Di waktu zaman kanak-kanak, kesukaan kita susu, coklat, biskut.
Hiburan kita main-main kertas, main-main kereta kecil dan berbagai-bagai mainan kanak-kanak.
Itulah kebahagiaan kita, tidak ada yang selain itu.
Jika ibu dan ayah cuba mengalih pandangan atau kesukaan selain yang tadi,
kita marah, sakit hati, hilang bahagia.
Ketika remaja, teralih pula rasa dan perasaannya.
Kegemaran dan hobi bertukar tanpa diminta.
Yang tadi tidak terasa hiburan dan kebahagiaan lagi.
Hiburan dan kebahagiaan muda remaja keluar rumah, bermain-main di padang, berlepak-lepak, bergaul bebas, bercinta-cinta.
Selain itu makan-makan, berkelah-kelah, membuang-buang masa.
Di waktu itu, kita rasa tidak ada hiburan dan kebahagiaan selain itu.
Ibu dan ayah kita faham bahawa hiburan dan kebahagiaan itu adalah perkara murahan.
Ada yang lebih utama dan hakiki dari hiburan dan kebahagiaan itu.
Iaitu kenalkan Tuhan, cintakan Tuhan, membuat baik kepada manusia,
rindukan Akhirat, tempat negara yang kekal abadi.
Dia dorong anak-anaknya yang muda remaja ke arah itu.
Anak-anaknya yang tidak mengerti
iaitu kita terasa tergugat, risau, marah, benci, kecewa, putus asa, ingin lari.
Bergaduh dengan ibu dan ayah, kalau tidak terang-terangan, berlaku di dalam hati.
Apabila kita sudah dewasa seterusnya tua, selera tadi berubah pula.
Mula sedar dan insaf bahawa hiburan dan kebahagiaan yang dianggap di zaman
kanak-kanak, zaman remaja adalah palsu, menipu.
Tapi nasi sudah jadi bubur, kita sudah terlanjur, hendak belajar lagi bukan masanya lagi.
Tuhan belum kenal lagi, ibadah tidak tahu, syariat tidak faham, Akhirat hanya dengar-dengar sahaja.
Di waktu itu kita rasa apa yang dianjurkan oleh orang tua kita adalah benar.
Terasa oleh kita rasa kasih sayang kepada kita di waktu itu.
Tapi masa sudah berlalu, kita sudah tersilap nilai. Di waktu itu, kita tidak pun mendengar pandangan orang tua kita.
Mungkin juga kita mahu bertaubat, membaiki diri, tapi banyak perkara kita tidak tahu, maka kita pun berbuat secara meniru-niru.
Apakah Tuhan akan menerimanya?
Itulah yang kita khuatiri.
Mati menunggu masa, kubur sudah di depan mata.
No comments:
Post a Comment