Faham sekular telah memisahkan hamba-hamba dengan Tuhan-Nya.
Sekalipun dia pelajar agama.
Walaupun percaya dengan adanya Tuhan.
Tapi tidak kenal Tuhan, siapa sebenarnya Tuhan, apa peranan Tuhan.
Mereka tidak tahu apa perlunya kepada Tuhan.
Kalaupun mereka tahu, bahawa Tuhan itu hanya mengazab dan menghukum.
Mereka tidak tahu bahawa Tuhan itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Tuhan itu Maha Pemurah, Maha Berkuasa, Penjaga dan Pelindung.
Mereka tidak faham bahawa Tuhan itu Pemimpin.
Idola yang patut ditakuti, disembah, dicintai dan disanjung.
Bahkan mereka tidak faham bahawa Tuhan itu adalah Rafiqul A'la.
Kawan sejati yang sangat setia serta membela.
Mereka tidak faham bahawa Tuhan itu adalah segala-galanya.
Kalaulah mereka faham siapa sebenarnya Tuhan.
Mereka akan jadikan Tuhan sebagai kawan.
Kawan yang dicintai, disanjung dan dipuja.
Mereka tidak akan memutuskan hubungan dengan Tuhan setiap masa.
Mereka rasa perlu dan bahagia bersama Tuhan.
Tuhan akan dibawa ke mana-mana.
Tuhan akan dibawa di waktu rehat.
Di waktu susah dan senang.
Di waktu bermukim dan bermusafir.
Di waktu sihat dan sakit.
Di waktu tidur dan baring.
Di waktu sibuk dan bekerja.
Hinggakan rasa bertuhan tidak lekang dari jiwa.
Di masa yang sama, rasa kehambaan begitu subur di dalam hatinya.
No comments:
Post a Comment