MADAH baru 301



*M721*
Kita berasa pelik dan aneh manusia hari ini. 
* Mengeluh tentang penjagaan anak-anak tapi isteri disuruh bekerja atau dia sendiri suka bekerja, 
* mengeluh mencari pembantu rumah amat susahnya tapi isteri disuruh bekerja di luar rumah, 
* tidak senang isteri kurang memberi layanan, bagaimana hendak melayan suami, balik rumah isteri sudah letih. 
* Adakalanya dia bekerja balik larut malam, isteri-isteri ada yang cemburu dengan pembantu rumah tapi malangnya dia sendiri yang hendakkan pembantu, 
* ada suami isteri takut mengambil pembantu rumah maka dipanggillah ibunya untuk menjaga anak-anaknya, sudah-sudahlah kita dahulu dia menjaganya, sekarang anak kita pula kita suruh dia menjaganya, di mana adab kita dengan orang tua, sepatutnya orang tua kita itu, kita suruh dia rehat sahaja dan kita jaga dia, bukan dia yang hendak menjaga kepentingan kita. 
* Kita inginkan isteri yang taat setia kepada kita, bagaimana dia hendak setia, sebelum kahwin lagi perangai kita telah diketahuinya, di samping itu dia makan gaji, duit ada di poket, adakalanya gaji dia lebih besar dari gaji kita, kelulusan lebih tinggi daripada kelulusan kita, dia boleh berdikari, bagaimanalah dia hendak memberi sepenuhnya ketaatan pada kita, 
* yang isteri pula tidak senang, kurangnya layanan suaminya, dia lupa yang melayan makan minum suaminya, orang gaji atau ibunya, dia balik sudah keletihan, adakalanya suami ada di rumah, dia belum balik lagi dari kerja, adakalanya suaminya bercuti rehat, isteri tidak dapat cuti, 
* adakalanya suami ada kereta, isteri juga ada kereta, masing-masing pakai kereta masing-masing, seorang ke hulu, seorang ke hilir, 
* setengah isteri sudah balik ke rumah pun, orang cari dia lagi kerana dia orang penting masyarakat, bila hendak layan suami, orang datang ke rumah bukan cari kita, mereka cari isteri kita, justeru dia orang besar negara, bagaimana tidak tersentuh hati suami? 
* Kita tidak senang dengan anak-anak kita, selalu saja keluar rumah, balik lewat malam, taat setianya sudah tidak ada lagi dengan kita, dia sudah gagal, macam-macam hal dibuat di luar rumah, kita lupa kita suami isteri makan gaji, selalu tidak ada di rumah, anak terbiar dan tidak terurus, kalaupun ada yang melayan, orang gaji mana sama dengan ibu bapa. Kita sebagai ibu bapa, bila balik badan sudah letih, mudah saja marah dengan anak, sudahlah begitu, kita sebagai suami isteri atau ibu bapa di dalam keluarga, tidak ikut syariat pula, kalau sembahyang pun tidak berjemaah, anak-anak tidak diberatkan bersembahyang, beradab dengan ibu bapa tidak diajarkan, bagaimana makan minum, berpakaian, tidur baring, berehat, dengan jiran tidak pernah didisiplinkan, kemudian susah hati dengan anak telah menjadi liar, sudahlah begitu, TV pula memainkan peranan mendidik kita dan anak kita di luar adab sopan agama dan bangsa, pengaruh TV inilah yang membangunkan insaniah kita dan mereka, kemudian kita merasa terseksa di dalam keluarga, kerana masing-masing tidak ada rasa bersama, tidak ada timbang rasa, tidak ada hormat-menghormati, bertolak ansur sudah tidak wujud, kemudian kita yang di dalam rumah tangga/keluarga yang sudah kusut ini, pergi bekerja ke pejabat, ke kilang, ke sekolah, sudah tentu sekalilah kita membawa fikiran kusut, jiwa berserabut, di tempat kerja penyakit rumah tangga ini terpalit pula, di tempat kerja, di sana pula sudah tidak dapat bahagia.
Tidak nampak lagikah manusia-manusia ini di mana punca kehilangan kasih sayang, keharmonian dan kebahagiaan?

*M722*
Kalau seorang isteri itu berpelajaran tinggi, berjawatan penting, terkenal pula, banyak masanya dengan masyarakat, pada si suami juga dapat nama, tapi jiwa menderita, kerana sangat kurang dapat berhibur dengannya, adakalanya melihat isteri itu, macam melihat ikan dalam akuarium, geram di buatnya tapi susah sekali hendak di tangkap. 

*M723*
Isteri-isteri hari ini selalu rasa tidak puas hati terhadap suaminya, kerana katanya kurang dapat layanan dari suaminya tapi terfikirkah olehnya, dia juga perlu melayan suami dengan sebaik-baiknya, seperti yang dia juga suka mendapat layanan. 

*M724*
Orang yang beriman atau terlalu lemah imannya, apabila suaminya beristeri lagi, dia menerkam mendapat musuh dan suaminya juga dimusuhi tapi wanita mukmin, apabila suaminya berkahwin lagi dia merasakan mendapat kawan baru atau merasakan menambah keluarga, anak-anak pun terasa gembira kerana mendapat banyak ibu. 

*M725*
Biasanya kalau seseorang itu cinta kasihnya terlalu dicurahkan berhabis-habisan kepada seseorang yang dia cintai sebelum dikahwininya, selepas kahwin, cinta kasihnya kalaupun tidak pudar, setidak-tidaknya menurun.
Akan jadilah nanti macam tebu, makin ke hujung semakin tawar.
Di waktu itu mudah saja bercerai, keindahan bersuami isteri sudah tiada lagi.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah