*M671*
Najis lahir mudah disuci, tapi najis batin amat sulit sekali disuci. Manusia hari ini yang diambil berat sangat ialah najis lahir, kerana ia ada hubungan dengan kesihatan badan, justeru manusia terlalu takut dengan penyakit kebersihan lahir, ia sangat dijaga, kerana najis batin, mata tidak dapat melihat, kecuali hati yang besih yang dapat melihat, umum (majoriti) manusia mengabaikannya, padahal kerosakan yang dilakukan oleh najis atau penyakit batin itu akan menimbulkan gejala-gejala masyarakat yang akan merosakkan agama, bangsa dan negara, di akhirat kelak akan dicampakkan ke neraka, wal'iyazubillah.
*M672*
Kalaulah kita mengenangkan bahawa manusia sesama manusia satu sama lain tidak banyak bezanya atau terlalu sedikit perbezaannya, malu manusia ini hendak sombong, berbangga, kata mengata, hina menghina satu sama lain, perbezaan yang sedikit itu ialah di antara pangkat besar dengan pangkat kecil, rumah besar dengan rumah kecil, harta banyak dengan harta sedikit, cantik dengan yang hodoh, ilmu banyak dengan ilmu sedikit, yang lain semuanya sama, sama-sama sakit, sama-sama ke jamban, sama-sama dibenci orang, sama-sama takut, sama-sama ditimpa bencana alam, sama-sama tua, sama-sama terlupa, sama-sama memerlukan tidur, sama-sama memerlukan makan minum, sama-sama memerlukan rehat, sama-sama memerlukan bantuan, sama-sama memerlukan pertolongan orang, sama-sama ditimpa letih, sama-sama menerima ujian, sama-sama sejuk, sama-sama panas, sama-sama kehilangan yang dicintai, sama-sama mati, sama-sama masuk keranda, sama-sama masuk kubur.
*M673*
Orang yang miskin bukanlah satu kesalahan, tapi orang yang melahirkan satu sistem dan melaksanakan sistem hingga dengan sistem itu orang menjadi miskin, mereka itulah yang bersalah.
*M674*
Di antara yang menjadi masalah hari ini ialah sesuatu perkara itu tidak disetujui oleh tokoh-tokoh sesuatu kaum atau puak atau golongan, kemudian dibesarkan oleh media massa, timbullah polemik di dalam masyarakat, setengah orang menganggap telah timbul perbalahan, kaum itu atau puak itu atau golongan itu, padahal kalau kita kaji, golongan atau puak itu tidak pun timbul masalah tapi telah jadi masalah, kerana dibangkitkan oleh tokoh-tokoh itu, seolah-olah ia adalah pandangan umum golongan itu, sebenarnya adalah pandangan peribadi tokoh itu untuk menarik perhatian, dia alatkan golongannya atau babitkan golongannya, berhati-hatilah dengan tokoh-tokoh seperti itu, kerana dia selalu membuat kecoh dan mengeruhkan suasana masyarakat.
*M675*
Zaman dahulu perhubungan amat susah dan payah,! namun demikian umat Islam suka mengembara menjadi mubaligh mencari ilmu dan pengalaman, tapi yang indahnya di mana saja singgah di kampung-kampung umat Islam penduduknya sangat suka dan menghormati kedatangan tetamu masing-masing mengucapkan ; "ahlan wasahlan wamarhaban, bahkan ada kalanya berebut-rebut hendak menjadikan tetamunya, apabila menyambung semula musafir masing-masing membekalkan macam-macam makanan dan dirinya dengan menghantar beramai-ramai, di zaman ini tidak berlaku lagi.
No comments:
Post a Comment