Moga Nikmat-Mu Dalam Redha-Mu


Di antara rahmat dan nikmat Tuhan kepadaku yang berlaku padaku di akhir-akhir ini yang jarang aku lupakan.
Apabila aku menghadapi hidangan makanan, atau aku berpakaian di badan.
Juga ketika aku menaiki kenderaan.
Fikiranku pun merayap-rayap berjalan.
Perasaanku pun berbagai-bagai ingatan.
Mula-mula aku ingat bahawa nikmat itu tidak layak aku dapatkan.
Tapi dengan kemurahan Tuhan diberi-Nya juga apabila diperlukan.
Aku bisikkan di dalam hati kepada Tuhan dengan merendah diri.
Tuhan! Apa yang Engkau anugerahkan ini berilah dengan redha.
Janganlah Engkau beri kepadaku dengan istidraj dan tipuan.
Ingatanku terus berjalan jauh di lubuk hati.
Hatiku membisikkan kepada Tuhan.
Tuhan! Apa yang aku dapati ini ramai orang yang campurtangan.
Dari yang menyediakan bahan mentahnya, hinggalah yang menyajikan.
Cuma aku tidak kenal mereka-mereka itu.
Mungkin mereka itu ada yang miskin dan menderita.
Tidak kurang juga hasil usaha mereka, mereka tidak merasa.
Aduh! Hatiku sedih seketika.
Orang lain yang bersusah-payah, aku yang mendapat faedah.
Aku pun membisikkan kepada Tuhan buat mereka.
Tuhan! Berilah mereka petunjuk, murahkan rezeki mereka, ampunkan dosa mereka.
Begitulah hatiku merasa tersayat apabila berhadapan dengan nikmat Tuhan.
Hatiku menangis bila mengenangkan mereka-mereka yang berjasa.
Mereka yang mendapat kesusahan, aku pula yang senang. 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah