidak bermula dari kebudayaan atau kemajuan. Tapi dimulakan dengan:

Maksudnya: "Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan-mu..." (Al Alaq: 1)

Dari ayat ini ada dua perkara yang penting iaitu:

1. Ilmu
2. Tuhan

Kedua-dua perkara ini digunakan oleh Rasulullah SAW untuk mendidik bangsa Arab. Iaitu Baginda beri ilmu dahulu, kemudian beri Tuhan. Bila ada ilmu maka dapat miliki Tuhan, dapat buat kemajuan dan rasa bersama serta sifat bekerjasama akan datang sendiri. Anak kuncinya adalah Tuhan. Dari membaca dapat ilmu. Dari ilmu lahir perlaksanaan. Dari perlaksanaan lahir kemajuan dan dari kemajuan, lahirlah tamadun. 

Dari ayat ini, Tuhan mengajak umat Islam supaya membaca atas nama Tuhan, mencari ilmu atas nama Tuhan, melaksanakan ilmu atas nama Tuhan, buat kemajuan, bina tamadun, berekonomi, berjemaah dan bekerjasama atas nama Tuhan. Buat apa pun mesti atas nama Tuhan.

Tentang ilmu, tidak perlu kita bahas sangat. Walau tidak didorong pun, orang memang hendak pandai dan hendak belajar. Tetapi untuk beri Tuhan, itulah yang susah. Rasulullah SAW hendak beri Tuhan itu, bukan sekadar untuk aqidah cukup makan. Kita sudah belajar bahawa Tuhan wujud. Wujudnya Tuhan tidak ada permulaan, tidak serupa dengan yang baharu, tidak didahului oleh tiada dan Tuhan itu berkuasa. Ini hanya aqidah untuk cukup makan. Aqidah yang begini, apakah boleh menyebabkan orang takut dan cintakan Tuhan? Siapa boleh akui bahawa dia sudah cinta dan takut dengan Tuhan? Rasa malu, rasa hina dengan Tuhan? Merasakan Tuhan segala-galanya, hingga tanpa ada Tuhan, tidak boleh hidup? Merasa Tuhan diperlukan sepanjang masa. Tiada siapa yang merasa demikian.

Aqidah kita, kalau hanya cukup makan, ia diibaratkan seperti makan nasi tanpa lauk. Aqidah kita hanya sekadar agar jangan jadi kafir. Padahal Tuhan itu patut ditakuti dan dicintai. Sepatutnya kita rasa bahagia dengan Tuhan, rasa bahagia bersandar dengan Tuhan. Jadi yang dimaksudkan kerja hendak bagi Tuhan kepada manusia mesti sampai ke peringkat ini. Bukan sekadar beri aqidah cukup makan. Kalau aqidah cukup makan, kita akan bergaduh, berperang, tidak boleh bekerjasama, tidak boleh bersatu, tidak boleh maju dan tidak boleh tumbangkan musuh. Yang menyedihkan, hari ini, yang dikatakan ulama-ulama itu pun aqidahnya hanya setakat cukup makan. Bagaimana mereka hendak mengajar manusia?

Kalau ulama itu aqidahnya hanya setakat cukup makan, apa yang diberinya pada orang, apa yang diajarkan juga adalah aqidah cukup makan. Sebab itu perjuangan Rasulullah SAW ada dua peringkat yakni:

1. Perjuangkan Tuhan selama 13 tahun, padahal Tuhan itu Esa, tidak banyak. 

2. Rasulullah SAW perjuangkan syariat selama 10 tahun sahaja sedangkan syariat itu  beribu-ribu banyaknya.

Rasulullah perjuangkan Tuhan selama 13 tahun di era Mekah sehingga Sahabat-Sahabat takut dengan Tuhan, cinta dengan Tuhan, rasa besar dengan Tuhan, rasa bahagia dengan Tuhan dan rasa seronok berkawan dengan Tuhan. Sebab itu pengaruh dunia langsung tidak masuk ke hati mereka. Kerana itulah mereka boleh bersatu, bekerjasama, sanggup jual seluruh dunianya untuk Tuhan. Mereka rasa cukup apabila dapat Tuhan. Yang lain jadi kecil.

Bila takut dengan Tuhan, semua dikorbankan. Kerana cintakan Tuhan maka mereka tidak terpengaruh dengan cinta dunia, cinta duit atau cinta pangkat. Oleh kerana sudah tidak hendakkan dunia kerana Tuhan, Tuhan beri mereka dunia. Ini rahsianya. Selagi umat Islam cinta dunia, mereka bukan sahaja akan bergaduh, berebut sesama sendiri, bahkan dengan anak isteri pun boleh bergaduh. Kerana harta bergaduhlah adik-beradik. Inilah akibatnya bila cinta Tuhan sudah beralih kepada cinta dunia. Sebab itu Tuhan tidak serahkan bumi ini kepada orang Islam, tetapi diberi kepada orang kafir. Biarlah orang kafir bergaduh pasal dunia.

Jadi rahsia agar umat Islam berwibawa dan dapat kuasai dunia ialah kita mestilah takut dan cinta pada Tuhan. Untuk didik orang agar takut dan cintakan Tuhan itu bukan boleh dibuat oleh sebarang pemimpin. Kalau zaman dahulu Rasul saja yang buat kerja ini. Selepas itu, mujaddid sahaja yang mampu buat. Sebab itu, dengan rahmat Tuhan, di setiap awal kurun, ada mujaddid. Bila datang awal kurun, umat Islam wajib cari pemimpin mujaddid ini. Bila jumpa, mesti taat padanya sebab hendak bersandar dengan ulama sudah tidak boleh sebab ulama pun aqidahnya hanya cukup makan. 

Jadi rahsia umat Islam hendak bangun semula, jangan mulakan dengan ekonomi atau dengan kemajuan, tapi mestilah bermula dengan memberi Tuhan. Beri Tuhan sampai datang rasa takut dan cintakan Tuhan. Anak kuncinya adalah Tuhan. Dapat Tuhan, dapat segala-galanya. Dapat Tuhan, Tuhan akan serah dunia. Buktinya orang Arab, bila dapat Tuhan maka mereka dapat kekuatan luar biasa. Akhirnya dapat menjadi empayar dunia. Inilah yang sudah dilupakan umat Islam. Mereka berjuang bermula dari ekonomi, bukan bermula dari mendapat Tuhan.

Kesilapan Pendakwah hari ini



Assalam... Semenjak kejatuhan empayar Islam, maka di waktu itu segalanya sudah lemah. Cara berfikir sudah lemah, jiwa umat Islam sudah lemah, perpaduan sudah berkecai dan hidup nafsi-nafsi. Bahkan cerdik pandai Islam, yang hafaz Quran, pakar Hadis dan pakar hukum dalam Islam pun sekadar boleh miliki ilmu tetapi daya juang dan daya berfikir mereka sudah lemah. Ulama tidak dapat menyatukan umat yang sudah berpecah belah. Mereka seperti sudah kecewa dan sudah tidak ada mood.

Maka hasil dari keadaan ini ada dua perkara yang kita lihat sangat menonjol kelemahannya di kalangan masyarakat Islam iaitu:

1. Kelemahan pertama


Walaupun seseorang itu mengaji lama di Mekah, Universiti Islam atau Universiti Al Azhar, pakar-pakar itu, apabila pulang ke tanah air, yang disampaikannya tentang Islam itu ada dua perkara sahaja:

a. Perkara yang ada hubungan dengan ibadah khusus atau fadhoilul ‘amal.

b. Hukum-hakam yakni tentang halal, haram, sunat, makruh. Mereka hanya bercakap tentang apa yang boleh dan tidak boleh, atau menghukumkan bahawa sesiapa yang buat sesuatu perkara, boleh jadi fasik, jadi zalim, jadi kafir atau jadi musyrik.

Bagi orang yang ditakdirkan Tuhan imannya dan cintanya ke­pada Tuhan agak kuat, mereka mudah menerima tetapi bagi umat Islam yang semangatnya sudah luntur dan jiwa sudah rosak, kalau hanya ibadah dan hukum-hakam sahaja yang diperkatakan, maka mereka akan jemu. Padahal agama Islam itu terlalu luas dan global, lebih luas dari yang disebutkan tadi. Semua keperluan hidup ada dijelaskan oleh Al Quran dan Hadis, cuma sama ada boleh kita faham, boleh kita hayati dan boleh kita amalkan atau tidak. Sedangkan di hari ini, walaupun ramai yang mengaji tinggi, tetapi hanya dua perkara itu sahaja yang popular diajarkan iaitu ibadah berupa fadhoilul ‘amal dan hukum. Itu sahaja kemampuan para pakar dan ulama hari ini.

Kalau ditanya apa itu masyarakat Islam, mereka tidak boleh jawab. Kalau kita tanya apa itu psikologi Islam, mereka tidak bo­leh jawab. Kalau ditanya apa itu kekeluargaan Islam, perjuang­an Islam, ekonomi Islam, politik Islam, pentadbiran Islam dan perhubungan Islam, pun mereka tidak boleh menjawabnya secara luas dan global. Sedangkan itu semua diperlukan oleh masyarakat Islam dan di situlah indahnya Islam.

Masyarakat Islam, perjuangan Islam dan kasih sayang itu sangat indah kalau dapat kita fahami, amalkan dan hayati. Tetapi yang diambil oleh ulama hari ini hanya dua aspek itu sahaja iaitu ibadah khusus dan tambahan serta hukum-hakam. Hasilnya, hen­dak cari cerdik pandai di kalangan pemuda-pemudi Islam sangat susah kerana mereka itu apabila diajak mengaji agama, mereka sudah mengagak mesti hendak diceritakan tentang ibadah dan halal haram. Mereka hilang minat. Ulama hanya memikirkan ilmu tentang hal-hal wajib, sunat, makruh, halal, haram, fasik atau ka­fir. Jadi orang Islam hendak mendengarnya terasa takut, betapalah orang yang bukan Islam.

Inilah yang berlaku setelah kejatuhan empayar Islam yakni cara berfikir dan jiwa umat Islam sudah lemah. Akibatnya umat Islam hidup nafsi-nafsi.

Masyarakat Islam perlu faham psikologi, pendidikan, per­juangan, falsafah, ekonomi, pentadbiran dan lain-lain. Itu perlu dalam kehidupan. Bila hal ini tidak diceritakan akhirnya ibadah dan hukum-hakamnya sahaja yang Islam tetapi pendidikan, eko­nomi, pentadbiran dan teknologinya tidak Islam kerana di­import dari Barat. Kesan dari ulama dan cerdik pandai Islam tidak tahu bagaimana hendak sajikan keperluan hidup seperti ini se­dangkan ianya amat diperlukan, maka apabila umat Islam ketemu keper­luan hidup itu dari Jepun, China atau Barat, maka mereka meng­am­bilnya bulat-bulat walaupun ia tidak selaras dengan kehendak Islam.

2. Kelemahan kedua

Kelemahan yang sangat menonjol ialah cara menyampaikan ilmu Islam yang sangat terbatas yakni dengan cara mengaji. Bagi orang dewasa, mereka mengaji agama di masjid atau surau manakala kanak-kanak belajar di sekolah. Ini sahajalah sumber ilmunya. Kalau tidak dengar dari pendakwah-pendakwah maka tidak dengarlah apa itu Islam yang sebenar. Sumber ilmunya sangat terbatas. Saluran lain tidak ada. Padahal sepatutnya cerdik pandai Islam mesti memikirkan saluran apa lagi boleh digunakan untuk menyam­paikan Islam sesuai dengan keadaan semasa, dengan selera cerdik pandai atau golongan muda. Kita tidak pernah men­dengar orang mengaji agama melalui sajak, filem, pementasan, teater dan lain-lain lagi padahal mengaji melalui filem, teater dan kebudayaan itu sangat berkesan.

Kita tidak pernah mendengar orang mengaji agama cara itu. Yang kita tahu, hendak faham Islam mesti mengaji secara tra­disional. Kita pun belajar di sekolah dan dari pendakwah. Kita hanya dapat dari dua saluran itu sahaja. Itu pun ada pendakwah yang kita pergi dengar kuliahnya itu, suka mengata orang atau ha­nya memperkatakan hal politik. Padahal Islam boleh disam­paikan dengan berbagai cara seperti sajak, drama, tulisan dan sebagainya.

Bagaimanakah cara yang paling berkesan untuk mengajak orang memahami Islam? Kalau kita orang berjuang, lihatlah mu­sim, apa yang orang kampung buat dan apa pula yang orang bandar buat. Kalau orang kampung sedang buat bendang, kita hantar pasukan tolong orang kampung di bendang. Itu sangat berkesan. Kita tidak pernah dengar ada jemaah hantar orang dan traktor ke bendang untuk tolong bajak tanah sawah. Inilah masa­lahnya. Sedangkan perkara seperti ini berlaku di zaman Rasu­lullah. Kalau musim menuai, ada Sahabat tolong menuai atau mengutip buah. Kalau itu dibuat, kesannya lebih cepat. Begitu juga kalau kita dengar orang Islam berniaga kecil-kecilan, maju tidak, mundur pun tidak, sekadar boleh hidup. Sepatutnya ada jemaah Islam yang tolong.

Islam itu jika diamalkan cantik dan indah. Sebab itu hari ini kalau kita berjuang, supaya Islam lebih cepat berkembang maka dua perkara iaitu ibadah dan hukum-hakam itu dikekalkan, tetapi kena tambah kaedah lain lagi agar orang nampak betullah Islam itu penyelamat, menghiburkan dan memberi khidmat. Itu bahan untuk kita berfikir. Jika kita ada cita-cita perjuangan, maka me­lalui jemaah, kita berjuanglah supaya bila sebut Islam, umat Islam nampak keindahan, perpaduan dan kasih sayang. Agar nampak Islam itu cantik dan menarik.. Wallahua'lam.

Bumi Tuhan... Bersaksilah