Setiap orang itu sejak baligh hingga hari ini kalau membuat dosa, ada dua peringkat.
Ada dosa yang mudah dikesan, dan mudah pula bertaubat.
Ada dosa-dosa yang tidak mudah dikesan bahkan tidak dirasakan berdosa, maka tentu tidak bertaubat.
Selalunya mati tidak bertaubat.
Dosa-dosa yang mudah diketahui, seperti meninggalkan sembahyang, meninggalkan puasa, mencuri, minum arak, bunuh orang.
Dosa-dosa ini payah dilupakan. Kalau seseorang itu insaf, mudah bertaubat.
Tapi orang tidak rasa berdosa jika tidak ada rasa bertuhan.
Orang tidak rasa satu kesalahan tidak rasa kehambaan.
Berapa ramai orang sejak baligh, dia riyak, sombong, suka dipuji, ujub, ingin nama, tidak terasa membuat dosa.
Nampak orang susah tidak ditolong, tidak bertimbang rasa, mengutamakan diri, gembira dengan kesusahan orang tidak dianggap kesalahan.
Tamak, bakhil, tidak mesra dengan orang tidak dianggap haram.
Tidak tawakkal, tidak sabar, tidak malu dengan Tuhan, tidak belas kasihan itu tidak dipandang kemurkaan Tuhan.
Dosa-dosa kategori yang kedua inilah yang ramai orang terjebak, orang tidak terasa satu dosa.
Apabila tidak terasa perkara itu dosa, ia berlalu begitu sahaja, tanpa sedar, tanpa insaf.
Akhirnya tidak bertaubat.
Matilah seseorang itu di dalam kederhakaan tanpa sedar.
Kadang-kadang dosa-dosa yang tidak disedari ini berlaku kepada orang-orang yang dipandang oleh orang ramai orang baik.
Ada orang ibadahnya banyak, sembahyang malam, puasa sunat di siang hari, sering membaca Al Quran, wirid tidak lekang.
Setengahnya ulama, menasihati orang, dia disegani.
Kerana dosa-dosa tadi sangat tersembunyi, sangat tersirat, ia dosa hati, payah dikesani.
Ahli-ahli ibadah dan para ulama tadi pun tidak menyedarinya.
Orang-orang yang mata hatinya celik sahaja yang dapat mengesani.
Orang-orang yang rohnya bercahaya dan menyuluh yang seni-seninya, yang dikatakan ulil abshor.
Bukan ulama yang mampu mengetahui. Kecuali kalau ulama itu juga ulil abshor.
No comments:
Post a Comment