PERTEMUAN DENGAN RAJA SEGALA RAJA



Sembahyang adalah ibu segala ibadah.
Ibadah rasmi dari Tuhan kepada hamba-hamba-Nya seluruhnya.
Ia merupakan pertemuan rasmi.
Lima kali sehari semalam dengan Allah.
Ertinya pertemuan rasmi dengan Raja yang Maha Agung, Raja Segala Raja.
Umpama pertemuan rasmi raja manusia sesama rakyat jelatanya.
Bagaimana keadaan kita, apa yang kita rasa?
Apa persiapan yang sepatutnya?
Kita siapkan pakaian yang cantik.
Kita bersihkan badan kita.
Kita berwangi-wangian, pergi dengan kenderaan sampai istana.
Di istana kita duduk dengan penuh tertib berhadapan dengan raja.
Kita duduk dengan penuh tawadhuk.
Bahu membongkok mata ke lantai dan khudhuk.
Kita tidak pandang kiri dan kanan.
Penuh bimbang, malu dan takut.
Tidak ada seorang yang berani bercakap-cakap dan bersembang-sembang.
Menunggu dengan penuh takut akan perintah raja.
Apa titah raja, apa pesanan, apa amanahnya dan apa nasihatnya.
Begitulah sembahyang, pertemuan dengan Allah secara rasmi.
Ia adalah Raja Segala Raja.
Raja yang bukan jenis manusia.
Raja yang mempunyai Zat yang Maha Suci daripada segala penyerupaan.
Pengetahuan-Nya tembus, penglihatan-Nya tembus, pendengaran-Nya tembus.
Sepatutnya pertemuan kita lebih serius.
Lebih beradab, bertertib dan takut.
Di waktu itu kita menyediakan diri kita, bersih lahir dan batin.
Menunggu penyembahan itu dengan penuh takut, malu, khusyuk, tadharuk.
Takut dan malu hendak bercakap-cakap dan berbual.
Kecuali yang ada hubungkait dengan Tuhan.
Kita menyembah, seluruh fikiran, hati dan jiwa, seluruhnya tertumpu kepada Tuhan.
Fizikal ikut rukuk, fikiran ikut rukuk, hati ikut rukuk.
Fizikal ikut sujud, fikiran ikut sujud dan jiwa ikut sujud.
Waktu berdiri dirasakan seolah-olah kita berada di Padang Mahsyar.
Sedangkan Tuhan sedang melihat.
Aduh kecutnya perut, menggeletar sepatutnya jiwa kita.
Di waktu itu sepatutnya tidak ada apa yang kita ingat.
Kecuali sepenuh hati dan jiwa raga dan fikiran kita hanya kepada ALLAH semata-mata.
Tapi ramai manusia tidak begitu.
Berhadapan dengan raja jenis manusia lebih terasa gerun, malu dan beradab dari berhadapan dengan Tuhan pencipta manusia.
Kerana manusia belum kenal Tuhan Khaliqnya. 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah